Saturday, June 2, 2012

Umrah 2011: Makkah - Hari Ketiga - Ziarah Jabal Rahmah

Assalamu'alaikum wbt

Alhamdulillah, hari ini Allah SWT memberi saya kelapangan untuk update entri mengenai umrah pada 2011 yang lepas.

8 Mei 2011,  Ahad

Aktiviti pada hari ketiga di Makkah ialah menziarahi tempat-tempat bersejarah di sekitar kota Makkah dan akhirnya ke Ji'ranah untuk berniat ihram umrah. Seawal 6.30 pagi para jemaah telah berkumpul di hadapan hotel menunggu arahan mutawif.

Sedang menunggu mutawwif di hadapan hotel Abeer GArden
Oleh kerana jemaah Andalusia pada kali ini seramai lebih kurang 120 orang, yang mana sebahagian besarnya menginap di Hotel Hijazz (lebih kurang 80 orang) sedangkan kami menginap di Hotel Abeer Garden, maka mutawif terpaksa melakukan penyelarasan sebaik mungkin bagi melancarkan program ziarah tersebut.

Diringkaskan cerita, kumpulan kami merupakan kumpulan yang terakhir berlepas menuju Jabal Thaur. Oleh kerana kami sudah terlewat, bas hanya berhenti selama 4-5 minit sahaja di tepi jalan untuk membolehkan jemaah melihat jabal thaur dari dalam bas. Kesian juga kepada jemaah yang julung kali datang ke Makkah tidak kesampaian melihat persekitaran jabal thaur dari dekat untuk menghayati peristiwa hijrah Rasulullah SAW.  Saya tidak dapat mengambil gambar Jabal Thur dan persekitarannya kerana terlindung oleh pokok dan tembok. Namun dua entri saya yang terdahulu dapat memberikan gambaran tentang peristiwa hijrah Rasul SAW dan juga persekitaran Jabal Thur pada Mei 2011.


Catatan peristiwa Nabi meninggalkan rumah dan bersembunyi di gua thur ada dalam entri saya yang terdahulu di bawah tajuk (sila klik) Hijrah Rasulullah S.A.W. Ke Madinah - Part 2.


Catatan umrah saya pada 2010 mengenai Ziarah Jabal Thur, sila klik  Umrah 2010 - Ziarah Jabal Thur

-----------------------------------------------------------------

Agar kami tidak ketinggalan terlalu lama dengan dua kumpulan yang terdahulu, bas terus bergerak ke Arafah, iaitu ke destinasi kami yang kedua iaitu Jabal Rahmah.  Jabal Rahmah, juga dikenali sebagai Jabal Arafat (جبل عرفات) merupakan sebuah bukit kecil yang menjadi tempat pertemuan Nabi Adam AS dan Hawa setelah mereka diturunkan ke dunia. Nabi Adam diturunkan di Sri Lanka dan Hawa di turunkan di Iraq. Setelah beratus tahun berkelana mencari antara sata dengan yang lain, akhirnya mereka bertemu di Bukit Arafat. Mungkin kerana peristiwa tersebut, maka sekarang ini kita lihat ramai orang berkunjung ke Jabal Rahmah, terutamanya jemaah wanita, untuk berdoa supaya dipertemukan jodoh dalam masa yang terdekat. Wallahu'aklam. Walau bagaimanapun, harus diketahui bahawa saat mustajab berdoa di Arafah ialah pada tanggal 9 Zulhijjah, setelah masuk waktu zohor hingga terbenam matahari, iaitu pada hari wukuf. Pada masa itu langit terbuka dan doa orang yang berwukuf di Arafah terangkat ke langit.

Seharusnya, kita berkunjung ke Arafah atau ke Jabal Rahmah bukan untuk mengingati peristiwa pertemuan Adam dan Hawa, tetapi yang lebih penting lagi ialah untuk mengingati peristiwa Haji Wada' Rasulullah SAW dan juga untuk mengambil pengajaran tempat-tempat manasik haji untuk dijadikan panduan sekiranya kita berpeluang menunaikan ibadah haji pada satu hari nanti.

Papan tanda di Arafah
Kedatangan kami disambut oleh unta yang sentiasa tersenyum. Senyum ada makna tu.
Signboard arah kiblat untuk memberi panduan kepada jemaah haji yang berada di sini
pada 9 Zulhijjah ketika wukuf dan juga kepada para pengunjung (supaya jangan lupa solat
jika telah masuk waktu). Elok kalau pihak berkuasa tempatan meletakkan tanda arah kiblat
macam ni di tempat-tempat yang menjadi kunjungan awam.
Di kaki Jabal Rahmah. Mungkinkah di sini tempat Nabi SAW berwukuf?
Mungkinkah di batu-batu besar dalam gambar ini tempat Rasulullah SAW berwukuf?
Sebahagian daripada jemaah sedang mendaki ke puncak jabal Rahmah.
Kalau yang masih muda tu saya boleh faham kenapa mereka berusaha naik ke batu mercu tanda
yang kelihatan di atas tu. Tetapi ada juga jemaah warga emas lelaki dan perempuan memanjat ke atas.

