Friday, June 18, 2010

Umrah 2010: Ziarah Jabal Rahmah

Assalamu'alaikum wm wbr.

Selanjutnya kami meninggalkan Jabal Thur menuju Arafah.  Arafah terletak di sebelah tenggara Masjidil Haram iaitu hampir dengan lebuhraya menuju bandar peranginan Thaif.  Di sini saya letakkan gambar yang diambil melalui google earth untuk memberi perspektif yang lebih jelas tentang kedudukan Arafah, Muzdalifah, dan Mina relatif dengan Masjidil Haram.

Saya paparkan gambar-gambar dulu di sini. Nanti bila masa mengizinkan, saya terangkan apa signifikannya kita berziarah ke Arafah.

Sekian, salam Jumaat.

-------------------------------------------------------------------------------------------
Khamis, 23 Jun 2010

Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT yang telah memberi kelapangan masa dan sihat tubuh badan bagi membolehkan saya melengkapkan entri ini.

Bumi Arafah, satu-satunya bumi di dunia ini yang mempunyai keistimewaan yang tidak terdapat di mana-mana pun di tempat lain baik di planet bumi ini mahu pun di bintang-bintang, di milky way, hatta di seluruh alam semesta ciptaan Allah SWT.  Apakah keistimewaan itu?

1.  Pada tanggal 9 Zulhijjah setiap tahun, lebih tiga juta umat Islam dari seluruh pelusuk dunia berhimpun di situ dengan satu tekad, satu pakaian seragam, dan satu amalan, untuk menunaikan tuntutan rukun haji yang kedua iaitu berwukuf di Arafah. Tempuh berwukuf ialah dari masuk waktu zohor pada 9 Zulhijjah sehingga terbit fajar pada 10 Zulhijjah. Mereka perlu berada di situ paling singkat sekadar satu lahzah (satu detik), dan yang seafdalnya berada di sana pada sebahagian siang 9 Zulhijjah dan sebahagian malam 10 Zulhijjah. Tanpa berwukuf di Arafah maka tidak sahlah haji seseorang itu dan dia perlu melakukan semula hajinya pada tahun yang akan datang, sebab Nabi s.a.w. bersabda, "Haji itu adalah wukuf di Arafah."

2.  Pada hari wukuf  Allah SWT mengampunkan dosa umat-Nya. Rasulullah s.a.w. bersabda: "Di antara berbagai jenis dosa, ada dosa yang tidak akan tertebus kecuali melakukan wukuf di Arafah." 


Aisyah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Tidak ada hari yang mana Allah membebaskan sebegitu banyak roh dari api neraka Jahanam daripada hari `Arafah. Pada hari itu Allah “menghampiri” dunia sebagai menunjukkan kebanggaanNya berfirman kepada malaikat-malaikat: “Apakah kehendak-kehendak hambaKu ini?” (HR. Muslim)

3.  Pada hari yang mulia itu Allah SWT memanggil para malaikatnya berkumpul di langit Arafah, dan membangga-banggakan umat yang sedang berwukuf di hadapan para malaikatNya.


قال رسول الله صلى الله عليه وسلم إذا كان يوم عرفة فإن الله تبارك وتعالى يباهي بهم الملائكة فيقول انظروا إلى عبادي أتوني شعثا غبرا ضاحين من كل فج عميق أشهدكم أني قد غفرت لهم فتقول الملائكة إن فيهم فلانا مرهقا وفلانا قال يقول الله تعالى قد غفرت لهم.


