Monday, April 26, 2010

Panduan Umrah – 26 – Adab Sewaktu Tawaf

Assalamu'alaikum wm. wbr.

Sebagai panduan buat diri saya sendiri dan juga bagi para jemaah tetamu Allah sekelian, sukacita saya paparkan disini nasihat daripada Imam An-Nawawi kepada kita mengenai adab-adab semasa melakukan tawaf.

Kata Al Imam An Nawawi رحمه الله :

Sewaktu tawaf hendaklah merendahkan diri dengan penuh khushu` dengan menghadhirkan hati, pergerakan, dan pemandangan dengan penuh beradab zahir dan batin kerana tawaf itu adalah seperti solat. Oleh itu hendaklah dipelihara adab-adabnya . Hendaklah kita menghadhirkan keagungan Allah, TUHAN kaa`bah yang kita sedang bertawaf. 

Oleh itu makruh makan dan minum sewaktu tawaf yang mana makruh minum itu adalah lebih ringan dari makan. Tetapi jika kita makan atau minum maka tawaf tersebut tetap sah. Begitu juga makruh kita meletakkan tangan di mulut sebagaimana ia dimakruhkan sewaktu kita bersolat kecuali terdesak seperti menguap atau bersin.

Adalah disunatkan tidak bercakap selain dari berzikir kecuali percakapan yang disukai seperti menyuruh berbuat baik atau menegah dari kemungkaran atau membicarakan tentang ilmu tetapi tidak boleh memanjangkannya.

Adalah makruh membunyikan jari-jemari sebagaimana ia dimakruhkan ketika kita bersolat. Begitu juga makruh bertawaf ketika sangat lapar, juga menahan buang air kecil atau besar atau menahan angin sebagaimana ia adalah makruh di dalam solat.

Hendaklah kita menjaga pandangan dari melihat kepada wanita yang cantik atau lelaki yang kacak. Begitu juga hendaklah memelihara hati dan pandangan dari menghina mereka yang kita lihat seperti manusia yang cacat dan faqir. Apabila kita melihat orang yang melakukan kesilapan mengerjakan haji atau umrah maka janganlah menghina mereka tetapi hendaklah mengajar dan menegur mereka dengan lemah lembut. Ingatlah dan berhati-hatilah! Sesungguhnya sudah banyak bala yang menimpa ramai orang yang buruk akhlaknya ketika bertawaf dan selainnya semasa di tanah suci kerana melakukan keburukan di tempat yang mulia lebih buruk dan dahsyat lagi. Semoga Allah memelihara, menolong dan memberi taufiq kepada kita semua.

Aamiin Yaa RABBAL `aalamin.

2 comments:

  1. Assalamualaikum Tn Hj Mohd Saad

    Ada jemaah yg berkumpulan selalunya merempuh jemaah lain
    adakah ini dugaan atau mereka memang kurang ilmu
    (kita yg badan kecil ni terhuyung hayang lee)

    Wassalam

    ReplyDelete
  2. Wa'alaikum salam Tn Hj Rozali.

    Dua-dua sekali tn, haji. Pertama ialah dugaan bagi kita yang kena rempuh. Adakah kita bersabar semasa dirempuh atau kita memarahi mereka? [Pernah terdengar jemaah dari sebelah Asia Tenggara komplen dengan agak kuat tentang rempuhan yang dibuat oleh Jemaah Turki].

    Kedua ialah seperti apa yang tuan katakan di atas. Mungkin kurang ilmu atau kurang menghormati orang lain.

    Apa-apa pun sabar adalah jalan yang terbaik.

    ReplyDelete

Assalam'alaikum wm wbr.

Terima kasih kerana sudi memberi ulasan. MOHON MAAF, BLOG SAYA ADA MASALAH - Saya tak dapat balas komen. Saya sedang mencari jalan penyelesaian.