Sunday, January 31, 2010

Pasar Seng, Makkah: Kawasan Membeli Belah Jemaah Haji Indonesia dan Malaysia - Part 2

Alhamdulillah, dapat keizinan untuk sambung balik topik ni.

Kalau nak tengok video klip dulu silakan klik link kat bawah tu. Tapi jangan lupa ke laman ni semula, sebab banyak berita menarik di bawah tu.



Pasar Seng adalah cop mohor jemaah dari Indonesia. Seng bermaksud zink. Jadi Pasar Seng bermaksud Pasar Zink. Dikisahkan, pada suatu ketika dahulu, atap kedai-kedai di situ adalah terdiri daripada zink. Lantas jemaah Indonesia memanggilnya Pasar Seng.
Pasar Seng ini terletak di sebelah utara Masjidil Haram iaitu di antara al-Haram Street  (berhampiran dengan rumah kelahiran Rasulullah s.a.w) dengan al-Raqubah Street (berhampiran dengan Hotel Sofitel - pintu al-Fatah).  Deretan kedai-kedai di sepanjang jalan-jalan tersebut (termasuk Jawdariyyah Street dan Gazah Street) adalah bermula 50 meter daripada pintu Marwah dan menganjur hingga ke Masjid Kucing (bertentangan dengan simpang ke Shiib Ameer - iaitu jalan menuju ke Ibu Pejabat Tabung Haji Malaysia). Panjang kawasan tersebut lebih kurang 300 meter dan  lebarnya lebih kurang 100 meter - Kawasan yang dilingkungi oleh garisan merah dalam peta di atas.

Indonesia baguuss, Malaysia baguuss. Ini baguusss, murah-murah. Hajjah, hajjah, Siti Rahmah, mari-mari. 5 rial, 5 rial, khamsa rial, khamsa rial, banji rial, banji rial. Halal, halal. Itulah jeritan hiruk pikuk para peniaga cuba menarik perhatian para shoppers (mostly kaum ibu -- hehehe) dan juga para hujjaj yang hendak ke Masjidil Haram.  Memang banyak godaan di bumi Makkah ni. Cobaan, cobaan.

Gambar atas: Kawasan berhampiran dengan Masjidil Haram Road.  Jika kita memasuki kedai-kedai tersebut, kita boleh tembus ke Gazah Street melalui Sheraton Hotel. Kat Dalam tu banyak lot-lot kedai (gerai jualan). Jalan bersimpang siur selebar 3-4 kaki sahaja.  Dari Gazah Street, boleh pula tembus ke Jawdariah Street. Macam-macam ada. Emak dan ayah saja yang tak ada. Kalau tak tahan godaan, jawabnya tak pergi lah ke Masjidil Haram. Tawaf kat Pasar Seng ler nampaknya. Memang hancuss.  



Dua gambar di atas adalah permulaan Jawdariyyah Street, iaitu berhampiran dengan Hotel Sofitel. Kelihatan deretan kanak-kanak yang berasal dari Afrika meminta sedekah pada gambar yang kedua. Aaaaji baba, aaaji baba - bermaksud haji mabrur, haji mabrur - terdengar teriakan kanak-kanak tersebut meminta simpati. Pada gambar pertama, yang sedang duduk kat tepi kedai tu adalah supervisor si peminta sedekah tersebut.  Macam ada satu sendiket yang mengendalikan operasi meminta sedekah.  Walau bagaimanapun, kita janganlah mempersoalkan perkara tersebut. Kalau ada simpati, hulurkanlah sedekah anda seikhlas yang mungkin.

Gambar yang terakhir ialah Masjid Kucing. Ia merupakan salah satu landmark bagi jemaah haji Malaysia. Orang tua-tua dulu apabila balik daripada menunaikan haji, sering menceritakan yang rumah mereka dekat dengan Masjid Kucing.  Saya pernah bertanyakan seorang peniaga kiosk ais krim (pak Arab) di Masjidil Haram Street, di mana Masjid Kucing? Dia macam tercengang kerana tak pernah dengar Masjid Kucing. Kalau tak silap saya Masjid tu ialah Masjid King Abd. Aziz. Saya tidak tahu kenapa ia dipanggil Masjid Kucing. Ramai juga jemaah haji yang tinggal di sekitar masjid ini mengambil keputusan mudah iaitu bersolat fardu kat sini sedangkan jarak ke Masjidil Haram hanya 350 meter sahaja. Mereka takut tersasar kat gerai-gerai di Pasar Seng kot. Wallahu aklam.

