Thursday, December 16, 2010

Hijrah Rasulullah S.A.W. Ke Madinah - Part 2

Rasulullah Meninggalkan Rumahnya

.... sambungan

Pada tengah malam, 27 Safar tahun keempat belas kenabian, Baginda keluar dari rumah dan melepasi sekatan pemuda-pemuda pilihan Quraisy. Allah SWT menutup pandangan mereka, justeru kekasih-Nya dapat membolosi sekatan mereka tanpa disedari. Malah Baginda menaburkan pasir ke atas kepala pemuda-pemuda tersebut, termasuklah ke atas kepala Abu Jahal seperti yang telah dikisahkan dalam entri yang terdahulu.

Baginda terus ke rumah Abu Bakar. Kemudian mereka keluar melalui pintu rahsia di belakang rumah Abu Bakar menuju jalan ke arah Mekah Bawah (Misfalah) hingga sampai ke gua Thur. Thur bermaksud kepala unta betina. Jika dipandang dari jauh, bukit Thur persis seperti kepala unta betina. Gua Thur terletak di sebelah selatan Makkah menghala ke Yaman, sedangkan kedudukan Madinah ialah di utara Makkah menuju Sham. Rasulullah sengaja bersembunyi di gua Thur bagi mengelirukan orang Quraisy yang pasti akan memburu Baginda. Jarak dari Makkah ke gua Thur ialah 5 kilometer, dan ia merupakan sebuah bukit yang tinggi, pendakiannya sukar, berbatu-batuan hingga tapak kaki Baginda melecet ketika mendakinya. Oleh itu Abu Bakar telah mendokong Rasulullah hingga ke puncak bukit.

Bersembunyi Di Gua Thur

Sesampainya mereka di gua Thur, Abu Bakar berkata, "Demi Allah, Rasulullah jangan masuk, kecuali setelah hamba masuk dahulu. Sekiranya ada sesuatu yang bahaya biar terkena hamba dahulu." Lalu beliau masuk ke dalamnya dan membersihkannya. Abu Bakar menutup lubang-lubang yang terdapat dalam gua tersebut dengan kain, kecuali sebuah lubang tidak dapat ditutup sebab beliau kehabisan kain. Lalu beliau menutup lubang tersebut dengan kakinya kemudian barulah beliau mempersilakan Rasulullah masuk ke dalam gua. 


Setelah Baginda masuk, Abu Bakar meletakkan kepala Baginda yang mulia ke ribanya hingga Baginda terlena. Seekor binatang berbisa telah menyengat kaki Abu Bakar yang digunakan untuk menutup lubang. Abu Bakar menahan kesakitan dan tidak sanggup menggerakkan kakinya agar Rasulullah S.A.W. tidak terbangun daripada tidur. Namun kerana tersangat sakit, air matanya terjatuh ke muka Rasulullah lantas Rasulullah terjaga dan berkata, "Apa hal diri kau wahai Abu Bakar? Kenapa engkau menangis wahai Abu Bakar?" Abu Bakar menjawab, "Ya Rasulullah, binatang berbisa yang ada dalam lubang ini menggigit kakiku ya Rasulullah. Rasulullah mengeluarkan  air liurnya dan membacakan kalimah:


 بِسمِ اللهِ ، تُرْبَةُ أرْضِنَا ، بِرِيقَةِ بَعْضِنَا ، يُشْفَى بِهِ سَقِيمُنَا ، بإذْنِ رَبِّنَا 

"Dengan nama Allah, dengan tanah bumi kami, dengan do’a penawar sebahagian dari kami, sembuhkanlah sakit kami dengan izin Tuhan kami."

Rasulullah menekankan ibu jarinya ke langit-langit dan menekankan ke tanah dan menyapukan ke  bekas  gigitan di kaki Abu Bakar. Di saat ubat masuk, lantas serta merta kesakitan yang dihidapi oleh Abu Bakar hilang.

