Sunday, December 23, 2012

Trip Ke Bandung - Hari Pertama - Mendapat Pelajaran Di Jalan Merdeka

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى رَسُوْلِ اللهِ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِه

S
yukur kepada Allah SWT Tuhan sekelian alam yang telah mengurniakan sedikit kelapangan kepada saya untuk update blog yang agak lama tidak dikemaskini.  Untuk pengetahuan para pembaca sekelian, sejak beberapa minggu ini saya seolah-olah tiada mood langsung untuk menulis. Antara tugas pejabat dan menulis blog, maka sudah tentulah tugas pejabat perlu diutamakan, dan ini diparahkan lagi dengan kesihatan saya yang tidak menentu sekarang ini. Apa-apa pun saya tetap bersyukur kerana dapat muhasabah diri apabila ditimpa musibah tersebut.

Alhamdulillah, pada 29 Okt - 1 Nov 2012 yang lepas saya dan isteri berpeluang ke Bandung untuk merehatkan minda dan melawat negara asal arwah datuk saya. Pemergian ke Bandung ini ala-ala backpacker, tanpa menggunakan pemandu pelancung atau travel agent.  Justeru itu sebelum bertolak ke Bandung saya telah membuat rujukan di Forum All About Bandung, Indonesia dalam  mforum.cari.com.my dan juga membaca beberapa blog mengenai Bandung.

Kami menaiki pesawat AirAsia AK1328 yang berlepas pada jam 6:35AM dan tiba di Bandung pada jam 7:50AM. Semasa pesawat touch down di Bandung kami dikejutkan dengan bunyi detikan yang agak kuat di bahagian lantai kapal terbang. Beberapa orang penumpang di belakang saya jelas kaget dan saya dapat mengagak apa yang mereka fikirkan. Namun alhamdulillah kami selamat sampai di Bandara Husein Sasteranegara.

Alhamdulillah, urusan pemeriksaan passport di kaunter Imigresen berjalan dengan lancar. Setelah mengambil bagasi, kami membeli kupon teksi di kauter yang terdapat di ruang legar airport untuk ke Hotel Kenangan. Tambang teksi ialah 45,000 rupiah iaitu lebih kurang RM14.50.

Tempat ambil baggage yang kecil
Kami check-in di Hotel Kenangan dengan kadar IDR260,000 (RM84.24)/malam.


Setelah mendapat rehat yang cukup kami menaiki Angkot menuju Jalan Merdeka dan turun berhampiran Hotel Panghegar. Kami berjalan kaki meyusuri Jalan Merdeka sambil mencari gedung Aria Jeans untuk menempah seluar jeans di situ.

Permulaan Jalan Merdeka.
Di sebelah kanan gambar ialah Hotel Panghegar


Namun pencarian itu tidak berhasil hingga membawa saya ke Bandung Indah Plaza iaitu di penghujung Jalan Merdeka. Ini bermakna saya telah berjalan sejauh hampir satu kilometer.
Bandung Indah Plaza di lihat dari persimpangan
Jalan Aceh dengan Jalan Merdeka
Apa yang dicari tidak berjumpa, sebaliknya saya diketemukan dengan beberapa scene yang memperlihatkan betapa kerasnya kehidupan di kota besar seperti Bandung ini. Mula-mula saya bertemu dengan sepasang suami isteri dengan pakaian dan rambut yang tidak terurus.  Si suami sedang terbaring di bawah redupan pokok dalam keadaan menahan kesakitan dan si isteri memicit-micit badan suami bagi menenangkannya. Ternyata mereka adalah golongan gelendangan yang terpinggir kerana kerasnya kehidupan kota.

Scene yang kedua ialah seperti yang boleh dilihat dalam gambar di bawah ini, iaitu seorang lelaki separuh umur sedang tidur di tepi sebuah longkang seolah-olah tidak mempedulikan keadaan di sekelilingnya.


Kedua-dua tempat ini sangat hampir dengan hotel Panghegar yang tersergam indah di seberang Jalan Merdeka. Pemandangan ini sangat menyayat hati. Saya yakin Allah SWT memperlihatkan pemandangan tersebut supaya saya membuka mata hati memikirkan betapa bertuahnya tubuh ini mendapat anugerah Allah SWT yang kadang-kala selalu saya abaikan. Saya yakin telah mendapat pelajaran yang berharga dalam perjalanan kali ini. Mudah-mudahan Allah SWT memberikan rezeki yang melimpah ruah dan mengubah nasib golongan gelendangan ini, Amin.

Bersambung ...

No comments:

Post a Comment

Assalam'alaikum wm wbr.

Terima kasih kerana sudi memberi ulasan. MOHON MAAF, BLOG SAYA ADA MASALAH - Saya tak dapat balas komen. Saya sedang mencari jalan penyelesaian.