Deretan penjaja kebanyakannya warga Afrika berbaris membentuk lorong pejalan kaki.
Yang anehnya, para pengunjung akan melalui lorong tersebut sedangkan pengunjung
bebas untuk bergerak ke mana-mana (tak ada lorong pejalan kaki yang rasmi di sini).
Gambar ini bukanlah diambil dari puncak Jabal Rahmah (saya tidak naik hingga ke situ).
Dari sini kita boleh nampak Masjid Namirah tempat sebahagian jemaah haji berkumpul
pada 9 Zulhijjah setiap tahun melakukan wukuf.
Pada masa Haji Wada', pada tanggal 9 Zulhijjah, tahun 10 Hijriah, Rasulullah SAW berkhemah pada waktu pagi (dhuha) di satu kawasan berhampiran dengan Masjid Namirah. Setelah tergelincir matahari baginda berangkat Jabal Rahmah dan berwukuf di atas unta yang bernama al-Qashwa berhampiran dengan sebuah batu yang besar di kaki jabal Rahmah.

Zooming masjid Namira
Antara tapak perkhemahan jemaah haji di Arafah. Pokok-pokok mambu atau mamu (neem)
yang kelihatan di sini bukanlah tumbuh secara semulajadi, tetapi ditanam dan dijaga dengan rapi oleh Arab Saudi.
Tandas awam yang hanya digunakan pada 8-9 Zulhijjah setiap tahun
Kiri kanan jalan ini akan didirikan khemah semasa musim haji setiap tahun.
Signboard bewarna kuning tersebut ialah tanda had tanah halal dan tanah haram.
Bapak-bapak ini tidak berminat mendaki Jabal Rahmah
Setelah melawat Arafah, kami bergerak ke Ji'ranah untuk berniat ihram di sana. Perjalanan kami ke Ji'ranah melalui terlebih dahulu Mudzalifah dan Mina iaitu dua lagi tempat manasik haji.

Dalam perjalanan menuju Mina. Kelihatan tembok yang dibina oleh Siti Zubaidah,
isteri Khalifah Harun ar-Rashid untuk mengalirkan air ke Makkah
Dalam perjalanan ke Mina kami melalui Mudzalifah di mana di sini para jemaah haji diwajibkan untuk bermabid (bermalam) sebelum menuju Mina. Para jemaah juga disunatkan memungut 7 biji batu-batu kecil untuk dibuat lontaran jamrah 'aqabah pada 10 Zulhijjah. Walau bagaimanapun para jemaah disarankan memungut 70 biji batu di sini sebab teramat sukar untuk mencari anak-anak batu di sekitar khemah di Mina.
Masjid Mudzalifah
Kompleks jamarat - tempat jemaah haji melontar pada 10,11,12, dan 13 Zulhijjah
Kami hanya melihat kawasan Mudzalifah dan Mina dari dalam bas sahaja sebab bas tidak dibenarkan berhenti di sini. Khemah-khemah yang berada di Mina dibina secara kekal dan ia ditinggalkan kosong tidak berpenghuni kecuali pada tanggal 8 Zulhijjah (hari tarwiyah), tanggal 10 Zulhijjah (hari raya quban), dan tanggal 11-13 Zulhijjah (hari-hari tasyrik) setiap tahun. Justeru itu, Mina mendapat nama jolokan "Bandar Tiga Hari", sebab tempat ini hanya berpenghuni selama 3 hari dalam setahun.

Hotel di Mina yang hanya mampu dihuni oleh golongan yang berada.
Masjid Ji'ranah
Akhirnya kami sampai di masjid Ji'ranah untuk berniat ihram. Ji'ranah merupakan tempat yang paling Afdal untuk bermiqat umrah sebab Rasulullah SAW pernah berniat ihram di sini selepas peperangan Hunain. Tempat kedua afdal berniat ihram ialah di Tan'iem (tempat Siti 'Aisyah bermiqat) dan yang ketiganya ialah di Hudaibiyah.

Jemaah lelaki sedang solat sunat ihram di masjid Ji'ranah.
Satu peristiwa lucu berlaku di sini iaitu setelah mengenakan pakaian ihram saya terus solat tanpa saya sedari saya memakai kopiah haji (songkok putih). Usai solat seorang jemaah memandang tepat ke arah saya dengan pandangan seribu tanda tanya. Ketika itu saya baru tersedar yang saya masih lagi memakai songkok haji, tetapi alhamdulillah saya masih belum melafazkan niat ihram sebab saya bercadang untuk berniat ihram di dalam bas sahaja iaitu sebaik bas mula bergerak meninggalkan masjid. 