Rasulullah s.a.w. bersabda:  "Ketika datang hari Arafah maka Allah akan membanggakan kepada malaikat dan berfirman: " Wahai malaikat lihatlah hamba-hambaKu, mereka mendatangiKu dengan  rambut yang kusut masai, dan wajah yang berdebu, yang datang dari daerah yang jauh. Saksikanlah bahwa Aku lelah mengampuni dosa mereka." Kemudian malaikat berkata " disana terdapat orang-orang yang melakukan kesalahan" Rasulullah bersabda : Allah berfirman "Aku telah mengampuni mereka".
4. Pada hari wukuf, langit di bumi Arafah terbuka - bermakna doa orang yang berwukuf dimaqbulkan oleh Allah SWT.
Demi istimewanya hari wukuf di bumi Arafah ini, maka adalah sangat penting kita mengambil kesempatan untuk berdoa dengan mengharapkan keampunan dan maghfirah Allah SWT, serta memohon agar ibadah haji kita adalah haji yang mabrur sebab ketika kita berdoa di situ Allah SWT menyaksikannya dari dekat dan dibangga-banggakan-Nya kita di hadapan para malaikat.


Arafah, Muzdalifah dan Mina Di Lihat Dari Google Earth

Kawasan putih selepas Muzdzalifah ialah kemah-khemah kalis api tempat tinggal para jemaah haji di Mina iaitu pada 10 - 13 Zulhijjah setiap tahun. Bukit di sebelah kanan Muzdalifah itu iailah Jabal al-Akhshabain dan Jabal Tashbir (ke belakang sedikit dan bersebelahan dengan Mina)

Jabal Rahmah Dari Google Earth.
Jalur putih macam sungai di sebelah barat Jabal Rahmah ialah Wadi 'Uranah.

 Kawasan Kediaman Imam-Imam Masjidil Haram, Terletak Di Jalan Menuju Arafah

Pembinaan Monorel Sedang Giat Di Jalankan, Dan Akan DiLakukan Test Drive Pada Ogos 2010

Papan Tanda Sempadan Arafah Berhampiran Masjid Namirah

Masjid Namirah Dan Wadi 'Uranah

Sebahagian daripada masjid Ini (bahagian hadapan dan tengah) dan Lembah 'Uranah berada di tanah haram dan sebahagian lagi (bahagian tengah hingga ke belakang) berada di tanah halal. Wukuf tidak sah di bahagian masjid yang berada di tanah haram.  Jadi bagi calun tetamu Allah yang ingin berwukuf di Masjid Namirah perlu berhati-hati dan melihat papan tanda sempadan Arafah dalam masjid.

Di sinilah, pada pagi tanggal 9hb Zulhijjah, tahun 10 Hijriah, Rasulullah s.a.w. berkhemah. Setelah masuk waktu zohor Baginda berpindah  ke bahagian tengah lembah 'Uranah (di tanah haram), kemudian Baginda berkhutbah, menunaikan solat zohor dan asar secara jama' taqdim di situ. Setelah itu baginda bergerak ke Jabal Rahmah dan untuk berwukuf di situ sehingga terbenam matahari. Bagi mengingati tempat Rasulullah berkhemah, maka didirikan Masjid Namirah.

Unta-Unta Untuk DiSewa Di Jabal Rahmah

Jabal Rahmah

Kelihatan ramai jemaah umrah mendaki hingga ke puncak Jabal Rahmah untuk berdoa.  Mutawwif kami memberitahu bahawa di puncak Jabal Rahmah sangat mustajab berdoa untuk mendapatkan jodoh. Oleh itu ramai jemaah wanita mengerah kudrat menapak 168 anak-anak tangga hingga ke batu berwarna putih yang menjadi mercu tanda Jabal Rahmah untuk berdoa.  Namun kita sedia maklum bahawa satu-satunya  hari yang paling mustajab untuk berdoa di padang Arafah hanyalah pada tanggal 9 Zulhijjah, iaitu pada hari wukuf.  Mungkin secara kebetulan ada orang yang berdoa di sini menemui jodohnya.

As-Sakhrah?

Daripada buku-buku yang saya baca, Rasulullah s.a.w. berwukuf di atas batu di kaki Jabal Rahmah. Batu tersebut dikenali sebagai as-Sakhrah.  Bagi mengingati tempat tersebut sebuah masjid telah dibina di situ, namun pada masa kini masjid tersebut telah tiada.  Dikatakan as-Sakhrah terletak di bahagian kanan tangga untuk naik ke puncak bukit, dan berdekatan dengan batu besar.  Mungkinkah as-Sakhrah terletak berhampiran batu besar dalam gambar ini?