Kegemparan dan Tawaran Quraisy

Pihak kafir Quraisy Makkah menjadi seperti orang gila setelah mereka menyedari Rasulullah S.A.W. telah terlepas daripada kepungan dan rencana jahat mereka itu. Beberapa orang Quraisy, termasuk Abu Jahal, datang ke rumah Abu Bakar. Mereka mengetuk pintu rumah, dan Asma' binti Abu Bakar pun keluar menemui mereka. Mereka bertanya, "Mana ayahmu, hai puteri Abu Bakar?" Jawab Asma', "Demi Allah! Aku tidak tahu ke mana ayahku pergi." Abu Jahal yang jahat dan kurang ajar itu mengangkat tangan dan menampar pipi Asma' hingga melayang sebuah anting-anting di telinganya.

Pihak kafir Quraisy membuat persidangan tergembar, mengambil keputusan mengawal semua jalan keluar kota Makkah, dan menawarkan kepada sesiapa yang dapat menangkap Rasulullah dan Abu Bakar, sama ada hidup atau mati, akan diberi hadiah yang lumayan iaitu seratus ekor unta. Tawaran tersebut menarik perhatian ramai pahlawan, penunggang kuda, pejalan kaki, serta tukang pengesan tapak kaki. Seluruh mereka bertebaran ke pelusuk sekitar Makkah, di lembah-lembah dan di bukit-bukit, di dataran mahupun di gua-gua. Namun kesemuanya itu tidak berjaya.

Ketibaan Quraisy Di Gua Thur

Di saat Rasulullah S.A.W. tidur di pangkuan Abu Bakar maka Allah SWT mengutuskan tenteranya, sebagai pengawal Rasulullah S.A.W. Bukanlah malaikat yang menjadi pengawal Rasulullah, bukanlah tenteraNya yang paling dahsyat, akan tetapi pengawal Rasulullah S.A.W. ialah tentera Allah yang paling lemah iaitu sarang labah-labah. Kemudian Allah mengilhamkan kepada burang merpati liar supaya membuat sarangnya, dan di saat itu juga mengeramkan telurnya. Sehingga sekiranya orang-orang kafir Quraisy datang mencari Rasulullah S.A.W. mereka merasa tidak yakin kalau ada orang di dalam gua.  Kemudian Allah menumbuhkan pokok kayu di hadapan pintu gua yang membuatkan orang-orang yang mencari Nabi merasa tidak yakin jika ada orang di dalam gua. 

Beberapa orang Quraisy yang memburu tadi sempat sampai ke pintu gua Thur, namun Allah SWT berkuasa di atas segala sesuatu. Ketika orang-orang kafir Quraisy telah sampai menuju ke pintu gua, di saat itu Abu Bakar merasa resah dan gelisah. 

Beliau berkata kepada Rasulullah, "Ya Rasulullah! sekiranya salah seorang daripada mereka tunduk dan memandang ke hujung kaki mereka nescaya mereka akan melihat kita."

Rasulullah bersabda, "Bagaimana pendapatmu, wahai Abu Bakar, tentang dua orang (yang sedang bersembunyi), yang Allah adalah yang ketiganya?  Janganlah kamu berdukacita, sesungguhnya Allah berserta kita." 

Akhirnya Abu Bakar menjadi tenang. Dengan kehendak Allah SWT, orang-orang kafir Quraisy tersebut berasa ragu-ragu yang Rasulullah dan Abu Bakar bersembunyi di dalam gua tersebut sebab terdapatnya sarang labah-labah yang tetap utuh tidak terkoyak merentangi pintu gua, di samping itu,  burung merpati liar sedang mengeramkan telurnya di depan pintu gua. Justeru itu mereka terus beredar meskipun hanya beberapa langkah sahaja dari situ Rasulullah S.A.W. sedang bersembunyi.