Ok, berhenti dulu di sini. InsyaAllah, akan bersambung...

Saturday, January 30, 2010

Pasar Seng, Makkah: Kawasan Membeli Belah Jemaah Haji Indonesia dan Malaysia - Part 1

Alhamdulillah, pagi ini Allah memberi ilham untuk saya menulis bagi mengimbau kenangan semasa melakukan ibadah haji tahun 2007. Topik yang saya pilih kali ini ialah Pasar Seng, iaitu suatu kawasan membeli belah (shopping sakannn) bagi kebanyakan para hujjaj dari sebelah Asia Tenggara - Indonesia, Malaysia, dan yang sewaktu dengannya. Kalau nak tengok video klip yang baru saya buat, jemput klik kat link di bawah ni:

Video Klip Pasar Seng 

Tapi lepas tengok video, jangan lupa untuk baca sampai habis entri saya ni.



Istilah Pasar Seng ini hanya popular di kalangan jemaah haji dari Indonesia. Saya sendiri tidak tahu bahawa kawasan yang kami lalui setiap hari untuk ke Masjid Haram itu dikenali sebagai Pasar Seng. Yang saya tahu kawasan tersebut penuh sesak dengan manusia sehingga sukar untuk berjalan. Di kiri kanan jalan terdapat bermacam-macam kedai yang dipenuhi dengan berbagai-bagai barang jualan. Barang kemas, pakaian siap, kain ela, sutera, beg pakaian, mainan kanak-kanak, minyak wangi, tasbih, kemenyan arab, kasut, restoran makanan Pakistan dan India, restoran makanan Indonesia seperti Bakso, soto, nasi lemak, dan macam-macam lagi yang tak dapat saya senaraikan, semuanya ada dijual di situ. Macam-macam ada.



Gambar di atas ini di ambil selepas solat Isya' nak balik Hotel Janadiriah.



Gambar di atas tu saya kutip dari laman web mana tah, maaf pak, nanti bila ingat saya masukkan kredit di sini. Jejaka kacak tu namanya Pak Oedin - SiRaja Bakso, warga Indonesia, status PR yang berniaga di Haram Shopping Center (Bangunan Hotel Sofitel Makkah). Sedap Baksonya tapi satu mangkuk SR10. Cepat kaya Pak Oedin nih.

Ok, ini dia link gambar di atas http://www.hotelier-indonesia.com/Agustuspecial.htm



Yang di atas ni adalah kawasan permulaan Jalan Jawdariah. Memang sentiasa sibuk jalan ni.


Ok, berhenti dulu kat sini dan akan sambung kalau Allah izin. Assalamu'alaikum.

Saturday, January 16, 2010

Rindu Kaabah

Assalumu'alaikum wm. wbr.

Alhamdulillah, saya baru saja berjaya upload klip video terbaru saya iaitu Tawaf Haji 2007. Klip ini memaparkan suasana tawaf yang padat dan penuh sesak di dataran kaabah selepas solat subuh dalam minggu terakhir bulan disember 2007. Video ini diambil dari atas bumbung masjidil haram. Kepada para pengunjung yang ingin melihat klip video tersebut sila klik Tawaf Haji 2007

Sejak akhir-akhir ni saya sangat rindu dengan kaa'bah lebih-lebih lagi apabila mengikuti blog sdr Manzlie PDKM (Pengalaman Di Kota Makkah) yang memaparkan dengan terperinci perkembangan terkini suasana di kota suci Makkah dan perjalanan haji beliau bagi tahun 2008 dan 2009.

Alhamdulillah, pada tahun 2007 saya dan isteri telah diberi kesempatan oleh Allah swt untuk menunaikan fardhu haji dan telah mengambil beberapa gambar dan video suasana di dalam dan di sekitar masjidil haram. Saya sangat bersyukur kepada Allah kerana sempat membuat rakaman video tersebut kerana pada tahun 2008 kerajaan Arab Saudi telah memperluaskan kawasan masjidil haram. Kedai, kompleks perniagaan, dan beberapa hotel di sekeliling masjidil haram telah dirobohkan untuk memberi laluan kepada projek pembesaran al-Haram. Jadi tempat-tempat yang pernah kami kunjungi atau lalui telah pun lenyap daripada pandangan.

