السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى رَسُوْلِ اللهِ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِه
Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT yang telah mengurniakan kelapangan masa bagi saya untuk menulis entri baru dalam blog ini. Entri saya kali ini ialah mengenai percutian kami ke Bandung pada tahun lepas. Selepas tamat entri Bandung, barulah saya update percutian ke Mesir dan kemudian diikuti dengan entri umrah tahun 2012.
P
|
ada
hari ketiga kami bercadang untuk melawat beberapa kesan sejarah yang terdapat
di kotamadya Bandung khususnya penjara Bancuey dan Gedung Indonesia menggugat.
Setelah itu kami akan menelusuri salah satu jalan yang mempunyai nama
yang unik iaitu Jalan ABC dan akhir sekali kami akan melawat Jalan Cibadak,
tempat yang dikatakan terkenal dengan barang-barang handikraf.
Setelah sarapan pagi, kami mulakan penjelajahan kami untuk mengenali di sebalik kota Bandung melalui lorong kecil yang dipanggil Gang 1 berhampiran dengan Masjid at-Taqwa yang terletak di belakang Hotel Kenangan tempat kami menginap di sepanjang percutian kami di Bandung ini. Saya perasaan kewujudan laluan ini ketika menunaikan solat subuh di masjid tersebut. Setelah bertanya dengan para jemaah, mereka menyatakan bahawa laluan tersebut akan membawa kita ke Jalan Perintis Kemerdekaan berhampiran dengan Bank Nasional Indonesia cawangan Bandung.
Pasar pagi di Jalan kebon Sireh |
Di hadapan masjid at-Taqwa, terdapat sebuah pasar rakyat yang menjual keperluan asas penduduk seperti sayur-sayuran, buah-buahan, dan tempe. Saya perhatikan kebanyakan orang di sini sangat suka memakan tempe. Jika di Malaysia peniaga akan menjual tempe yang dibungkus dalam plastik yang kecil tetapi di Bandung ini tempe-tempe dijual dalam bentuk bongkah atau kiub yang besar dan harganya sangat murah iaitu 10 rupiah atau lebih kurang RM3.00. Bongkah tempe yang dijual lebih besar daripada gambar di bawah.
Sumber: http://mangdepe.blogspot.com/2008/11/khasiat-tempe.html |
Jalan Kebon Sireh Gang I |
Orang Bandung/Indonesia sememangnya berjiwa usahawan justeru tidak hairanlah jika di mana-mana sahaja kita akan berjumpa dengan orang yang berniaga sama ada di pasar, di kaki-kaki lima jalan, malah di lorong kecil ini terdapat orang yang berniaga "goreng-gorengan" seperti tauhu goreng, keropok, dan sebagainya. Saya tidak ambil gambar mereka sebab takut mereka tersinggung maklumlah jarak antara kami sangat dekat iaitu lebih kurang 2-3 kaki sahaja. Anyway, kalau diperhatikan pada gambar di atas, terdapat sebuah iklan perkkhidmatan dobi yang menunjukkan mereka memang berjiwa usahawan. Walau bagaimanapun di bawah ini saya paparkan gambar yang diambil daripada http://fouuzie.blogspot.com/2012/05/kenali-bandung.html bagi menggambarkan gerai jualan di laluan yang sempit tersebut.
Akhirnya kami sampai ke lorong keluar iaitu di tepi sungai Cikapundung. Selepas menyeberangan jambatan kayu, kami sampai ke susur keluar menuju Jalan Perintis Kemerdekaan.
Jambatan melintasi Sungai Cikapundung |
Di samping gigih dan tabah menghadapi arus kehidupan yang keras di kota Bandung, masyarakat di sini juga dianugerahkan dengan daya kreativiti yang tinggi. Lihatlah dinding-dinding di kiri kanan lorong ini dihiasi dengan lukisan yang menarik dan berwarna-warni sehinggakan tidak jemu mata memandang seolah-olah kita berada di alam fantasi.