Mengenai peristiwa ini Allah SWT menurunkan ayat al-Quran (at-Taubah:40)

إِلَّا تَنْصُرُوهُ فَقَدْ نَصَرَهُ اللَّهُ إِذْ أَخْرَجَهُ الَّذِينَ كَفَرُوا ثَانِيَ اثْنَيْنِ إِذْ هُمَا فِي الْغَارِ إِذْ يَقُولُ لِصَاحِبِهِ لَا تَحْزَنْ إِنَّ اللَّهَ مَعَنَا فَأَنْزَلَ اللَّهُ سَكِينَتَهُ عَلَيْهِ وَأَيَّدَهُ بِجُنُودٍ لَمْ تَرَوْهَا وَجَعَلَ كَلِمَةَ الَّذِينَ كَفَرُوا السُّفْلَى وَكَلِمَةُ اللَّهِ هِيَ الْعُلْيَا وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

“Jikalau kalian tidak menolongnya (Muhammad) maka sesungguhnya Allah menolongnya (yaitu) ketika orang-orang kafir (musyrikin Makkah) mengeluarkannya (dari Makkah) sedang dia salah seorang dari dua orang ketika keduanya berkata kepada temannya, ‘Janganlah kamu berduka cita, sesungguhnya Allah beserta kita.’ Maka Allah menurunkan ketenangan-Nya kepada (Muhammad) dan membantunya dengan tentera yang kalian tidak melihatnya, dan Allah menjadikan seruan orang-orang kafir itulah yang rendah. Dan kalimat Allah itulah yang tinggi. Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (At-Taubah: 40)
Mereka bersembunyi di gua Thur selama tiga malam, iaitu malam Jumaat, Sabtu, dan Ahad menunggu keghairahan dan kemarahan orang-orang Quraisy menjadi reda. Sepanjang mereka berada di situ, anak lelaki Abu Bakar, iaitu Abdullah bin Abu Bakar bertindak sebagai pemberi maklumat, menyampaikan berita kegiatan Quraisy Makkah. Di siang hari beliau berada di tengah-tengah orang Quraisy untuk mendengar apa yang mereka rencanakan tentang Rasulullah dan Abu Bakar. Pada tengah malam, ia pergi ke gua menceritakan apa yang ia dengar kepada Rasulullah dan Abu Bakar. Di hujung malam beliau keluar dari gua dan berada di kalangan Quraisy di pagi hari menampakkan yang beliau bermalam di Makkah bersama Quraisy.

Di samping itu, Amir bin Fuhairah, bekas hamba Abu Bakar, mengembala kambing bersama-sama orang Makkah, dan selepas malam berlabuh beliau membawa kambing-kambing gembalaannya kepada Rasulullah dan Abu Bakar untuk membekalkan mereka berdua dengan susu dan daging panggang. Apabila Abdullah bin Abu Bakar pulang ke Makkah, Amir bin Fuhairah berjalan mengikuti jejaknya bersama-sama dengan gerombolan kambingnya hingga menghapuskan jejak kaki Abudullah bin Abu Bakar dan tidak dapat dikesan oleh pihak Quraisy.


Anak Panah Menunjukkan Arah Pergerakan Rasulullah Semasa Hijrah

Peta Menunjukkan Kedudukan Gua Thur di Selatan Makkah

Bersambung ...

Wednesday, December 15, 2010

Hijrah Rasulullah S.A.W. Ke Madinah - Part 1

Assalamu'alaikum wm wbr.

Para pembaca yang budiman. Sempena tahun baru hijrah ini elok jika kita imbas kembali peristiwa hijrah Rasulullah S.A.W. ke Madinah.  Semoga dengan itu kita dapat menghayati pengorbanan Rasulullah S.A.W. yang begitu besar demi untuk memastikan kalimah tauhid tersebar luas di bumi Allah ini.

