Monday, September 13, 2010

Demi Anak Bangsa - Inilah Natijahnya

Assalamu'alikum wm wbr., 

Agak lama saya tidak bersiaran dan blog ini sudah mula hendak bersawang. Di hari-hari terakhir Ramadhan, hati rasa berat untuk update entri di sini walaupun terlalu banyak bahan untuk dijadikan entri. Tidak tahu kenapa, tiba-tiba perasaan malas untuk berbelog datang menyerang. Mungkin suasana di tempat kerja mempengaruhi mood untuk berbelog. Empat lima hari sebelum hari raya, rakan-rakan sejawat dan students masing-masing sibuk memikirkan untuk pulang ke kampung. Pelajar-pelajar dari Sabah dan Sarawak awal-awal lagi telah balik ke kampung dengan alasan telah tempah tiket kapalterbang. Selepas hari raya ni, mereka kebiasaannya akan balik ke kolej lambat daripada kawan-kawan yang lain atas alasan tidak ada tiket pulak. Itulah alasan standard mereka setiap tahun. 

Sementelah menulis entri ini elok saya update satu peristiwa yang berlaku satu minggu sebelum hari raya. Secara tepatnya ialah pada 3 September 2010 jam 2:10 pagi, malam Jumaat. Ini adalah kisah bagaimana pelajar-pelajar sebuah IPTA yang berhampiran dengan tempat saya tinggal menyambut 'Lailatul Qadar'.  Malam itu sekitar 2:00 pagi saya terjaga (tersentak!) dari tidur. Dalam keadaan terpisat-pisat, seperti orang kena hipnosis, sayup-sayup kedengaran dentuman mercun dan hilai tawa orang perempuan. Lama kelamaan bunyi dentuman tersebut semakin kuat dan hilai tawa pun semakin bingit dan hingar bingar. Kemudian satu dentuman mercun yang cukup kuat kedengaran berhamiran dengan rumah.  Saya lihat jam di dinding menunjukkan angka 2:10 pagi. Lantas saya bingkas bangun dan membuka pintu dan mendapati sekumpulan pelajar sedang membakar mercun dan bunga api di hadapan rumah sewa mereka yang secara kebetulan di hadapan rumah saya. Berderai-derai hilai tawa seperti orang kena histeria apabila bunga api dan mercun meletup. Tidak dapatlah saya menahan sabar dengan lebih lama lagi lantas suatu jeritan yang kuat memecah suasana malam yang sepatutnya hening, "Hoi, kenapa memekak malam-malam buta ni? Tidak tahu ke sekarang pukul 2:00 pagi?" Maka dengan serta merta suasana bingit tadi menjadi sunyi sepi, alhamdulillah. Masing-masing terkedu dan baru terperasan yang mereka telah mengganggu ketenteraman jiran tetangga. Namun api pelita untuk membakar mercun dan bunga api masih lagi terpasang. Saya masuk semula ke dalam rumah mencari cermin mata. Saya ini rabun jauh, jadi manalah nampak sangat dalam jarak 50 meter waktu malam-malam tersebut. Setelah memakai cermin mata, saya keluar semula dari rumah dan kali ini baru perasan ada beberapa orang pelajar lelaki turut serta dalam pesta membakar mercun tadi. Mereka ini tukang bakar mercun, dan pelajar permpuan tukang sorak. Sekali lagi keheningan malam dikejutkan dengan suara pekikan, "Ini yang lelaki ni apa pasal ada kat rumah orang pompuan?". Sekali lagi mereka terkejut dan terkedu. Tak sangka rupa-rupanya ada orang tergamak sergah mereka sedemikian. Saya terus memerhati ke arah mereka sehinggalah pelajar-pelajar perempuan masuk ke rumah dan pelajar-pelajar lelaki beredar dari situ dengan tiga buah kereta. Sejurus kemudian hujan turun dengan lebatnya dan saya bergegas masuk ke dalam rumah, minta isteri cari bekas untuk tadah air hujan malam Jumaat.

Alhamdulillah, dengan limpah kurnia Allah SWT, saya telah terkejut daripada tidur. Alhamdulillah, Allah SWT telah memberi saya kekuatan untuk menegur pelajar-pelajar tersebut. Jika tidak kemanakah pelajar-pelajar lelaki tersebut akan berteduh dari hujan lebat tersebut? Dan apa pula yang akan berlaku jika lelaki dan perempuan tanpa mahram telah berkumpul dengan kehadiran syaitan untuk menggoda keimanan mereka? Biarlah saya dicop oleh mereka sebagai garang asalkan saya dapat menjalankan tugas sebagai seorang muslim. Namun timbul persoalan, beginikah cara anak bangsa menyambut lailatul qadar? Kita sebagai orang yang beriman sepatutnya menghiasi 10 malam terakhir Ramdhan dengan amal ibadat seperti membaca al-Quran, solat tahajjud, serta memperbanyakkan doa agar diberi kebaikan dan keberkahan dalam hidup dunia akhirat. 

