Sunday, June 13, 2010

Umrah 2010: Ziarah Jabal Thaur


Assalamu'alaikum wm. wbr.

Antara program yang telah diatur oleh pengendali umrah kami iaitu Andalusia Travel and Tours Sdn Berhad ialah melakukan ziarah ke tempat-tempat bersejarah di sekitar Makkah iaitu ke Jabal Thur, Jabal Rahmah, Mina, dan akhirnya ke Ji'ranah tempat miqat umrah Nabi s.a.w. Program ziarah ini dilakukan pada 16 Mei 2010.

Seperti biasa kami berkumpul di lobi hotel jam 6.30 pagi dan bergerak ke jalan Hijrah untuk menunggu bas. Pada kali ini bas agak lambat sampai dan ternyata mutawwif kami hilang sabar atas sikap pemandu bas yang tidak memperdulikan ketepasan masa. Saya difahamkan, kerajaan Arab Saudi telah membuat peraturan iaitu kesemua urusan pengangkutan jemaah umrah, sama ada di Madinah dan Makkah, mestilah dikendalikan oleh pihak muassasah yang dilantik oleh pihak kerajaan Arab Saudi. Jadi Travel Agent tidak berkuasa memilih mana-mana syarikat bas yang mereka gemari.  Oleh itu faham-faham sajalah sikap Pak Arab yang memang terkenal dengan ketidakprihatinnya ke atas pelanggan.

Pukul 6:46 pagi - Mutawwif Mengharap Ketibaan Bas
(Catatan Masa Dalam Gambar11:46 pagi ialah Masa di Malaysia)

Pukul 6:59 pagi - Mutawwif Sibuk Mencari No. Tel. Muassasah Sebab Bas Belum Sampai

7:04 pagi - Bas Masih Belum Sampai. Michael Jackson Ke Tu?

Akhirnya setelah menunggu selama lebih kurang 30 minit barulah bas kami muncul. Sempatlah saya menyaksikan bagaimana mutawif kami memarahi pemandu bas tersebut. Setelah menaiki bas, kami menuju ke Jabal Thur iaitu kira-kira 4km ke selatan Makkah di kawasan Kudai. Kawasan itu sekarang dikenali dengan nama "Hayyu al-Hijrah". Jabal Thur terkenal dalam sejarah Islam kerana ia merupakan tempat "transit" (bersembunyi) Nabi s.a.w. selama tiga hari sebelum baginda berhijrah ke Madinah bersama sahabat baginda yang mulia iaitu Abu Bakar as-siddiq a.s.

Semasa perjalanan ke Jabal Thur mutawwif kami menceritakan bagaimana Abu Bakar a.s. mengambil berat hal keselamatan Nabi s.a.w. sehingga Nabi s.a.w. sangat hairan dengan gelagat Abu Bakar yang sekejap berada di hadapan baginda, sekejap berada di belakang baginda, sekejap di kiri, dan sekejap lagi di kanan. Apabila ditanya, saidina Abu Bakar a.s. mengatakan yang dia sangat khuatir akan keselamatan baginda dan sekiranya berlaku halangan oleh Quraisy biarlah dia menjadi galang ganti terhadap nyawa baginda. Begitu juga semasa mereka berada di dalam gua, dan pihak Quraisy telah berada di hadapan pintu gua. Abu Bakar tersangat bimbang ke atas keselamatan Nabi s.a.w. namun Rasulullah s.a.w. menenangkan Abu Bakar dengan bersabda: "Wahai Abu Bakar, apakah yang kamu fikirkan tentang dua orang apabila Allah s.w.t. merupakan pihak yang ketiga bersama mereka? Ya Abu Bakar, janganlah bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita"  Sempena dengan itu Allah s.w.t. menurunkan ayat 40 surah at-Taubah:
Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telahpun menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari negerinya Makkah) sedang ia salah seorang dari dua (sahabat) semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika ia berkata kepada sahabatnya: "Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita". Maka Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya. Dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terkebawah (kalah dengan sehina-hinanya), dan Kalimah Allah (Islam) ialah yang tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. 