Jadi untuk mengenang kembali perjalanan haji kami pada tahun 2007, maka saya cuba membuat klip-klip video untuk dijadikan bahan kenang-kenangan. Mudah-mudahan ia dapat memberi motivasi kepada anak-anak, saudara-mara, rakan-rakan dan juga kepada ummat Islam seluruh dunia.

Untuk menghasilkan klip video yang bagus, maka perlu kepada gambar-gambar yang terkini dan bersesuaian dengan jalan cerita. Saya bercadang menggunakan gambar-gambar yang terdapat dalam blog PDKM. Alhamdulillah, sebentar tadi saya telah mendapatkan keizinan daripada pemilik blog PDKM iaitu sdr manzlie. Jutaan terima kasih saya ucapkan kepada beliau. Semoga Allah sentiasa melimpahkan Rahmat-Nya kepada beliau di atas jasa baik yang tidak dapat saya balas sehingga ke akhir hayat. Jazakallahu khaira ya akhie.

Friday, January 15, 2010

Gerhana Separa Matahari atau Gerhana Anulus

Gerhana Matahari Separuh di Melaka 15.01.10 jam 4.49 pm

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang telah menjadikan matahari dan bulan di mana kedua-duanya sebagai tanda kebesaran Allah s.wt. Firman Allah dalam surah Fussilat ayat 37 yang bermaksud:

'Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah malam dan siang, seta matahari dan bulan. Janganlah kamu sujud kepada matahari dan janganlah pula engkau sujud kepada bulan, dan sebaliknya hendaklah kamu sujud kepada Allah yang menciptanya, kalau betullah kamu hanya beribadat kepada Allah.'
Gerhana Matahari Separuh masih kelihatan di Melaka jam 4.54 petang tetapi semakin menghilang menandakan waktu gerhana akan tamat sebentar lagi.

Rasulullah s.a.w. bersabda:

'Matahari dan bulan adalah dua daripada tanda keagungan Allah. Gerhana kedua-duanya berlaku bukan disebabkan oleh mati atau hidup seseorang. Apabila mengetahui gerhana matahari berlaku maka kamu hendaklah bersolat dan berdoa sehingga cahaya kelihatan semula.' -- H.R. Muslim

Alhamdulillah, pada hari ini, 29 Muharram 1431H, bersamaan 15 Januari 2010, kita telah dapat menyaksikan fenomena gerhana matahari separuh atau juga dikenali sebagai gerhana anulus antara jam 3.00 - 5.00 ptg.

Sesungguhnya matahari dan bulan itu adalah sebahagian daripada makhluk-makhluk Allah s.w.t. Dia terang dengan izin Allah. Dia gelap dengan kehendak Allah jua. Dan setiap pagi kita saksikan matahari terbit manakala setiap petang dia terbenam. Begitu jugalah bulan, kedua-duanya mengikut perintah Allah dan tidak pernah membantah. Kedua-duanya sangat berguna kepada manusia, binatang, dan tumbuh-tumbuhan. Dengan kedua-duanya kita mengetahui siang, malam, dan waktu-waktu ibadat.

Namun tidak ramai antara kita berfikir, merenung, serta mengambil iktibar daripada silih bergantinya malam dan siang, dan juga kejadian-kejadian fenomena ajaib Allah s.w.t. tersebut. Kita sibuk dengan perjalanan matahari dan bulan -- iaitu sibuk dengan siang malam, pagi petang, awal bulan akhir bulan, awal tahun akhir tahun, dan sentiasa sibuk pada setiap masa. Seharusnya kita kembali sibuk kepada Allah sebab Allah menjadikan malam dan siang itu untuk beribadat. Allah berfirman dalam surat al-Furqan ayat 62, maksudnya:

'Dan dialah yang menjadikan malam dan siang silih berganti untuk sesiapa yang mahu beringat (memikirkan kebesaran-Nya), atau mahu bersyukur (akan nikmat-nikmat-Nya itu).'

Iktibar yang kita boleh ambil daripada hadis nabi seperti yang telah dinyatakan di awal pos ialah apabila terjadi gerhana, hendaklah kita menunaikan solat sunat gerhana serta memperbanyakkan doa, zikir, istighfar, dan bersedekah.