Saat Sebelum Penghijrahan Nabi

Sehingga ke saat-saat akhir sebelum Rasulullah S.A.W. berhijrah, yang tinggal di Makkah pada ketika itu ialah Abu Bakar bin Abu Qhuzafah dan Ali Bin Abu Talib, dan juga sahabat-sahabat yang ditahan dan diseksa oleh kafir Quraisy. Rasulullah S.A.W. tetap berada di Makkah menunggu keizinan untuk berhijrah.

Abu Bakar seringkali meminta izin kepada Rasulullah untuk berhijrah ke Madinah namun Baginda bersabda kepadanya, "Janganlah engkau terburu-buru, mudah-mudan Allah memberimu teman untuk berhijrah."  Abu Bakar berharap kiranya orang yang dimaksudkan  Rasulullah S.A.W. adalah dirinya.  Kemudian dia membeli dua ekor unta, menambat kedua-duanya di rumahnya dan memberinya makan dengan cukup sebagai persiapan untuk hijrah.

Pertemuan dan Perbincangan Pembesar Quraisy Mengenai Rasulullah S.A.W.

Orang-orang Quraisy mula khuatir sebab kaum muslimin telah mendapat tempat dan perlindungan di Madinah.  Oleh itu mereka berwaspada terhadap penghijrahan Rasulullah S.A.W. ke Madinah.  Mereka segera mengadakan mesyuarat tergempar di Dar an-Nadwah, iaitu rumah milik Qushai bin Kilab. Perhimpunan tersebut turut disertai oleh Iblis laknatullah yang menunjukkan dirinya sebagai seorang lelaki tua dari Najed. Dalam perbincangan tersebut akhirnya mereka bersetuju dengan cadangan Abu Jahal supaya dikumpulkan seorang pemuda dari setiap kabilah untuk membunuh Rasulullah S.A.W. secara serentak agar Bani Abdu Manaf tidak mampu membalas dendam dan memerangi kesemua kaum Quraisy.

Ali (r.a.) Menggantikan Tempat Rasulullah S.A.W. di atas Katil Baginda

Pada malam yang telah dirancangkan, para pemuda pilihan Quraisy berkumpul di pintu rumah Rasulullah S.A.W. untuk mengintip bila agaknya Baginda tidur. Jika Baginda telah tidur mereka akan menyerang Baginda dengan tiba-tiba. Tetapi rancangan jahat mereka awal-awal lagi telah diketahui oleh Baginda sebab malaikat Jibril telah datang menemui Baginda kemudian berkata, "Pada malam ini janganlah engkau tidur di bilik yang selalu engkau gunakan." Oleh itu Baginda mengarahkan Ali bin Abu Talib untuk tidur di tempat kamar Baginda dengan berkata, "Tidurlah di bilik tidurku dan kenakan selimutku dari al-Hadhrami yang berwarna hijau ini, kerana sesungguhnya tindakan mereka yang engkau benci tidak akan menimpamu."

Ketika para pemuda Quraisy berkumpul di depan pintu rumah Rasulullah S.A.W., mereka ditemani oleh Abu Jahal. Abu Jahal berkata kepada mereka, "Sesungguhnya Muhammad menduga bahawa jika kalian mengikutinya, kalian akan menjadi pemimpin bagi orang Arab dan orang bukan Arab. Kalian akan dibangkitkan setelah kematian kalian dan kalian akan diberi syurga seperti taman Jordan. Jika kalian tidak mengikutnya, kalian akan disembelih, kalian dibangkitkan setelah kematian kalian. Kalian diberi neraka dan dibakar olehnya."