Jabal Thur: Gua Tempat Nabi Bersembunyi Terletak di Puncak Bukit

Akhirnya kami sampai di Jabal Thur pada pukul 7: 27 pagi. Apabila melihat Jabal Thur dengan ketinggian 458 meter, seharusnya kita menginsafi akan perit getir perjuangan Rasulullah s.a.w. dan para sahabatnya untuk meneruskan risalah tauhid agar dunia dapat diterangi dengan cahaya Islam. Pengorbanan baginda dan para sahabat tidak terhingga sehingga membolehkan kita pada masa ini menjadi penganut agama Islam, sehingga kita boleh berkunjung ke Baitullah dalam keadaan yang selesa dan aman, alhamdulillah.  

Saya secara peribadi, dengan masalah gout dan kurang exercise, tidak sanggup untuk mendaki ke puncak Jabal Thur di mana terletaknya gua yang menjadi tempat persembunyian Rasulullah s.a.w. sebelum berhijrah ke Madinah. Sungguh lemah qudratku, walhal labah-labah yang kecil boleh berada di puncak bukit tersebut untuk membuat sarang menutupi pintu gua melindungi Nabi s.a.w.

Namun terbayang kepayahan bagaimana Rasulullah s.a.w., Abu Bakar r.a, serta tiga insan lain  melakukannya dengan tabah.  Tiga insan lain yang dimaksudkan ialah Abdullah bin Abu Bakar yang menyampaikan berita perkembangan pihak Quraisy kepada Rasulullah setiap malam, Asma' binti Abu Bakar yang membawa makanan kepada Rasulullah setiap petang, dan 'Amir bin Fuhaira yang membawa kambing-kambing Abu Bakar untuk memadamkan jejak Asma' dan Abdullah pada setiap pagi.  Sesungguhnya hijrah menuntut azam dan pengorbanan yang tinggi serta tawakkal kepada Allah s.w.t. Sungguh banyak pengajaran dalam peristiwa Hijrah yang mana salah satu episodnya terdapat di atas gunung Thaur ini. Sungguh kerdil diri ini, qudrat seekor labah-labah tidak dapat daku tandingi.

7:27 pagi: Kami Sampai Di Kaki Jabal Thur

Kapal Di Padang Pasir - Unta: Kita Disuruh Memerhati dan Mengkaji Kejadiannya Oleh Allah s.w.t.
Unta Untuk DiSewa: Untuk Bergambar atau Untuk Naik Berjalan-Jalan Selama 5 Minit Dikenakan SR5.00.

Ini Gambarnya Pak - SR5.00 Sahaja
Si Bapak Berkata Dalam Hati: "Begini Rupanya Kepala Aku Yang Botak"

Senyuman Yang Menawan

Inilah Dia Tahi Unta Dalam Cerita P. Ramli - Pendekar Bujang Lapok.

Unta Pun Tersenyum Mendengar Tahinya Masuk Filem P. Ramli

Video Klip Filem Pendekar Bujang Lapok - Sekadar Untuk Menenangkan Fikiran


2 comments:

  1. Melayari blog Ust. membuatku tersenyum sendiri kerana ciri2 tulisan orang Melaka dapat dikenali . Saya tinggal di Melaka pada tahun 1983 hingga 1988. Ziarah di tanah suci takkan jemu walau berkali kita telah pergi ziarah jabal Thur namun kerinduan menjadi tetamu Allah sentiasa terpalit dijiwa.

    ReplyDelete
  2. Salam noraini.

    Terima kasih kerana sudi bertandang dan meninggalkan jejak di blog saya ini. Tak perasan pulak saya yang orang Melaka ada gaya penulisannya yang tersendiri. Hehe.

    Alhamdulillah, gamitan rindu untuk menjadi tetamu Allah memang sentiasa membara bagi manusia yang mempunyai jiwa yang luhur. Itu adalah disebabkan oleh keberkatan doa Nabi Ibrahim a.s. yang menyeru manusia untuk datang beribadah ke Kaabah dari atas bukit Abi Qubais. Syukur kalau ada perasaan rindu tersebut.

    Namun, ada juga segelintir manusia, yang walaupun mempunyai wang ringgit yang lebih dari mencukupi, sihat tubuh badan, mempunyai masa lapang yang banyak, dsb. namun tidak terlintas langsung untuk berkunjung ke Baitullah. Sama-samalah kita doakan agar mereka mendapat hidayah dari Allah s.w.t.

    ReplyDelete

Assalam'alaikum wm wbr.

Terima kasih kerana sudi memberi ulasan. MOHON MAAF, BLOG SAYA ADA MASALAH - Saya tak dapat balas komen. Saya sedang mencari jalan penyelesaian.