Tuesday, December 21, 2010

Hijrah Rasulullah S.A.W. Ke Madinah - Part 5

Assalamu'alaikum wm wbr.

... sambungan

Menurut Ibnu Ishak, dari Qudaid  mereka meneruskan perjalanan melewati al-Kharrar, kemudian melewati Thaniya al-Marrah, kemudian berjalan melewati Liqf, kemudian melintasi Madlajah Liqf, kemudian bergerak ke Madlajah Mijaj, kemudian mereka masuk Majlaj Mijaj, kemudian melewati Marjih Majaj, kemudian memasuki Mazhaj Zi Ghadhwin menyusur ke Zi Kasyr terus ke al-Jadajid, lepas itu ke al-Ajrad, dengan memasuki Za Salam kemudian dari Batnu A’ada memasuki Ta’hn berlepas ke al-Ababid melintasi al-Fajah turun al-A’rj mengarah ke Thaniyah al-A’air di sebelah kanan Rakubah, kemudian turun lagi ke Batn Ra’im akhirnya sampai ke Quba’ di Bani Amru bin Auf, pada 12 Rabiulawwal, hari Isnin, pada waktu dhuha hampir habis, dan ketika matahari sedang-sedang sahaja.

Dalam perjalanan tersebut Rasulullah telah terserempak dengan Abu Baridah, seorang ketua kabilah. Dia keluar untuk mencari Nabi dan sahabatnya untuk mendapat tawaran hadiah besar daripada kafir Quraisy. Apabila dia berdepan dengan Rasulullah S.A.W. dan mendengar sabdanya, dia pun memeluk Islam bersama dengan 70 orang pengikutnya. Kemudian dia mencabut serbannya dan diikat di hujung tombaknya, dikibar sebagai bendera bagi mengisytiharkan tegaknya kerajaan yang memenuhi dunia dengan keadilan.






Tiba Di Quba'
.
Perjalanan yang penuh dengan keberkatan dan tanda-tanda kebenaran dari Allah SWT itu penuh dengan ujian. Bukan sahaja menjadi buruan musuh, tetapi keadaan padang pasir yang panas, berbukit bukau, dan berbatu pejal itu semuanya menjadi bebanan musafir yang jauh itu. Tetapi Allah memberi kekuatan dengan berlakunya mu'jizat, bagi menyatakan Allah SWT sentiasa bersama Rasulullah di mana sahaja baginda pergi dan itulah juga yang menjadi keimanan dalam diri Rasulullah.

Perjalanan Ke Madinah Melalui Kawasan Berbukit Bukau
.
Kepenatan musafir selesai dengan tibanya Rasulullah S.A.W. di Quba' pada hari Isnin 12 Rabi'ul-Awwal (ada yang mengatakanpada 8 Rabi'ul-Awwal) tahun ke empat belas kenabian dan tahun pertama hijrah. Usia Baginda pada ketika itu ialah 53 tahun.
.
Penduduk Madinah menunggu-nunggu kedatangan Rasulullah S.A.W. Menurut riwayat Urwah bin Az-Zubir, setelah mereka mendengar berita bahawa Rasulullah S.A.W. telah pun keluar dari Mekah, tiap-tiap hari mereka berkumpul di al-Harrah menunggu ketibaan Rasulullah. Mereka berada di situ dari pagi sehinggalah terasa kepanasan waktu zohor barulah mereka meninggalkan tempat itu. Kebetulan Rasulullah tiba di kala orang-orang Madinah telah pulang ke rumah. Orang yang pertama sekali melihat kedatangan Rasulullah ialah seorang Yahudi. Orang Yahudi tersebut berteriak kasar dengan berkata, "Hai Bani Qailah (kaum Ansar), ini dia datuk kalian telah datang!!" Orang-orang Islam bersegera keluar dari rumah untuk menemui Rasulullah yang ketika itu berteduh di bawah pohon kurma ditemani oleh Abu Bakar. Sebahagian daripada kaum Ansar tidak mengenali Rasulullah, sehingga ada di kalangan mereka menyangka Abu Bakar itulah Rasulullah yang mereka tunggu-tunggu. Apabila Rasulullah terkena pancaran matahari, Abu Bakar berdiri dan memayungi Rasulullah dengan selindangnya. Ketika itu barulah mereka sedar bahawa mereka tersalah anggap.

