Friday, December 17, 2010

Hijrah Rasulullah S.A.W. Ke Madinah - Part 3

... Sambungan

Perjalanan Ke Madinah

Setelah tiga hari Baginda Rasulullah dan Abu Bakar berada di gua Thur, api kemarahan dan usaha memburu Rasulullah mula mengendur. Orang-orang Makkah tidak lagi membicarakan Rasulullah dan sahabatnya. Pada malam Isnin 1 Rabiul Awwal, tahun pertama Hijrah, seperti yang telah dijanjikan, juru pandu upahan Nabi iaitu Abdullah bin Uraiqit muncul di hadapan gua dengan membawa dua ekor unta yang telah dititipkan kepadanya oleh Abu Bakar sebelum itu. 

Abu Bakar mendekatkan kedua-dua untanya kepada Rasulullah, ia berikan unta yang paling baik kepada Baginda sambil berkata, "Naiklah, ayah dan ibuku menjadi tebusan untukmu."

Rasulullah bersabda, "Aku tidak akan menaiki unta yang bukan milikku."

Abu Bakar berkata, "Unta tersebut untukmu wahai Rasulullah, ayah dan ibuku menjadi tebusan untukmu."

Rasulullah bersabda, "Tidak. Berapa harga unta ini jika engkau menjualnya?"

Abu Bakar menjawab, "Sekian dan sekian."

Rasulullah bersabda, "Aku beli unta ini dengan harga tersebut."

Abu Bakar menjawab, "Unta tersebut menjadi milikmu, wahai Rasulullah."

Kemudian Rasulullah S.A.W. dan Abu Bakar menaiki unta masing-masing. Sebelum berangkat, Asma' binti Abu Bakar datang membawa makanan bekal perjalanan tetapi ia terlupa membawa tali pengikat makanan. Dia membelah dua tali ikat pinggangnya, satu digunakan untuk mengikat bekalan makanan dan yang satu lagi untuk dipakainya. Oleh yang demikian beliau dikenali sebagai Dzatu an-Nitaqain (wanita yang mempunyai dua tali pinggang).

Rasulullah S.A.W. dan Abu Bakar, dengan ditemani oleh Amir bin Fuhairah dan juru pandu Abdullah bin Uraiqit yang masih musyrik, bergerak ke arah selatan (Makkah bawah) menuju Yaman, kemudian beralih ke arah persisir pantai, hingga apabila sampai ke jalan yang tidak pernah dilalui orang, mereka mengalih ke arah utara menghampiri pantai laut merah, iaitu jalan yang tidak diguna orang kecuali jarang-jarang sahaja, hingga bertemu dengan jalan sebelah bawah 'Usfan.

Peta Perjalanan Rasulullah Dari Gua Thur Ke "Usfan

Perhal Suraqah Bin Malik Bin Ju'syum

Suraqah bin Malik Bin Ju'syum berjaya mengesan lalu mengikut jejak Rasulullah. Suraqah berkata: "Ketika aku sedang duduk di balai pertemuan kaumku (Bani Mudlij), tiba-tiba salah seorang dari kaumku datang dan berdiri di tengah-tengah kami. Ia berkata, "Demi Allah! tadi aku melihat tiga orang berjalan melewati kami. Sungguh aku mendapati mereka adalah Muhammad berserta dua orang sahabatnya." Aku memberi isyarat dengan anak mataku agar ia diam. Aku berkata, "Tidak. Mereka dari bani si Fulan yang sedang mencari barang mereka yang hilang." Orang tersebut berkata, "Ya, boleh jadi begitu." Setelah itu orang tersebut diam. Aku diam sebentar, kemudian aku berdiri dan pulang ke rumah. Aku suruh keluargaku menyiapkan kudaku, kemudian kudaku diikat di lembah. Aku juga menyuruh keluargaku menyiapkan senjata untukku.