Saya cuba bertanya kepada salah seorang mutawwif kami akan kedudukan as-Sakhrah. Jawapan yang saya terima ialah: "Maaf Paak, pada masa ietuuu saayaa belum dilahirkan laagiiii, jaadiiii saayaa tidak taahuu di maanaa tempat Nabi berwukuuuf." Suatu jawapan yang sungguh menghampakan.  Jelas mutawwif tersebut sengaja mengelak untuk membawa saya ke tempat tersebut. Kalaulah dia salah seorang daripada student saya, dan memberikan jawapan seperti itu dalam peperiksaan, sudah tentu saya beri markah  sifar @ kosong.

Ketika berwukuf di sinilah, turunnya ayat al-Quran yang terakhir iaitu ayat 3 al-Maidah: 


"Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Ku-ridhai Islam itu jadi agama bagimu."


Pemandangan Padang Arafah Dari Puncak Jabal Rahmah.
Gambar Ikhsan Dari Blogger Noor Jauhari  http://sinar-permata.blogspot.com/2009_04_01_archive.html

Untuk pengetahuan para pembaca, jemaah haji dari Malaysia tidak berwukuf di Jabal Rahmah. Saya tidak pasti lokasi sebenar mereka berwukuf, mungkin di Jalan No. 2 atau Jalan No.3.  Sesiapa yang tahu dengan tepat bolehlah beritahu saya sama ada di dalam ruangan komen atau melalui email. Gambar tempat mereka berwukuf ialah seperti di bawah.


Bergambar Di Luar Khemah Sebelum Masuk Waktu Wukuf
(Maaf, Penulis Tidak Ada Dalam Gambar - Tukang Ambil Gambar). 

Khemah-khemah sementara didirikan di bawah pokok mambu. Sebaik jemaah bertolak ke Muzdalifah, khemah-khemah tersebut akan diturunkan oleh petugas-petugas muassasah.

PEMANDANGAN SEMASA HARI WUKUF 9 ZULHIJJAH
(Semua Gambar Di Bawah Adalah Dari Internet)




Masjid Namirah

Untuk lihat entri mengenai Umrah 2011 - Ziarah Jabal Rahmah, sila klik SINI

4 comments:

  1. Salam ziarah haji,
    Tuan haji apa kabar?
    Semoga sihat setelah pulang dari umrah.
    Maaf tak banyak tinggalkan jejak...ana hanya ziarah dan membaca sahaja. Bila kesempatan baru sempat coment.
    Syukran atas segala info yang di postkan di blog haji. InsyaAllah ada masa boleh ketemu, sebab ana dengan melaka tak berapa jauh.
    Wasalam

    ReplyDelete
  2. Wa'alaikum salam MI

    Alhamdulillah, saya sihat cuma diziarahi oleh batuk selepas balik ke sini. Batuk memang lumrah bagi sesiapa yang pergi ke Makkah terutama yg mempunyai masalah saluran pernafasan. Batuk ini pula kadang-kadang kena di sana atau kadang-kadang dapat di sini setelah balik maklum di sana keadaan sangat berdebu kerana pembangunan di sekitar MH sedang giat dijalankan.

    Alhamdulillah, sekarang sudah sihat

    ReplyDelete
  3. Alhamdulillah, banyak dapat ilmu dari blog Haji Saad ni. Tahniah ramainya pengunjung,

    RINGAN KEPALA

    BUAL SANTAI

    ReplyDelete
  4. Salam almansor,

    Terima kasih berkunjung dan meninggalkan jejak kat sini. Alhamdulillah

    ReplyDelete

Assalam'alaikum wm wbr.

Terima kasih kerana sudi memberi ulasan. MOHON MAAF, BLOG SAYA ADA MASALAH - Saya tak dapat balas komen. Saya sedang mencari jalan penyelesaian.