Saya difahamkan oleh kawan-kawan, pelajar-pelajar tersebut sangat-sangat dimanjakan oleh pihak pengurusan atasan IPTA tersebut. Kalimah "Demi anak bangsa" sering diucapkan. Para pelajar digalakkan menghantar sms terus kepada pihak atasan jika mereka tidak berpuas hati terhadap seseorang pensyarah. Pendek kata, mereka memang dimanjakan! Inilah natijahnya, apabila para pelajar tidak menghormati jiran tetangga. 

Mungkin anda mengatakan ini adalah kes yang terpencil. Ok, kalau begitu perhatikan pula kejadian berikut yang berlaku kira-kira 5 tahun yang lepas...

Malam itu saya dikejutkan dengan jerit pekik dan hilai tawa yang membingitkan. Waktu kejadian lebih kurang 1:00 pagi dan hujan turun dengan lebatnya. Esok merupakan hari terakhir semester di IPTA tersebut. Setelah otak mencapai tahap kewarasan setelah mamai seketika kerana terkejut dari tidur, saya mengintai dari celah langsir tingkap. Nun, di persimpangan jalan, lebih kurang 70 meter dari rumah, di bawah sinaran lampu simpang yang kekuning-kuningan, kelihatan beberapa susuk tubuh yang basah kuyup sedang berkejar-kejaran dan tangkap menangkap antara satu sama lain.  Setelah diamat-amati, rupa-rupanya beberapa orang remaja lelaki dan perempuan sedang bermain galah panjang dalam hujan lebat tersebut. Bayangkan si perempuan yang memakai T-Shirt pendek dan berseluar ketat, dalam keadaan basah kuyup, sedang berkejar-kejaran dengan sang lelaki. Si lelaki akan cuba menangkap dan mendakap si perempuan. Di simpang tiga! Lebih tepat lagi, di simpang Jalan D******10 dan Jalan D******13. Jam 1:00 pagi. Si perempuan tergeletek-geletek apabila dipeluk oleh si lelaki. Jadi terpaksalah aku turun, capai payung dan lampu picit, bergegas ke tempat kejadian. Aku tidak berapa ingat lagi bait-bait kata yang aku lontarkan kepada mereka. Agak-agak lebih kurang macam nilah yang aku ucapkan, "Kamu ni students *** kan? Macam ni ke yang kamu belajar kat dalam kampus tu?. Kalau kamu tidak hendak berhenti dan balik ke rumah, saya telefon polis!" So, pelajar-pelajar pompuan tu dengan muka mencuka beredar dari situ. Begitu juga dengan pelajar-pelajar lelaki, tetapi tidak pula menunjukkan muncung yang panjang. Cuma menunjukkan muka kesal sebab tak dapat nak peluk-peluk tubuh yang montok yang hanya dilapisi oleh kain T-Shirt yang nipis dek basah kuyup oleh hujan. 


Esoknya, emak bapak pelajar-pelajar tersebut datang dengan kereta masing-masing sebab nak jemput anak-anak mereka balik. Anak-anak mereka telah tamat belajar di IPTA tersebut. Terpancar kegembiraan di hati ibubapa tersebut sebab anak-anak mereka akan dianugerahkan segulung ijazah dan akan dinobatkan sebagai seorang graduan tidak lama lagi di majlis konvokesyen IPTA tersebut. Si anak pula bukan main sopan, bertudung dan menutup aurat di hadapan ibubapa mereka. Aku hanya memerhatikan dari seberang jalan. Mereka pun memerhatikan aku dari seberang jalan jugak. Aku berkata sendirian dalam hati, "Eleh, bukan main sopan depan mak bapak, malam tadi perangai macam hantu. Kesian mak bapak kamu tu." Mereka pun sambil pandang-pandang serong, mungkin menyumpah kat aku. Tapi ada aku kisah?

Ada lagi cerita pasal pelajar-pelajar IPTA ni, tapi malas nak cakap banyak-banyak kat sini. Bikin malu anak bangsa saja. Aku ni telah ditakdirkan untuk tinggal bersama para pelajar sejak bekerja di UPM lagi hinggalah aku bertukar-tukar pekerjaan dan tempat tinggal. Sekarang kerja di kolej dan tinggal 25km dari kolej tempat aku mengajar. Tetapi keliling rumah aku penuh dengan students IPTA yang menyewa. Memang dah nasib aku, apa boleh buat kan?

1 comment:

  1. Salam Aidil Fitri Tn Hj M Saad

    Alhamdulillah
    masih ada insan yg sanggup menegur sebangsa dan seagama

    taniah

    Wassalam

    ReplyDelete

Assalam'alaikum wm wbr.

Terima kasih kerana sudi memberi ulasan. MOHON MAAF, BLOG SAYA ADA MASALAH - Saya tak dapat balas komen. Saya sedang mencari jalan penyelesaian.