Wednesday, July 28, 2010

Umrah 2010: Masjidil Haram - Sabtu 15/5/2010 - Menunggu Isya'

Assalamu'alaikum wm wbr.

Syukur ke hadrat Allah SWT di atas segala nikmat yang telah dikurniakan-Nya sama ada yang saya ketahui mahupun nikmat yang tidak saya ketahui.  Selawat dan salam diucapkan kepada Nabi junjungan, Muhammad SAW, juga ke atas ahli keluarga baginda yang mulia dan juga kepada para sahabat baginda yang agong di sepanjang zaman.

Interlude ....

Sesungguhnya Allah SWT menurunkan 120 rahmat setiap hari kepada para tetamu-Nya di Masjidil Haram as-Syarif yang mana 60 rahmat-Nya dikurniakan kepada orang yang melakukan tawaf. 40 rahmat-Nya dikurniakan kepada orang yang solat, membaca al-Quran, berselawat, beristighfar, berzikir dan sebagainya, dan kepada jemaah yang hanya memandang atau melihat kaabah, dikurniakan sebanyak 20 rahmat.  Inilah salah satu bukti betapa Allah SWT itu Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.  Kita duduk-duduk sahaja, bersantai di Masjidil Haram sambil memandang kaabah mendapat kurnia sebanyak 20 Rahmat Allah SWT. Jadi alangkah beruntungnya menjadi tetamu Allah. Semuanya ini membuatkan hati ini bertambah rindu untuk ke sana.

Tetapi kadang-kadang para tetamu Allah di Masjidil Haram macam terkena suatu sindrom yang dipanggil 'sindrom biasa'.  Sindrom ini selalu menimpa orang yang pernah melakukan umrah ataupun haji beberapa kali.  Juga terkena kepada orang yang telah lama tinggal di Makkah seperti pelajar dan sebagainya.  Bagaimana hendak tahu yang kita sudah terkena sindrom ini? Simptom sindrom biasa ini ialah terasa dalam hati suatu perasaan tidak mahu melakukan tawaf sunat ketika orang terlalu ramai melakukan tawaf sebab tidak mahu bersesak-sesak. Tidak hendak berebut solat di saf di dataran kaabah sebab cukup solat di tempat yang bertutup atau di tempat yag ada hawa dingin, dan sebagainya sebab cuaca panas atau orang terlalu ramai. Kita sering membuat alasan yang kita telah pernah mencium hajar aswad, oleh itu tidak mahu berebut-rebut dan ingin memberi peluang kepada orang lain yang belum pernah mencium hajar aswad. 

Sindrom biasa ini pernah terkena kepada saya semasa saya menunaikan Haji pada tahun 2007 dahulu.  Pada tahun itu, seperti juga pada musim-musim haji yang lain,  jemaah terlalu ramai. Suatu hari saya cuba untuk mencium hajar aswad. Untuk itu saya pergi ke Masjidil Haram seawal jam 2.00 pagi dan melakukan tawaf sunat sambil mengintai peluang setiap kali melepasi rukun yamani.  Hasilnya, sehingga jam 10.00 pagi saya masih tidak berpeluang untuk mencium hajar aswad sebab saya tidak mahu berebut-rebut walaupun berada dua depa daripada hajar aswad. Selepas itu, saya terus membatalkan niat untuk mencium hajar aswad atas alasan, pertama (1) sebab saya pernah menciumnya pada suatu ketika dahulu, kedua (2) ternyata kalau hendak juga menciumnya pada musim haji maka perlulah saya bersesak-sesak, bertolak-tolak, bersigung-sigung, berhimpit-himpit dan sebagainya.  Ada kemungkinan semasa berhimpit-himpit itu, terhimpit jemaah wanita yang tidak kurang bersemangat untuk mencium batu dari syurga tersebut.  Sejak hari itu, saya memasang azam untuk melakukan umrah pada tahun-tahun mendatang dengan harapan bilangan jemaah yang melakukan umrah adalah tidak ramai. Moga-moga dapat mencium hajar aswad, moga-moga dapat solat dan berdoa dalam hijir Ismail, moga-moga dapat tawaf dengan selesa, moga-moga dapat solat dan beriktifat di kawasan raudah di Masjid Nabawi, moga-moga dapat beriktikaf di pangkin ahli suffah dan sebagainya.  Alhamdulillah, ku panjatkan kesyukuran kepada-Mu sebanyak bilangan yang tidak dapat ku hitung, sebanyak keluasan ilmu-Mu yang tidak mempunyai had, sebanyak bilangan makluk yang Kau cipta di atas segala nikmat kurniaan-Mu kepada ku dengan menjemput daku menjadi tetamu-Mu baru-baru ini. Ucapan kesyukuran tersebut pertama kali dilafazkan dalam entri Ku Sambut Panggilan-Mu Ya Allah, dengan menggunakan kemudahan Wi-Fi di pejabat Hj. Arshad - blogger KEHIDUPAN MAKKAH. Jutaan terima kasih diucapkan kepada Tuan Haji Arshad yang banyak membantu semasa saya di Makkah, semoga Allah SWT membalas jasa baik tuan.

Tamat interlude ....

Berbalik kepada topik entri ini dibuat.  

Kaabah ialah antara lima (5) perkara yang membuahkan ganjaran pahala hanya dengan melihat atau menatapnya sahaja. Allahu Allah! Alangkah mudahnya untuk mendapat pahala! So lima perkara itu ialah:

1. Melihat kaabah
2. Melihat al-Quran
3. Melihat wajah kedua ibubapa
4. Melihat wajah ulama' atau orang 'alim.
5. Melihat air zam-zam, air laut, dan gunung.

Semasa saya duduk di binaan Usmani menghadap kiblat pada rukun hijir Ismail, saya ternampak seorang jemaah membaca sesuatu menggunakan kanta pembesar (magnifying glass). Kegigihan beliau menyebabkan saya tertarik untuk mengabadikan moment tersebut. Jemaah ini mungkin membaca doa ataupun hizib tertentu. Saya juga sempat merakamkan foto orang yang memandang kaabah. Inilah foto-foto mereka.

Sekian, wasalam.


15/5/2010 7:42pm - Antara Maghrib dan Isya' - Membaca Doa atau Zikir  Menggunakan Kanta Pembesar.



15/5/2010 7:43pm - Melihat Kaabah Mendapat 20 Rahmat, Alhamdulillah.

3 comments:

  1. As Salam yg perkara apa rujukan dia , tk.

    ReplyDelete
  2. nak tanya kalu tgk melalui gambar dapat rahmat x?

    ReplyDelete
  3. Salam Lanternlantern

    Kena berada di sana baru peroleh Rahmat Ilahi.

    ReplyDelete

Assalam'alaikum wm wbr.

Terima kasih kerana sudi memberi ulasan. MOHON MAAF, BLOG SAYA ADA MASALAH - Saya tak dapat balas komen. Saya sedang mencari jalan penyelesaian.