Thursday, October 21, 2010

Pengalaman Umrah: Tidak Nampak Isteri Di Hadapan Masjid Nabawi



Assalamu'alaikum wm wbr.

Ya Allah, ku mohon ampun kepadaMu di atas segala kesalahan dan dosaku. Sama ada yang aku sengajakan atau tidak aku sengajakan. Sama ada yang zahir mahupun yang batin. Sama ada pada perkataanku, tulisanku, atau perbuatanku. Sama ada semasa aku duduk diam atau semasa aku bergerak, atau semasa aku berkata-kata, atau kesalahan itu hanya terlintas dalam hatiku walau seketika. Sesungguhnya tidak ada daya upaya dan tidak ada kekuatan melainkan dengan keupayaan dan kekuatan Allah Yang Maha Tinggi lagi Maha Agong.

Para pembaca yang budiman. Dalam entri saya yang terdahulu, saya  memberikan beberapa panduan  kepada jemaah yang julung kali sampai di Makkah  agar tidak tersesat  di Masjidil Haram. Antara tip yang saya kemukakan ialah supaya jangan ada perasaan takabbur walau sebesar zarah sekalipun di dalam hati dan sentiasa beristighfar kepada Allah SWT.

Dalam entri kali ini saya ingin menceritakan sedikit pengalaman yang saya lalui di hadapan Masjidil Nabawi semasa mengerjakan haji pada tahun 2007 semoga kita sama-sama mengambil pengajaran daripadanya.

Alhamdulillah, pada tahun 2007 saya dan isteri menunaikan ibadah haji  dengan kumpulan terbang KT37  yang terbang terus ke Madinah. Di Madinah, kami di tempatkan di Hotel Movenpick yang sangat hampir dengan Masjid Nabawi. Di Masjid Nabawi, tidak seperti di Masjidil Haram, ruang solat wanita dan lelaki adalah berasingan. Oleh kerana kawasan masjid tersangat luas, dan para jemaah tersangat ramai, maka bagi memudahkan kami bertemu semula selepas keluar masjid,  kami telah memilih suatu tempat berhampiran dengan bangunan tandas lelaki no.9 sebagai "meeting point."

Suatu hari, saya keluar agak lewat dari masjid selepas solat zohor. Saya dapati isteri saya telah lama menunggu di tempat yang telah dijanjikan dalam panas terik matahari.  Kasihan melihat keadaannya, saya terus bertanya kenapa dia tidak menunggu di belakang tiang payung yang terletak 20 meter dari situ sebab dia boleh berteduh di bawah bayang-bayang tiang tersebut. Isteri saya memberitahu yang dia berpegang kepada janji dan khuatir saya tidak dapat mencarinya jika dia menunggu di belakang tiang tersebut. Lantas saya menjawab, "InsyaAllah, boleh cari." Selepas itu kami terus balik ke hotel untuk makan tengah hari.

Selepas berehat, kami pergi semula ke masjid untuk solat asar, dan kami berjanji untuk bertemu di tiang payung berhampiran dengan bangunan tandas lelaki no.9. Usai solat, saya bergegas keluar dari masjid sebab kami bercadang untuk mencari sedikit makanan. Saya menuju ke tempat yang telah dijanjikan tetapi isteri saya tidak kelihatan. Hanya ada beberapa orang jemaah dari Pakistan atau India di situ. Dalam fikiran saya, isteri mungkin lambat keluar sebab terhalang dalam masjid kerana jemaah terlalu ramai. Saya terus menunggu, tetapi isteri tidak muncul-muncul walaupun masa telah berlalu selama 20  minit.  Hati mula berasa gusar. Timbul pula sangkaan yang isteri telah balik ke hotel bersendirian atas sebab-sebab tertentu untuk qada' hajat dan sebagainya. Lantas saya bergegas ke hotel mencari isteri di sana, namun isteri saya tidak ada di bilik.

Saya berpatah semula ke masjid dengan hati yang gelisah memikirkan keadaan tersebut. Di dalam lift, saya teringat semula kata-kata saya selepas zohor tadi yang mana saya mengatakan kepada isteri "InsyaAllah boleh cari." Mungkin kata-kata tersebut, walaupun bersandarkan dengan "InsyaAllah", menyebabkan Allah tidak redha ke atas saya. Mungkin Allah hendak tunjuk kepada saya bahawa saya sebagai makhluq tidak sepatutnya melafazkan kata-kata tersebut. Saya seolah-olah bersandarkan kepada keupayaan diri sendiri, tidak kepada Allah, ketika mengucapkan kata-kata tersebut. Lantas saya beristighfar sebanyak mungkin dan meminta ampun kepada Allah SWT dengan setulus hati agar Allah menemukan semula isteri saya. Alhamdulillah, semasa saya sampai semula di tempat yang dijanjikan, isteri saya terus datang mendapatkan saya dari arah tiang payung tadi. Isteri saya mengatakan bahawa dia memang menunggu saya di situ sejak keluar dari masjid, dan dia tidak pergi ke mana-mana. Dia sendiri puas mencari saya namun tidak berjumpa.

Di Sekitar Kawasan Inilah Peristiwa Di Atas Berlaku

Dialog saya dengan isteri:

Saya: "Kesiannya, kenapa tunggu di tengah panas. Kenapa tidak tunggu di balik tiang sana tu?"
Isteri: "Kita janji di sini tadi, saya takut abang tidak dapat cari saya kalau saya tunggu di situ."
Saya: "InsyaAllah, boleh cari."

Doa saya selepas menyedari bahawa kata-kata tersebut tidak diredhai oleh Allah SWT.

"Ya Allah, sesungguhnya aku tidak bermaksud untuk takabbur dan membesar diri semasa aku melepaskan kata-kata tadi. Ya Allah, sekiranya kata-kataku tadi menyebabkan Engkau murka dan tidak redha ke atasku, aku memohon ampun kepadaMu Ya Allah. Ampunilah aku dan ketemukanlah aku dengan isteriku Ya Allah."

Selepas itu saya terus beristighfar sehingga saya bertemu semula dengan isteri.

Perhatian: Jika di Malaysia, kita sering berkata-kata seperti di atas. Memang tidak ada sekelumit pun perasaan takabbur dan membesarkan diri semasa saya berkata sedemikian. Namun, jika diperhatikan secara lebih halus, kata-kata sedemikian sudah membelakangkan Allah SWT. Dengan berkata sedemikian, seolah-oleh saya mempunyai kuasa mencari isteri saya. Allah SWT telah mengajar saya secara tunai di Madinah.

Jika dengan hanya berkata "InsyaAllah boleh cari", Allah sudah tidak redha apatalah lagi kata-kata sebahagian daripada orang-orang Islam di Malaysia "Hukum hudud tidak sesuai dilaksanakan di sini sebab kita hidup dalam masyarakat majmuk." Na'auzu billahi min zaa lik.

No comments:

Post a Comment

Assalam'alaikum wm wbr.

Terima kasih kerana sudi memberi ulasan. MOHON MAAF, BLOG SAYA ADA MASALAH - Saya tak dapat balas komen. Saya sedang mencari jalan penyelesaian.