Saudara saudari pembaca yang budiman, bila lagi kita hendak bertaubat kepada Allah dan melakukan amal kebajikan? Tadi siang, matahari telah gerhana separuh. Awal tahun 2010 kita telah menyaksikan gerhana bulan separuh. Adakah kita mahu tunggu sampai kepada matahari terbit di sebelah barat atau sampai kepada ghar gharah (sampai peringatan hampir mati). Malangnya pada ketika itu taubat tidak akan diterima lagi. Rasulullah s.a.w. sendiri telah beristighfar dan bertaubat kepada Allah s.w.t. lebih daripada 70 kali sehari - HR Bukhari.
Sesungguhnya dosa-dosa itu boleh menghilangkan nikmat-nikmat Allah. Alhamdulillah, kita harus bersyukur ke atas segala nikmat yang telah Allah s.w.t kurniakan kepada kita agar Allah kekalkan nikmat tersebut. Ada nikmat yang kita ketahui, tetapi dalam kebanyakan hal kita sering terlepas pandang akan nikmat-nikmat yang telah dikurniakan kepada kita. Jika kita tukarkan syukur kepada kufur, maka Allah akan tukarkan nikmatnya kepada azab.

Wednesday, January 13, 2010

Menjaga Solat

Assalamu'alaikum wm. wbr.
Sebagai seorang muslim, salah satu tuntutan agama yang sangat perlu diambil perhatian ialah menjaga solat atau sembahyang. Solat 5 waktu sehari semalam perlu dilakukan walau di mana kita berada. Sama ada kita berada di atas perahu di tengah laut, atau di dalam kapalterbang, atau sedang terlantar di atas katil hospital, kita perlulah segera menunaikan solat. Tidak ada alasan untuk seseorang itu meninggalkan solat.

Ketika melayari Youtube, terjumpa tiga iklan solat:

Juga terdapat banyak gambar solat yang dilakukan di merata tempat. InsyaAllah, saya akan cuba menghasilkan video klip "Tiada Alasan Meninggalkan Solat" hasil kompilasi gambar-gambar tersebut.

Contoh gambar solat:
Jadi sememangnya tidak ada alasan untuk tidak menunaikan solat. Supaya Allah meyayangi kita, disamping menjaga solat wajib maka kita perlulah memperbanyakkan solat sunnat seperti solat tahajjud dan solat dhuha. InsyaAllah, marilah kita sama-sama berusaha menunaikan tututan tersebut.

Tuesday, January 12, 2010

Lirik Lagu Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI)


Alhamdulillah, di sini saya poskan lirik lagu PASTI yang dinyanyikan oleh murud-murid PASTI Asy-Syifa', Masjid Tanah, Melaka pada majlis Ihtifal mereka pada tahun 2008. 'Hidup Biar Allah Sayang' adalah diilhamkan daripada salah satu bait daripada senikata lagu ini.



Sila klik butang 'play' video di bawah untuk mendengar lagu PASTI.

Jika terdapat masalah, cuba klik URL ini. http://www.youtube.com/user/msaadhamid#p/a/u/2/_xPfGr5RzRc






Kami ini pelajar PASTI
Pusat Asuhan Tunas Islam
Kami belajar segala-gala
Agar menjadi orang berguna.

Selamat datang memberi salam
Sungguh bagus ke PASTI Islam
Dapat tahu hukum hakam
Agar hidup Allah sayang.

Guru mengajar Alif Ba Ta
ABC wahid isnani thalasa
Buat jahat dapat dosa
Buat baik dapat pahala.




Hidup Biar Allah Sayang

Assalamu'alaikum wm. wbr.

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah s.w.t. di atas segala nikmat yang telah dikurniakannya, sama ada nikmat-nikmat tersebut diketahui atau pun tidak diketahui. Selawat dan salam kepada Nabi junjungan pembawa cahaya keimanan yang menerangi seluruh alam. Juga selawat dan salam diucapkan kepada keluarga baginda yang agung, dan juga kepada para sahabat yang mulia.

Hari ini Allah s.w.t. telah menggerakkan hati saya untuk mewujudkan blog sendiri. Judul blog ini saya pilih secara spontan ketika mewujudkan akaun blogger sebagaimana diminta oleh pihak blogger.com.

'Hidup Biar Allah Sayang' -- memberi makna yang sangat mendalam yang seharusnya menjadi pegangan hidup setiap insan. Ia seharusnya menjadi panduan dalam segala gerak laku dan tutur bicara seseorang insan.

'Hidup Biar Allah Sayang' -- merupakan salah satu bait yang terdapat dalam lagu Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) yang dinyanyikan oleh puluhan ribu anak-anak didikan PASTI di seluruh negara dalam perhimpunan pagi setiap minggu.

InsyaAllah bersama-samalah kita berusaha agar kita menjadi insan yang disayangi Allah s.w.t.