Assalamu'alaikum wbt.
Lama sangat saya tidak bersiaran. Alhamdulillah, hari ini Allah SWT memberi saya kekuatan untuk mengemaskini blog yang sudah bersawang ini. Sejak akhir-akhir ini saya agak sibuk untuk menghabiskan silibus dan menanda kertas-kertas soalan dan tugasan pelajar UMTECH dan pelajar Pengajian Luar Kampus (PLK), UUM. Namun, kerja menanda soalan ni nampak macam tidak habis-habis. Sedia menanti ialah tugasan pelajar BBA UUM. Sementara ada mood, elok rasanya saya update entri Umrah 2011 yang lepas.
6 Mei 2011, Jumaat
Dipaparkan di sini suasana Masjidil Haram selepas solat subuh. Mataaf, atau pelantar tawaf penuh sesak dengan para jemaah yang melakukan tawaf. Suasana sesak begini sudah menjadi kebiasaan pada setiap Jumaat sebab hari ini merupakan hari libur hujung minggu di Saudi Arabia. Oleh yang demikian rakyat Saudi dan juga pekerja asing mengambil kesempatan cuti hujung minggu ini untuk melakukan umrah dan solat Jumaat di Masjidil Haram.
|
Suasana di dataran kaabah jam 5:18 pagi (selepas solat Subuh) 6 Mei 2011 |
|
Syahdu, damai, dan mengasyikkan |
|
Menara masjid merupakan salah satu mercu tanda Masjidil Haram |
Di luar masjid, jalan Hijrah Street ini juga penuh sesak dengan para jemaah yang bergegas pulang ke hotel masing-masing selepas menunaikan solat subuh di tempat yang paling barakah di seluruh alam untuk sarapan dan juga untuk berehat seketika sambil mengumpul tenaga untuk aktiviti seterusnya.
|
Bergerak pulang ke hotel penginapan - Abeer Garden 5:42 pagi |
Seawal jam 5 pagi, kedai-kedai di kiri kanan jalan sudah dibuka menanti kedatangan pelanggan. Para penjual jalanan tidak ketinggalan membuka barang jualan sambil berteriak "Khamsa riyal, khamsa riyal", atau " 'Asara riyal, 'asyara riyal. Sapuluh riyal, sapuluh riyal," sambil mata melilau memerhati sekeliling takut kalau-kalau polis bandaraya Makkah datang untuk merampas barang jualan.
|
Kedai 2 riyal, 5 riyal, 10 riyal dan 25 riyal |
Kami keluar semula ke masjid pada pukul 11.42 pagi untuk solat Jumaat. Ingatkan kami awal, rupa-rupanya masjid telah dipenuhi oleh jemaah. Nyaris-nyaris saya tidak dapat tempat di dalam masjid. Saya menyelit di celah-celah jemaah dan alhamdulillah dapat tempat 4-5 saf dari dinding. Isteri saya juga bernasib baik sebab pengawal perempuan yang bertugas mengatakan masih ada ruang bagi jemaah wanita di bahagian basement.
|
Menuju masjidil haram untuk solat Jumaat |
|
Jemaah sudah memenuhi ruang di kompleks zam-zam tower untuk solat jumaat |
Sebelah petang, selepas Asar saya bergerak ke restoran Felda D'Saji untuk bertemu Haji Arshad, iaitu rakan blogger 'Kehidupan Makkah'. Sesampainya di D'Saji, Haji Arshad sudah sedia menunggu di salah satu meja di situ. Turut sama di situ ialah adik kepada Cik Li PDKM, dan dua orang pelajar pondok Ajyad iaitu Ustaz Amran dan Ustaz Hasanan. Tujuan saya ke situ ialah untuk meminta bantuan Haji Arshad menguruskan majlis 'Aqiqah cucu saya Adam Mukhlis yang baru lahir pada bulan April yang lepas.
|
Haji Arshad dan adik Haji Azli (blogger PDKM) |
|
Ustaz Amran - tinggal di Bukit Ajyad berhampiran dengan masjid Kelantan |
|
Ustaz Hasanan - pelajar pondok Ajyad |
Aktiviti hari ini diakhiri dengan solat Isya' di Masjidil Haram. Jemaah sudah berkurangan sebab para pekerja dan rakyat Saudi telah kembali ke tempat masing-masing.
Alhamdulillah, segala puji dituju kepada Allah SWT yang telah memberi nikmat yang tidak terhingga yang membolehkan saya berada di tempat yang barakah ini. Selawat dan salam diucapkan kepada Nabi Muhammad S.A.W. Semoga Allah SWT sentiasa mencurahkan nikmatNya kepada insan yang dhaif ini. Amin, Ya Rab al 'Alamin.
|
Selepas Isya 6 Mei 2011 jam 8.55pm
Para jemaah telah berkurang sebab rakyat Saudi telah balik ke tempat masing-masing |