Tuesday, October 19, 2010

Panduan Umrah – 41 – Tip Supaya Tidak Tersesat Di Masjidil Haram



Assalamu'alaikum wm wbr.

Kita sering mendengar kisah jemaah yang tersesat jalan, sama ada di Makkah mahupun di Madinah. Jamaah yang baru pertama kali ke tanah suci dan tidak sabar untuk ke Masjidil Haram untuk melakukan tawaf qudum (jika melakukan haji ifrad) atau tawaf umrah (jika melakukan haji tamattu') tidak dapat mencari jalan balik ke maktab atau ke hotel penginapan apabila terpisah daripada kumpulan. Bilangan jemaah yang terlalu ramai, bergerak dalam berbagai arah, di tambah dengan kawasan masjid yang terlalu luas dan bilangan pintu yang banyak menyebabkan jemaah hilang punca arah lokasi hotel.

Untuk mengelak perkara di atas berlaku, para jemaah perlulah:

1. Mengingat nama hotel, nombor bilik, nombor maktab, atau nombor KT (Kelompok Terbang) masing-masing supaya senang dihantar oleh petugas Tabung Haji atau jemaah lain (sekiranya bertemu) ke hotel penginapan. Pernah pada tahun 2007, apabila saya bertanya kepada seorang jemaah wanita yang tersesat, apakah nama hotel atau nombor maktab penginapannya di Makkah? Jawapannya ialah, "Tak tahulah makcik, tapi makcik tinggal di tingkat lima". Bayangkan ada berapa banyak hotel di Makkah mempunyai bilik-bilik penginapan di tingkat 5!

2. Sentiasa membawa kad nama yang dibekalkan oleh Tabung Haji. Pada kad tersebut tercatat nama dan alamat hotel dan nombor maktab.

3. Semasa masuk ke Masjidil Haram, ingatkan nama dan nombor pintu masuk, contoh: Pintu King Abdul Aziz (pintu nombor 1). Bab al-Marwah, Bab al-Umrah, Bab al-Fatah, pintu no. 86 dan sebagainya. Jadi semasa balik, carilah pintu-pintu tersebut dan buat temu janji dengan kawan-kawan, jika terpisah bertemu di depan pintu-pintu tersebut.

4. Di dalam Masjidil Haram, tentukan tempat "meeting point" - tempat bertemu/berjumpa yang mudah dicari. Sebagai contoh, di bawah lampu hijau isyarat garis permulaan tawaf.

5. Ingat bangunan-bangunan yang unik, masjid, shopping complex, dsb, terutama bangunan-bangunan di persimpangan jalan, untuk dijadikan "land mark". Contoh, ketika datang tadi saya melalui Masjid Kucing. Atau, ketika saya datang tadi melalui istana raja. Atau, ketika datang tadi saya melalui terowong, dsb.

6. Bawa telefon bimbit dan catatkan nombor telefon rakan sebilik, nombor telefon pegawai Tabung Haji, dsb. Jika tersesat, hubungi mereka untuk panduan jalan pulang ke hotel.

7. Elakkan perasaan takabbur walau sebesar zarah sekalipun di dalam hati dan sentiasa beristighfar mohon Allah swt memudahkan pekerjaan haji kita.

No comments:

Post a Comment

Assalam'alaikum wm wbr.

Terima kasih kerana sudi memberi ulasan. MOHON MAAF, BLOG SAYA ADA MASALAH - Saya tak dapat balas komen. Saya sedang mencari jalan penyelesaian.