Rasulullah Keluar Dari Rumah

Rasulullah S.A.W. keluar dari rumah menemui mereka. Baginda mengambil segenggam pasir, kemudian Baginda bersabda, "Betul, aku memang pernah mengatakan seperti itu dan engkau (Abu Jahal) adalah salah seorang dari penghuni neraka." Allah Taala mengambil mata mereka hingga mereka tidak boleh melihat Baginda. Rasulullah S.A.W. menabur pasir ke atas kepala mereka sambil membaca Yassin: 1-9
يس. وَالْقُرْآنِ الْحَكِيم. إِنَّكَ لَمِنَ الْمُرْسَلِينَ. عَلَىٰ صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ. تَنْزِيلَ الْعَزِيزِ الرَّحِيمِ. لِتُنْذِرَ قَوْمًا مَا أُنْذِرَ آبَاؤُهُمْ فَهُمْ غَافِلُونَ. لَقَدْ حَقَّ الْقَوْلُ عَلَىٰ أَكْثَرِهِمْ فَهُمْ لَا يُؤْمِنُونَ. إِنَّا جَعَلْنَا فِي أَعْنَاقِهِمْ أَغْلَالًا فَهِيَ إِلَى الْأَذْقَانِ فَهُمْ مُقْمَحُونَ. وَجَعَلْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيهِمْ سَدًّا وَمِنْ خَلْفِهِمْ سَدًّا فَأَغْشَيْنَاهُمْ فَهُمْ لَا يُبْصِرُونَ. 
Rasulullah S.A.W. menabur tanah ke atas kepala mereka semua, kemudian Baginda pergi ke tempat yang Baginda kehendaki. Tidak lama setelah itu seseorang datang menemui pemuda-pemuda tadi dan berkata kepada mereka, "Apa yang kalian sedang tunggu?" Mereka menjawab, "Kami sedang menunggu Muhammad." Orang tersebut berkata, "Allah telah menggagalkan kalian. Demi Allah, Muhammad telah keluar dari rumahnya, kemudian ia menaburkan tanah ke atas kepala kalian semua, kemudian ia pergi untuk memenuhi keperluannya. Tidakkah kalian melihat apa yang terjadi kepada kalian?" Setiap dari mereka meletakkan tangan masing-masing ke atas kepala mereka dan mendapati tanah di atas kepala.  Mereka mengintai ke dalam rumah dan mendapati Ali bin Abu Talib berada di bilik tidur Rasulullah S.A.W. dan mengenakan selimut Baginda.

Mereka berkata, "Demi Allah! Ini pasti Muhammad sedang tidur mengenakan selimutnya." Mereka tidak meninggalkan rumah Rasulullah S.A.W. hingga esok hari.

Ali bin Abu Talib berdiri dari bilik tidur Rasulullah S.A.W. Para pemuda Quraisy berkata, "Demi Allah, orang yang berkata kepada kita tadi benar!"

Mengenai peristiwa tersebut, Allah SWT menurunkan ayat al-Anfal:30

 وَاِذْ يَمْكُرُ بِكَ الَّذِيْنَ كَفَرُوْا لِيُثْبِتُوْكَ اَوْ يَقْتُلُوْكَ اَوْ يُخْرِجُوْكَ‌ؕ وَيَمْكُرُوْنَ وَيَمْكُرُ اللّٰهُ‌ؕ وَاللّٰهُ خَيْرُ الْمٰكِرِيْنَ

Dan ingatlah (wahai Muhammad), ketika orang-orang kafir musyrik (Makkah) 
menjalankan tipu daya terhadapmu untuk menahanmu, atau membunuhmu, 
atau mengusirmu. Mereka menjalankan tipu daya dan Allah menggagalkan 
tipu daya (mereka), kerana Allah sebaik-baik yang menggagalkan tipu daya. 

Dan Firman Allah Taala:
أَمْ يَقُولُونَ شَاعِرٌ نَتَرَبَّصُ بِهِ رَيْبَ الْمَنُونِ. قُلْ تَرَبَّصُوا فَإِنِّي مَعَكُمْ مِنَ الْمُتَرَبِّصِينَ 
(Mereka menuduh Nabi Muhammad dengan yang bukan-bukan), bahkan 
mereka mengatakan: "(Muhammad) itu seorang penyair yang kami tunggu-tunggu saat kebinasaannya". 