Rasulullah s.a.w. tinggal di rumah Kulthum bin Hidam, saudara Bani Amru bin Auf dan bertemu orang ramai di rumah Saad bin Khaithamah. Rasulullah lebih suka tinggal di rumah Saad bin Kaithamah sebab dia tidak mempunyai isteri dan menjadi tempat berkumpulnya orang-orang muhajirin yang tidak beristeri. Manakala Abu Bakar pula tinggal di rumah Khabib bin Isaf, salah seorang dari Bani al-Harith bin al-khazraj di as-Sunh. Kemudian Ali bin Abi Talib tiba di Quba' setelah menyampaikan barang-barang amanat yang disimpankan kepada Rasulullah di Makkah kepada tuannya masing-masing. Di Quba', Ali tinggal bersama Rasulullah. 



Rasulullah S.A.W. tinggal di Quba' selama empat hari iaitu pada hari Isnin, Selasa, Rabu, dan Khamis. Di Quba' Baginda meletakkan asas sebuah masjid dan bersembahyang di dalamnya. Itulah masjid yang pertama yang dibina di atas dasar taqwa sebagaimana yang dinyatakan dalam surah at-Taubah ayat 108.
لاَ تَقُمْ فِيهِ أَبَداً لَّمَسْجِدٌ أُسِّسَ عَلَى التَّقْوَى مِنْ أَوَّلِ يَوْمٍ أَحَقُّ أَن تَقُومَ فِيهِ فِيهِ رِجَالٌ يُحِبُّونَ أَن يَتَطَهَّرُواْ وَاللّهُ يُحِبُّ الْمُطَّهِّرِينَ
Jangan engkau sembahyang di masjid itu selama-lamanya, kerana sesungguhnya masjid (Qubaa' yang engkau bina wahai Muhammad), yang telah didirikan di atas dasar taqwa dari mula (wujudnya), sudah sepatutnya engkau sembahyang padanya. Di dalam masjid itu ada orang-orang lelaki yang suka (mengambil berat) membersihkan (mensucikan) dirinya; dan Allah Mengasihi orang-orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin). 

Masjid Quba'
.

Pemandangan Bahagian Dalam MAsjid Quba'
.
Hadis Riwayat Ibnu Majah menyatakan Rasullullah bersabda : "Barangsiapa telah bersuci (mengambil wudu’) di rumahnya, dengan sebaik-baik wudu’, kemudian mendatangi Masjid Quba’ lalu solat di dalamnya dua rakaat, maka baginya sama dengan pahala umrah".
.
Pada hari Jumaat Baginda berangkat ke Madinah diiringi oleh Abu Bakar dan disertai juga oleh anggota keluarga Baginda dari Bani al-Najjar. Mereka datang untuk mengiringi Rasulullah dengan bersenjatakan pedang. Apabila sampai di kampung Bani Salim bin Auf, iaitu kira-kira satu kilometer ke utara Quba', Baginda mendirikan solat Jumaat di masjid yang berada di tengah lembah iaitu lembah Ranuna'. Dan itulah solat Jumaat pertama yang didirikan oleh Rasulullah S.A.W. di Madinah.

Masjid Jummah, Di sinilah Rasulullah Mendirikan Solat Jumaat Pertama di Madinah

Bersambung ...

No comments:

Post a Comment

Assalam'alaikum wm wbr.

Terima kasih kerana sudi memberi ulasan. MOHON MAAF, BLOG SAYA ADA MASALAH - Saya tak dapat balas komen. Saya sedang mencari jalan penyelesaian.