Laluan Gang I betul-betul keluar berhampiran dengan Gedung Indonesia Menggugat yang terletak di Jalan Perintis Kemerdekaan. Ditempat inilah, pada tanggal 18 Augus - 22 Disember, 1930 Presiden Soekarno pernah dibicarakan oleh pemerintah Hindia Belanda atas keterlibatan beliau dalam gerakan menuntut kemerdekaan Indonesia. Di sinilah Soekarno berpidato mengemukakan pembelaannya yang dikenali sebagai Indonesie Klaagt Aan atau Indonesia Menggugat. Pidato Soekarno itu bukan hanya menggegarkan pihak pengadilan di Bandung, malah menyebar ke Asia dan Eropah. Di Belanda ia mencetuskan sokongan Parti Buruh terhadap kemerdekaan Indonesia. Akibatnya Soekarno dijatuhkan hukuman penjara selama empat tahun.
Gedung Indonesia Menggugat. Kelihatan batu peringatan yang ditanda tangani oleh Presiden Megawati iaitu puteri beliau sendiri. |
Halaman depan Gedung Indonesia Menggugat |
Selanjutnya kami bergerak menuju Jalan Banceuy di mana di hujung jalan ini terletak sebuah bangunan kecil yang mana pada satu ketika dahulu merupakan sebuah penjara yang dikenali sebagai Penjara Bancuey. Penjara Banceuy ini dibangunkan oleh Hindia Belanda pada tahun 1871 yang mana ia mempunyai nilah sejarah yang tinggi sebab di situlah, tepatnya di sel no. 5, Blok F Soekarno dipenjarakan pada tahun 1930 atas tuduhan terlibat dalam gerakan perjuangan kemerdekaan Indonesia. Di sinilah, selama lapan bulan dalam sel yang sempit berukuran 2.5 m x 1.5 m tersebut Soekarno menyusun pembelaannya yang dikenali sebagai Indonesia Menggugat yang mana kisahnya telah dinyatakan sebelum ini.
Jalan di hadapan Bank Nasional Indonesia |
Keretapi sedang melintas di atas jambatan |
Tempat ini berhampiran dengan ibu pejabat keretapi. Di sini kelihatan engin lokomotif menghiasi ruang hadapan pejabat keretapi tersebut.
Jalan Banceuy |
Banceuy dalam bahasa Sunda bermaksud kandang kuda. Pada suatu ketika dahulu kawasan ini merupakan sebuah perkampungan yang terdapat sebuah kandang kuda bagi menempatkan kuda-kuda milik bupati Bandung atau pun untuk menempatkan kuda-kuda yang digunakan sebagai kereta pos bagi pengangkutan bagi jalan besar Groote Postweg. Pada masa sekarang Jalan Banceuy sarat dengan kedai menjual alat-alat ganti kereta.
Selain daripada sel penjara Soekarno, Jalan Banceuy juga terkenal dengan kilang kopi jenama Aroma. Kilang ini telah didirikan sejak tahun 1936 dan masih bertahan sehingga kini. Oleh sebab saya mengajar subjek Pengurusan dan Pengeluaran Operasi, saya sempat membuat tinjau proses pembuatan kopi Aroma tersebut yang mana entri khas mengenainya akan menyusul selepas ini.
Kilang Kopi Aroma |
Penjaja tauhu "pikulan" |
Setelah puas berjalan dan bertanya arah, akhirnya sampai juga kami ke tempat yang dituju. Penjara Banceuy yang asal sudah dirobohkan untuk dijadikan bangunan perniagaan seperti yang kelihatan dalam gambar di bawah. Yang tersisa hanyalah bilik sel no 5 tempat Soekarno dipenjarakan dan juga menara kawalan.