Katakanlah (wahai Muhammad): "Tunggulah kamu (akan apa yang kamu tuduh itu), 
maka sesungguhnya aku juga dari orang-orang yang menunggu bersama-sama 
kamu  (akan apa yang dijanjikan oleh Allah Taala)".  (At-Thuur:30-31)

Ketika itulah Allah mengizinkan Nabi berhijrah.

Hadis Aisyah (r.a.) Tentang Hijrah Rasulullah S.A.W.

Dari Urwah bin Az-Zubair, dari Aisyah Ummul Mukminin yang berkata: "Rasulullah S.A.W. biasa datang ke rumah Abu Bakar pada salah satu dari dua waktu iaitu pagi atau petang. Pada hari Allah mengizinkan Baginda hijrah dan keluar dari Makkah meninggalkan kami, Baginda datang kepada kami pada tengah hari dan baginda tidak pernah datang kepada kami pada waktu seperti itu. Ketika Abu Bakar melihat kedatangannya, ia berkata: "Rasulullah S.A.W. tidak datang pada waktu seperti ini melainkan untuk sesuatu yang amat penting."

Ketika Rasulullah S.A.W. telah datang, Abu Bakar agak terlambat beranjak dari bilik tidurnya dan Rasulullah S.A.W. pun duduk. Di rumah Abu Bakar ketika itu tidak ada sesiapa kecuali aku dan saudaraku, Asma' bintu Abu Bakar.

Rasulullah S.A.W. bersabda: "Keluarlah engkau daripada tempatmu kepadaku, wahai Abu Bakar."

Abu Bakar berkata: "Wahai Rasulullah, di rumah ini hanya ada dua anakku, demi ayah dan ibuku menjadi tebusan untukmu."

Rasulullah S.A.W. bersabda: "Sesungguhnya Allah Ta'ala telah mengizinkanku hijrah dan keluar dari Makkah."

Abu Bakar berkata: "Siapa temannya wahai Rasulullah?"

Rasulullah S.A.W. bersabda: "Teman?"

Aisyah berkata: "Demi Allah, hingga ketika itu aku belum pernah melihat orang menangis kerana suka atau bahagia, dan saat itu aku melihatnya pada Abu Bakar."

Abu Bakar berkata: "Wahai Nabi Allah! Sesungguhnya dua ekor unta ini telah aku siapkan untuk berhijrah."

Rasulullah S.A.W. dan Abu Bakar mengupah Abdullah bin Uraiqit, iaitu orang bani ad-Dail bin Bakr - seorang musyrik sebagai petunjuk jalan mereka, Rasulullah S.A.W. dan Abu Bakar menyerahkan kedua-dua untanya kepada Abdullah bin Uraiqit, kemudian kedua-dua unta tersebut berada dalam pemeliharaan Abdullah bin Uraiqit sampai hari yang telah ditentukan.

bersambung ...

Friday, December 10, 2010

Hijrah Rangsang Fikiran Strategik

Gua Thur - Tempat Persembunyian Rasulullah S.A.W.  
Mempunyai Dua Pintu Masuk



Assalamu'alaikum wm wbr.

Sempena bulan Muharram ini yang merupakan bulan pertama dalam takwim Islam, maka sukacita saya nukilkan di sini suatu artikel yang ditulis oleh Dr. Siddiq Fadzil mengenai natijah Hijrah Nabi S.A.W ke Madinah yang ditinjau dari sisi fikiran strategik. 

Hijrah Rangsang Fikiran Strategik
Oleh: Dr. Siddiq Fadzil

Kalau mahu, Allah boleh menghijrahkan rasulNya dari Makkah ke Madinah dengan mukjizat sepenuhnya.  Dengan menitahkan Buraq menerbangkan Junjungan S.A.W. (seperti dalam peristiwa Israk dan Mikraj itu) secepat kilat Junjungan sudah boleh sampai ke destinasi hijrahnya dalam keadaan yang selesa dan selamat.