Aku ambil dadu undianku yang biasa aku pakai untuk mengundi. Kemudian aku keluar dengan mengenakan baju besiku sambil mengeluarkan dadu dan aku mengadakan undian dengannya. Ternyata yang keluar adalah dadu yang aku benci iaitu tulisan, "Tidak membahayakannya." Aku berharap dapat membawa Muhammad kepada kaum Quraisy sehingga aku boleh mendapatkan hadiah sebanyak seratus ekor unta. Setelah itu aku berjalan menelusuri jejak Muhammad.

Ketika kudaku berlari kencang membawaku, tiba-tiba kudaku tersandung dan aku terpelanting darinya. Aku berkata, "Apa ertinya ini semua?" Aku keluarkan dadu undianku dan aku mengadakan undian dengannya. Ternyata dadu yang keluar adalah dadu yang aku benci yang bertuliskan, "Tidak membahayakannya." Walaupun begitu aku tetap ingin mengejar dan menelusuri jejak Muhammad. Ketika kudaku berlari kencang membawaku, tiba-tiba ia tergelincir dan aku terpelanting darinya. Aku berkata, "Apa erti semua ini?" Kemudian aku keluarkan dadu undianku dan mengadakan undian dengannya. Ternyata yang keluar ialah dadu yang aku benci yang bertuliskan, "Tidak membahayakannya." Aku tetap ingin mengejar Muhammad dan menyusur jejaknya.

Ketika orang tersebut (Muhammad dan Abu Bakar) telah terlihat olehku, tiba-tiba kudaku terperosok hingga kedua-dua kakinya masuk ke dalam tanah dan aku terjatuh darinya. Kudaku menarik keluar kedua-dua kakinya dari dalam tanah dengan diiringi asap seperti badai. Ketika aku melihat kejadian tersebut aku sedar bahawa Muhammad dilindungi dariku dan bahawa dia menang. Aku berseru kepada orang tersebut (Rasulullah S.A.W. dan Abu Bakar) dan aku katakan kepada mereka, "Aku Suraqah bin Malik bin Ju'syum. Tunggulah aku, aku ingin bercakap dengan kalian. Demi Allah aku tidak mencurigai kalian dan sesuatu yang kalian benci dariku tidak akan datang kepada kalian." Rasulullah S.A.W. bersabda kepada Abu Bakar, "Katakan kepadanya apa yang ia minta dari kami."

Abu Bakar menyampaikan pesan Muhammad kepadaku. Aku berkata, "Tulislah untukku tulisan yang menjadi bukti antaraku denganmu." Rasulullah S.A.W. bersabda, "Tulislah tulisan untuknya wahai Abu Bakar!" Abu Bakar menulis untukku tulisan di tulang atau di secarik kertas atau tembikar kemudian dia melemparkannya kepadaku. Aku segera mengambilnya dan menaruhnya di busur panahku. Setelah itu aku pulang, diam dan tidak bercerita sedikitpun tentang kejadian yang baru aku alami, sehingga pada ketika Rasulullah S.A.W. berjaya menakluk Makkah. Selepas perang Hunaian dan perang Taif, aku keluar membawa tulisan yang pernah diberikan kepadaku untuk ku berikan kepada Baginda. Aku bertemu baginda di al-Ji'ranah. Aku angkat tanganku dengan memegang tulisan tersebut dan aku berkata kepada Baginda, "Wahai Rasulullah, inilah tulisanmu kepadaku. Aku Suraqah bin Malik bin Ju'syum." Rasulullah bersabda, "Sekarang hari penetapan janji dan kebaikan. Dekatkan dia kepadaku!" Aku mendekati kepada Rasulullah dan masuk Islam.


Dari 'Usfan Baginda Rasulullah Menuju Amaj.
Dalam Perjalanan Inilah Suraqah Bin Malik Cuba Memintas Rasulullah S.A.W

Bersambung...

No comments:

Post a Comment

Assalam'alaikum wm wbr.

Terima kasih kerana sudi memberi ulasan. MOHON MAAF, BLOG SAYA ADA MASALAH - Saya tak dapat balas komen. Saya sedang mencari jalan penyelesaian.