Sel no 5, bilik penjara Soekarno terletak di antara dua bangunan di sebelah kiri dan tengah gambar di atas |
Oleh kerana tempat ini tiada alamat, puas saya bertanya dan akhirnya diberitahu ia terletak di antara bangunan sebelah kiri dan bangunan tengah seperti pada gambar di atas. Walau bagaimanapun bilik penjara tersebut tidak boleh diakses daripada bahagian hadapan ini sebab ia berada dalam kawasan bangunan perniagaan dan berpagar. Oleh yang demikian kami terpaksa mengikut jalan belakang melalui sisi bangunan sebuah Bank. Namun kawasan tersebut juga dikelilingi oleh pagar besi yang berkunci. Justeru saya hanya mengambil gambar dari luar pagar sahaja.
Sel no. 5 bilik penjara Soekarno pada tahun 1929 |
Di sebelah kiri terdapat sebuah menumen batu bulat yang dilingkari dengan rantai besi dan si sebelah kanan ialah sebuah monumen berbentuk menara.
Semasa kunjungan saya pada akhir Oktober tahun 2012 yang lepas, saya tidak lihat menara kawalan penjara tersebut. Namun di sini saya paparkan menara kawalan tersebut yang saya kutip gambarnya daripada Internet bagi melengkapkan entri mengenai penjara Bancuey ini.
Menara kawalan penjara Banceuy Sumber: http://nrmnews.com/2011/03/06/penjara-banceuy-sel-tahanan-bung-karno-di-kota-kembang/ |
Selanjutnya kami menelusuri Jalan ABC menuju Jalan Otista di mana terletaknya Pasar Baru. Saya tertarik untuk meneliti lebih dekat jalan ini kerana namanya yang pendek iaitu "ABC" seakan-akan kependekan kepada Air Batu Campur. Nama jalan ini adalah unik sebab ia tidak dikaitkan dengan satu apa pun seperti sejarah, cerita, dan sebagainya seperti yang biasa dilakukan pada jalan-jalan yang lain. Nama asal jalan ini ialah ABC Straat dan selepas merdeka ia di tukar kepada Jalan ABC.
Selain daripada nama yang unik, Jalan ABC sebenarnya memiliki beberapa bangunan lama berusia satu abad yang mempunyai nilai sejarahnya sendiri. Salah satu daripada bangunan tersebut ialah Toko Bandung Baru yang dibina pada tahun 1910 - 1920 seperti yang tertera pada gambar di bawah ini.
Toko Bandung Baru tempoh dahulu Sumber: http://www.handmade.tobucil.net |
Toko Bandung Baru sekarang |
Toko ABC zaman dahulu sumber: http://www.handmade.tobucil.net |
Di sepanjang Jalan ABC ini terdapat banyak kedai-kedai yang menjual peralatan letrik dan kelengkapan rumah, kaca mata berbagai jenama, jam tangan, dan pelbagai jenis kamera second hand termasuk kamera SLR dan kamera klasik. Semasa menelusuri jalan ini kami di datangi oleh anak-anak kecil peminta sedekah. Keadaan mereka sangat menyedihkan. Setelah menerima pemberian daripada kami mereka terus beredar meneruskan mencari rezeki bagi menghadapi cabaran kota Bandung yang keras dan ganas ini. Maaf, tidak sampai hati untuk mengambil gambar mereka.
Jalan ABC |
Persimpangan Jalan ABC dan Jalan Otista berhampiran dengan Pasar Baru |
Kedai di hujung Jalan ABC di hadapan Pasar Baru |
Selajutnya kami menelusuri Jalan Otista menuju Jalan Cibadak. Jalan ini telah pernah kami lalui kelmarin untuk menziarahi kedai kenalan saya di Jalan Kepatihan (klik sini). Tujuan kami ke Jalan Cibadak ialah untuk membeli cendera hati yang dikatakan banyak terdapat di situ. Tetapi ternyata hampa, walaupun banyak barang yang boleh dijadikan cendera hati tetapi satupun tidak berkenan dihati kecuali bakul kecil sebesar kotak mancis yang kami beli dengan harga lebih kurang 60 sen satu. Di sini, kami didatangi oleh peminta sedekah yang mengalunkan lagu sunda dengan menggunakan alat muzik yang mempunyai pembesar suara. Suaranya nyaring dan merdu sekali. Setelah menerima pemberian daripada kami dia mengucapkan sesuatu dalam bahasa sunda, seolah-olah mendoakan kami, amin.