Tetapi yang jelas Tuhan tidak menghendakinya sedemikian.  Hijrah ditakdirkan berlaku dalam bentuk peristiwa yang menggabungkan faktor perlindungan Ilahi dengan ikhtiar manusiawi.

Demikianlah kenyataannya, sepanjang perjalanan hijrah dari mula hingga jaya penuh dengan insiden-insiden yang dramatik, cemas dan mendebarkan.

Memang Rasulullah S.A.W. mendapat perlindungan Tuhan, tetapi Junjungan juga terpaksa menempuh perjalanan serba pahit dan perit.  Bukannya mudah untuk lepas dari jaring-jaring maut Quraisy yang berhabis-habisan memburu Junjungan S.A.W.  Demikian rapinya strategi Quraisy, namun strategi hijrah jauh lebih rapi.

Sejak mula Rasulullah S.A.W. memang sudah yakin bahawa Tuhan akan melindunginya.  Meskipun demikian, Junjungan tidak pernah berasa terkecuali daripada kewajipan berikhtiar merencanakan strategi hijrah dengan sebaik-baiknya.  

Antara perencanaan penting Junjungan termasuklah:
  • Merahsiakan rencana hijrahnya:  Tidak seorang pun yang tahu termasuk teman terdekatnya seperti Abu Bakar al-Siddiq hinggalah ke saat perlaksanaanya.  Menjaga kerahsiaan dalam hal-hal penting dan bahaya seperti itu adalah suatu keperluan strategik. Kebocoran maklumat penting hingga diketahui oleh pihak lawan akan mengakibatkan musnahnya seluruh perencanaan.
  • Waspada dan tipu-daya:  Junjungan tidak tidur di kamarnya pada malam itu.  Sebaliknya, diperintahkannya Ali ibn Abi Talib mengambil tempatnya, tidur di kamar Junjungan dengan tujuan mengelirukan musuh yang menyangka Junjungan masih berada di kamarnya.
  • Junjungan juga tidak terus berangkat ke Madinah selepas keluar dari Makkah, sebaliknya berhenti singgah di gua Thur selama tiga hari. Selepas tempoh itu barulah Junjungan meneruskan perjalanannya ke Madinah, iaitu ketika gerakan Quraisy sudah mengendur.
  • Mendapatkan maklumat terkini mengenai gerakan pihak musuh menerusi Abdullah ibn Abu Bakr yang memang ditugaskan untuk mengumpul maklumat di Makkah pada waktu siang dan pada malamnya melaporkan kepada Junjungan di gua Thur.  Memang maklumat terkini adalah suatu yang amat bernilai sehingga kadang-kadang maklumat penting dijual beli dengan harga yang sangat mahal.  Ketika ini kita dapat menyaksikan semakin canggihnya strategi perisikan yang tujuannya tidak lain daripada untuk mendapatkan maklumat.
  • Memanfaatkan keahlian (kepakaran) walau daripada orang kafir sekalipun.  Dalam peristiwa hijrah, Junjungan sudah mendapatkan khidmat seorang pemandu bukan Islam untuk menunjukkan jalan sulit (tidak ramai yang tahu) ke Madinah setelah Junjungan berpuas hati bahawa pemandu itu tidak akan mengkhianatinya.
Nyatalah dari fakta-fakta berkenaan hijrah bukan cuma serentetan peristiwa accidental atau peristiwa kebetulan yang terjadi dalam budaya pasif dan fatalistik. 


Perjalanan hijrah dengan segala liku dan simpang-peranangnya itu jelas mengandungi hikmah budaya kerja berencana.  Sesuatu cita-cita tidak nungkin dapat dijayakan cuma dengan doa dan penyerahan yang pasif, tetapi harus dikerjakan dengan perancanaan yang cukup strategik.  Yang dimaksudkan dengan perancanaan atau planning ialah suatu proses menentukan maklumat, menggariskan kaedah dan tindakan untuk mencapai matlamat.  Yang dimaksud dengan strategi pula ialah penggabungan dan kepaduan pelbagai sumber yang dimiliki untuk menghadapi persekitaran dengan sebaik-baiknya.

