Thursday, April 15, 2010

Panduan Umrah – 16 – Wajib Umrah

Assalamu'alaikum wm wbr.

Sebelum saya menulis mengenai sunat-sunat dalam pekerjaan umrah, sukacita saya sentuh tentang wajib umrah terlebih dahulu.

Adapun wajib umrah bermaksud pekerjaan yang WAJIB dilakukan jika sudah berniat ihram umrah. Jika tidak dilakukan sama ada sengaja atau terlupa, umrah itu tetap sah tetapi dikenakan dam.  Jika sengaja meninggalkan perkara wajib umrah maka hukumnya berdosa. Jika tidak sengaja, tidak berdosa.

Jadi di sini perlu dibezakan antara rukun umrah dengan wajib umrah.  Rukun umrah, sebagaimana dinyatakan dalam entri terdahulu, sekiranya tidak dilakukan mana-mana satu daripadanya sama ada sengaja atau tidak sengaja, maka umrahnya tidak sah. Tetapi wajib umrah, jika tidak dilaksanakan sah umrah tersebut.
Sukacita saya ingin membuat tamsilan mengenai rukun umrah dan wajib umrah ini dengan anggota badan seorang manusia.

Kes pertama: Seorang manusia, A, mempunyai lengkap semua anggota badan iaitu mempunyai kepala (termasuk leher), badan, tangan, kaki, dan anggota-angota yang lain maka kita katakan A mempunyai sifat-sifat yang sempurna. 

Kes kedua:  Seorang manusia, B, hanya mempunyai kepala (termasuk leher) dan badan sahaja, tetapi tangan dan paha ke bawah kudung, maka B masih lagi boleh hidup tetapi cacat anggota (dikategorikan sebagai OKU).

Kes ketiga: Katalah seorang manusia, C, mengalami kemalangan jalan raya yang mana kepalanya terputus, atau badannya terbelah dua. Maka sudah tentulah si C tidak boleh hidup lagi. Dalam erti kata lain, Si C telah meninggal dunia.

Jadi begitulah ibaratnya rukun umrah dan wajib umrah.  Dalam hal ini, untuk membolehkan seseorang itu hidup dia mestilah mempunyai kepala dan badan (seperti dalam kes kedua si B). Jika salah satu anggota asas tiada, seperti dalam kes ketiga (si C), maka dia akan mati. Jadi dalam hal pekerjaan umrah, jika salah satu rukun umrah tidak lengkap maka tidak sahlah umrah tersebut.

Wajib umrah bolehlah diibaratkan sebagai anggota-anggota badan yang lain selain daripada kepala dan badan – untuk melengkapkan sifat-sifat fizikal manusia yang sempurna. Untuk menjadi manusia yang sempurna, maka seseorang itu perlu memiliki semua anggota yang lain seperti mata, hidung, mulut, telinga, tangan, kaki, dan sebagainya – seperti kes pertama, si A.  Jika satu jari tangan terputus, si A masih lagi sempurna sifatnya tetapi ada sedikit kekurangan.  Begitulah halnya dengan umrah kita. Jika kita inginkan umrah kita sempurna dan mendapat ganjaran maksimum daripada Allah s.w.t. maka perlulah kita melaksanakan wajib umrah tersebut. Jika kita melanggar salah satu pantang larang ihram,  misalnya memakai minyak rambut, maka umrah kita akan cacat dan menjadi kurang sempurnalah umrah kita – walaupun umruh itu sendiri dikira sah.

Wajib umrah ada dua iaitu:

1. Berniat ihram di miqat
2. Meninggalkan perkara-perkara larangan semasa berihram (Menjaga pantang larang ihram).

3 comments:

  1. Assalamualaikum Tuan Hj Saad

    mengingati haji 2006
    membuat umrah 5 kali shj

    Wassalam

    ReplyDelete
  2. Salam tuan haji Rozali.

    Tak apa umrah 5 kali sahaja. Yang penting adalah umrah tsbt maqbullah dan Allah redha. Di Makkah, ibadah yang paling afdal sekali ialah tawaf baitullah. Kalau dapat tawaf sunat banyak-banyak - alhamdulillah.

    ReplyDelete
  3. Salam,

    Saya agak keliru kerana ada yg menyatakan ibadah yg paling afdal di makkah adalah mlakukan sbyk mungkin umrah. dalil yang digunapakai adalah hadis nabi saw. Umrah adalah penghapus bg dosa2 yg dilakukan diantaranya & umrah yg sblmnya..... Setahu saya ibadah yg paling afdal ialah tawaf sunat. Pohon penjelasan.

    ReplyDelete

Assalam'alaikum wm wbr.

Terima kasih kerana sudi memberi ulasan. MOHON MAAF, BLOG SAYA ADA MASALAH - Saya tak dapat balas komen. Saya sedang mencari jalan penyelesaian.