Jalan Otista |
Persimpangan Jalan Cibadak |
Gambar di atas diambil di simpang empat antara Jalan Oto Iskandardinata (Otista) sebagai jalan utama, Jalan Kepatihan (simpang kiri), dan Jalan Cibadak (kanan - tidak jelihatan). Di muka Jalan Kepatihan terpampang signboard "ANDA MEMASUKI KAWASAN 7 TITIK". Di Bandung terdapat tujuh kawasan/jalan yang terkenal dengan kesesakan lalu lintas yang teruk iaitu di kawasan Alun-Alun (Masjid Agung) dan sekitarnya, Jalan Otista (terutama di hadapan Pasar Baru), Jalan Kepatihan (seperti dalam gambar di atas), Jalan Dalem Kaum, Jalan Dewi Sartika, Jalan Asia Afrika, dan Jalan Merdeka. Di kawasan ini para pedagang kaki lima dilarang berniaga bagi mengelakkan kesesakan di situ. Tetapi ternyata larangan tersebut seolah-olah diabaikan, lebih-lebih lagi pada bulan ramadhan.
Kota Bandung terkenal dengan jolokan Kota Kulineri di mana di sini terdapat berbagai jenis makanan yang unik dan istimewa seperti tauhu gejrot, sekoteng, batagor (bakso tauhu goreng), peuyeum Bandung (tapai), pisang bolen, gegu (tauge tauhu), cireng (aci digoreng), soto Bandung dan sebagainya. Aci adalah bahasa Sunda bermaksud tepung kanji daripada ubi kayu.
Di Jalan Cibadak ini terdapat sebuah restoran yang sangat terkenal dengan soto "Ojolali" yang dikatakan menjadi primadona bagi setiap pelancung yang mengunjungi kota Bandung. Ojolali sebenarnya adalah bahasa Jawa yang bermaksud "jangan lupa". Nama asal soto ini ialah "Soto Karta Endi" iaitu mengambil nama sempena pengusaha awalnya iaitu Karta dan Endi yang berjaja secara berkeliling (pikulan?) di sekitar Pasirkaliki, Satsiun, Pasar Baru dan Cibadak. Mula-mula teringin untuk mencuba soto ojolili ni sebab saya memang peminat soto, tetapi bila tenguk tulisan cina kat pintu masuk tu, hilang terus selera sebab tahu-tahu sajalah kan, di Bandung ini hanya 18 buah restauran yang mendapat status halal daripada Majlis Ugama Islam (MUI) Indonesia.
Kawasan Cibadak |
Sedang kami melihat-lihat barang jualan di sini, kami didatangi oleh sekumpulan anak muda yang bernyanyi sambil memainkan alat muzik untuk mencari rezeki. Mereka ini dipanggil pengamen atau di tempat kita dikenali sebagai penyanyi jalanan. Keadaan sebegini memang lazim dilihat Indonesia, tidak kira di Angkot (Angkotan Kota), keretapi, bus, dan sebagainya kita boleh menemui mereka. Setelah mendapat sumbangan mereka akan beredar ke tempat lain.
Sedang mencari cendera hati yang sesuai |
Keadaan lorong antara bangunan kedai |
Tandas awam |
Alat timbang fesyen lama masih dijual di Bandung |
Selepas gagal mendapatkan cendera hati, kami berpatah balik menuju Pasar Baru untuk makan tengah hari di tingkat 6. Semasa mencari-cari gerai makan yang sesuai, kami bertembung dengan dua orang lelaki berkopiah putih, muka macam orang Malaysia. Saya melemparkan senyuman, memberi salam, sambil menundukkan kepala tanda hormat. Namun salam saya tidak berbalas, dan reaksi mukanya macam orang "sombong". Teringat saya akan cerita kawan-kawan di Internet akan gelagat orang Malaysia jika kita bertembung dengan mereka di luar negara.