Perencanaan juga disebut sebagai jambatan di antara masa kini dan masa hadapan, yang membawa erti persiapan masa kini untuk menghadapi apa yang akan terjadi pada masa hadapan.  Ketika Tuhan memerintahkan kita agar bersiap semaksimumnya untuk menghadapi musuh dengan segala kekuatan (al-Anfal: 60), ayat tersebut dapat diertikan sebagai perintah membuat perancangan pertahanan jangka panjang dengan mengambil kira perubahan-perubahan dan juga kemajuan yang sedang berlaku dan akan berlaku dalam bidang ketenteraan dan teknologi persenjataan.

Oleh kerana ancaman yang dihadapi oleh umat Islam tidak lagi terbatas hanya dalam bidang ketenteraan, malah meningkat kepada ancaman-ancaman bentuk lain termasuk budaya dan ekonomi, maka perintah tuhan (bersiaplah menghadapi mereka ....) itu harus pula difahami dari sudut semangatnya dengan membuat perancangan strategik dalam bidang lain seperti kebudayaan, pendidikan, ekonomi, dan sebagainya.


Al-Quran juga menampilkan Nabi Yusuf A.S. sebagai tokoh mithali perancangan ekonomi sebagaimana yang dinyatakan dalam surah Yusuf, ayat 47-49 (Yusuf berkata: "Supaya kamu bertanam tujuh tahun (lamanya) sebagaimana biasa; maka apa yang kamu tuai hendaklah kamu biarkan dibulirnya, kecuali sedikit untuk kamu makan.  Kemudian sesudah itu akan datang tahun yang    amat sulit, yang akan menghabiskan apa yang kamu simpan untuk menghadapinya (tahun sulit) kecuali sedikit dari (bimbit gandum) yang kamu simpan.  Kemudian setelah itu akan datang tahun  yang padanya manusia diberi hujan (dengan cukup) dan di masa itu mereka memeras anggur".)


Ternyata daripada ayat itu Nabi Yusuf A.S. menyarankan suatu perancangan ekonomi pertanian untuk jangka masa empat belas tahun dengan membuat pertimbangan di antara jumlah penghasilan, penggunaan, penyimpanan, dan pelaburan semula. Dengan perencanaan yang futuristic itu, krisis ekonomi yang dikhuatiri akan menimpa negara dapat dihindar.


Dalam surah Yusuf ayat 67 juga terdapat penjelasan tentang perencanaan Nabi Yaakub mengenai cara yang paling strategik untuk anak-anaknya memasuki kota iaitu dengan melalui pintu-pintu yang berlainan, tidak menumpu di satu pintu sahaja.


Dalam zaman yang penuh persaingan seperti sekarang ini, kecemerlangan dan keunggulan hanya akan dapat dicapai dengan penyuburan budaya kerja berencana dan pemikiran strategik.  Sehubungan itu, budaya adhoc seharusnya dihindari kerana ia bukan budaya yang terpancar daripada ajaran Islam.


Memang manusia hanya merencana, Tuhan jua yang menentukan jaya atau tidaknya.  Namun manusia tetap diwajibkan merencana dan melaksanakan rencananya itu.

Demikianlah terjadi dalam Perang Uhud. Perancangannya sudah rapi dan strategik. Tetapi ada pasukan kurang berdisiplin lalu mengabaikan perlaksanaan strategi yang telah direncanakan.  Akibatnya pasukan Islam mengalami pukulan teruk.  Ketika mereka mengadakan post mortem untuk mencari punca musibahnya, turunlah jawapan dari langit yang bermaksud:

(Katakan: Ia adalah akibat daripada gara-gara kita sendiri.)