Persekitaran masjid Ji'ranah


Setelah berniat ihram di Ji'ranah, kami kembali ke Makkah melalui Jabal Nur. Sekali lagi kami hanya berpeluang menyaksikan bukit tempat turunnya wahyu yang pertama dari kejauhan sahaja. Bas langsung tidak berhenti untuk membolehkan kami mengambil gambar bukit yang bersejarah tersebut. Perlu diingat, dalam perkembangan Islam, terdapat tiga buah bukit yang penting yang menjadi saksi pengorbanan Rasulullah SAW dalam usaha mengembangkan agama Islam agar ternobat sebagai agama yang unggul di seluruh dunia. Bukit-bukit tersebut ialah Jabal Nur (tempat turunnya wahyu yang pertama), Jabal Thaur (tempat perlindungan Rasulullah dari ancaman Quraisy semasa peristiwa hijrah ke Madinah), dan Jabal Uhud yang menjadi saksi pengorbanan para sahabat mempertahankan Islam dan juga Rasulullah SAW daripada serangan kafir Quraisy.  Allahu Akbar!.

Jabal Nur
Sampai di Makkah, kami terus melakukan tawaf, saie dan bergunting rambut. Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT yang telah memberikan nikmat-Nya yang tidak terhingga kepada hamba-hambaNya. Semoga apa yang dinukilkan di sini menjadi daya pendorong dan bahan pembelajaran bagi bakal-bakal jemaah umrah yang akan datang. Tidak ada sekelumit pun di hati ini untuk berasa riak dan bermegah-megah di atas sedikit nikmat yang telah Allah SWT kurniakan. Ya Allah, Ya Rabb. Ampunkanlah daku dan berilah petunjuk kepada hambaMu yang lemah ini. Amin, Ya Rab al-Alamin.

Sebagai mengakhiri entri ini, di bawah ini dipaparkan suasana Hijrah Street selepas waktu Isya' yang mana gambar-gambar ini saya rakamkan semasa dalam perjalanan ke hotel penginapan. 







Anda mungkin ingin membaca entri saya mengenai ziarah Jabal Rahmah dalam Umrah 2010: Jabal Rahmah

Catatan mengenai ziarah Muzdalifah, Mina dan Ji'ranah boleh di baca di sini Umrah 2010: Muzdalifah, Mina dan Ji'ranah 16 Mei 2010


4 comments:

  1. Assalamualaikum Tuan,
    Terima kasih di atas usaha murni tuan ini. Saya mewar2kan blog tuan kpd sahabat2 yang akan mengerjakan umrah / haji.Barokallahufik.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wa'alaikum salam Mak Wan

      Alhamdulillah, terima kasih kepada Mak Wan yang sudi mewar-warkan bolog ini kepada kengkawan Mak Wan. Memang entri-entri mengenai umrah ini bertujuan sebagai pemangkin meningkatkan motivasi para pembaca agar mereka terbuka hati untuk melaksanakan ibadah umrah pada suatu hari nanti.

      Delete
  2. Assalamualaikum Tuan,

    Alhamdulillah saya mendapat banyak ilmu dan panduan dari blog ini. Minggu hadapan saya, suami dan seorang anak perempuan berusia dua tahun akan menunaikan umrah.

    Kami pergi sendirian, kami bertolak dari Sudan kerana kami belajar di sini. Kami amat ingin menziarahi tempat-tempat yang mencatat sejarah Baginda saw bersama para sahabat di sana, untuk menghayati perjuangan baginda. Adakah siapa-siapa yang boleh kami hubungi untuk kami meminta bantuan dan panduan.

    Terima kasih Tuan.

    Azma, Sudan.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wa'alaikum salam puan Azma

      Alhamdulillah dan tahniah diucapkan kepada puan sekeluarga kerana mendapat undangan daripada Allah SWT untuk menziarahi Rasulullah SAW dan juga mengerjakan ibadat umrah dalam masa yang terdekat.

      Sungguh banyak tempat-tempat yang bersejarah di sekitar Masjid Nabawi. Yang masih boleh dilawati antara lain ialah Saqeefah bani Saiedah, Masjid Ghamamah, Masjid Ijabah, Masjid Abi Zar, dan perkuburan baqi'. Kesemuanya dalam walking distance, paling jauh 500 meter dari masjid Nabawi.

      Untuk berziarah ke Masjid Quba', Masjid Qiblatain, Masjid 7 (Khandaq), Maqam Syuhada' di Ohod, puan perlu menaiki teksi. Tempat yang mudah untuk mendapatkan teksi ialah berhampiran dengan pintu masuk perkuburan baqi'.

      Saya tidak ada kenalan di Madinah. Namun terdapat satu blog yang kerap saya kunjungi yang memberi banyak maklumat berkenaan kehidupan di Madinah iaitu blog http://almiskeenah.com/?p=14429. Mungkin puan boleh mendapatkan maklumat lanjut daripada penulis blog tersebut.

      Ada bebarapa entri dari blog almiskeenah ini mengenai ziarah secara maya tempat-tempat bersejarah di sekitar masjid nabawi. Dengan mengikuti ziarah maya ini kita boleh mendapat gambaran tentang lokasi-lokasi bersejarah di sekeliling masjid nabawi. INi dia link yang berkaitan. http://almiskeenah.blogsome.com/category/virtual-tours/

      Wasalam.

      Delete

Assalam'alaikum wm wbr.

Terima kasih kerana sudi memberi ulasan. MOHON MAAF, BLOG SAYA ADA MASALAH - Saya tak dapat balas komen. Saya sedang mencari jalan penyelesaian.