Setelah makan, kami naik ke tingkat 7 untuk melihat pemandangan kota Bandung dari atas. Kami bertembung sekali lagi dengan dua orang "muka Malaysia" di situ. Kali ini kami buat hal masing-masing, dan ternyata mereka tidak mahu menegur kami.
Selepas mengambil beberapa gambar, kami turun ke lantai tiga untuk membeli beberapa helai telekong, kain pelikat, kain pasang, baju untuk dua orang cucu, dan sehelai kemeja sebagai oleh-oleh untuk dibawa pulang ke malaysia.
Selepas shopping, kami pun meninggalkan Pasar Baru untuk pulang ke hotel. Semasa hendak turun ke tingkat bawah, berhampir dengan escalator, dua orang pemuda cuba menyelit mengekori kami dari belakang, justeru saya minta mereka jalan dulu sebagai langkah berjaga-jaga. Semasa shopping tadi ramai yang mengingatkan kami agar berhati-hati terhadap penyeluk saku / pencopet. Mereka memberitahu kami bahawa di Pasar Baru ini banyak penyeluk saku dan ada di antara mereka adalah wanita yang berselindung di sebalik penampilan pakaian yang bertudung menyamar sebagai pelanggan.
Keadaan jalan yang sesak di hadapan Pasar Baru |
Sedang asyik tawar menawar, datang pula seorang wanita meminta sedekah. Saya kurang faham apa yang dicakapkannya tetapi yang jelas dia mendesak agar saya lekas memberikan wang kepadanya. Mood untuk membeli t-shirt sedikit terganggu. Saya memintanya agar bersabar dan tunggu sehingga saya habis tawar menawar. Tetapi ternyata dia sangat mendesak. Lantas saya menghulurkan beberapa rupiah yang dapat saya capai dari poket baju dan dia terus beredar dari situ. Sekiranya dia bersabar, mungkin saya akan memberikan lebihan rupiah yang masih ada sebab kami tidak bercadang untuk membeli belah selepas itu.
Setelah dua kejadian itu kami terus pulang ke hotel dengan berjalan kaki. Di pertengahan jalan datang pula seorang pemuda menawarkan perkhidmatan untuk membawa bag kami ke hotel. Dengan lembut saya menolak permintaan tersebut dengan alasan hotel kami hanya beberapa meter sahaja dari situ.
Alhamdulillah, kami selamat sampai ke hotel dalam keadaan yang penat sebab berjalan jauh. Setelah membersihkan diri dan solat kami lantas berehat menonton TV dan mengemaskan barang sebab esok kami akan berangkat pulang ke Malaysia.
Malam itu telefon bilik kami berbunyi, ternyata ada tamu di reception. Rupa-rupa seorang tukang jahit datang menghantarkan seluar dan baju yang saya tempah di Pasar Baru pada pagi kelmarin. Alhamduilillah, jahitannya kemas dan sesuai dengan saya.
Alhamdulillah, apa yang kami lalui pada hari ini amat bermakna dan kami berpuas hati serta bersyukur ke atas nikmat Allah SWT yang telah dikurniakan-Nya kepada kami.
Sekian, nantikan entri yang berikutnya.
Assalamualaikum, Tuan Haji.
ReplyDeleteDah lama saya ulang-ulang baca panduan-panduan mengerjakan umrah di blog tuan. Alhamdulillah, akhir Januari baru ni saya sekeluarga ke sana. Terima kasih Tuan Haji, penulisan tuan dan gambar2 yg dimuatkan banyak memberi manfaat kepada saya. Sekarang, gambar2 di sini saya jenguk selalu sebab rindu Madinah dan Mekah.
Tuan, saya doakan semoga tuan terus diberi kelapangan masa dan kesihatan oleh Nya untuk terus menulis untuk blog ini. Terima kasih sekali lagi.
Wa'alaikum salam wbt
DeleteAlhamdulillah terima kasih doakan saya, amin.