Sunday, January 31, 2010

Pasar Seng, Makkah: Kawasan Membeli Belah Jemaah Haji Indonesia dan Malaysia - Part 2

Alhamdulillah, dapat keizinan untuk sambung balik topik ni.

Kalau nak tengok video klip dulu silakan klik link kat bawah tu. Tapi jangan lupa ke laman ni semula, sebab banyak berita menarik di bawah tu.



Pasar Seng adalah cop mohor jemaah dari Indonesia. Seng bermaksud zink. Jadi Pasar Seng bermaksud Pasar Zink. Dikisahkan, pada suatu ketika dahulu, atap kedai-kedai di situ adalah terdiri daripada zink. Lantas jemaah Indonesia memanggilnya Pasar Seng.
Pasar Seng ini terletak di sebelah utara Masjidil Haram iaitu di antara al-Haram Street  (berhampiran dengan rumah kelahiran Rasulullah s.a.w) dengan al-Raqubah Street (berhampiran dengan Hotel Sofitel - pintu al-Fatah).  Deretan kedai-kedai di sepanjang jalan-jalan tersebut (termasuk Jawdariyyah Street dan Gazah Street) adalah bermula 50 meter daripada pintu Marwah dan menganjur hingga ke Masjid Kucing (bertentangan dengan simpang ke Shiib Ameer - iaitu jalan menuju ke Ibu Pejabat Tabung Haji Malaysia). Panjang kawasan tersebut lebih kurang 300 meter dan  lebarnya lebih kurang 100 meter - Kawasan yang dilingkungi oleh garisan merah dalam peta di atas.

Indonesia baguuss, Malaysia baguuss. Ini baguusss, murah-murah. Hajjah, hajjah, Siti Rahmah, mari-mari. 5 rial, 5 rial, khamsa rial, khamsa rial, banji rial, banji rial. Halal, halal. Itulah jeritan hiruk pikuk para peniaga cuba menarik perhatian para shoppers (mostly kaum ibu -- hehehe) dan juga para hujjaj yang hendak ke Masjidil Haram.  Memang banyak godaan di bumi Makkah ni. Cobaan, cobaan.

Gambar atas: Kawasan berhampiran dengan Masjidil Haram Road.  Jika kita memasuki kedai-kedai tersebut, kita boleh tembus ke Gazah Street melalui Sheraton Hotel. Kat Dalam tu banyak lot-lot kedai (gerai jualan). Jalan bersimpang siur selebar 3-4 kaki sahaja.  Dari Gazah Street, boleh pula tembus ke Jawdariah Street. Macam-macam ada. Emak dan ayah saja yang tak ada. Kalau tak tahan godaan, jawabnya tak pergi lah ke Masjidil Haram. Tawaf kat Pasar Seng ler nampaknya. Memang hancuss.  



Dua gambar di atas adalah permulaan Jawdariyyah Street, iaitu berhampiran dengan Hotel Sofitel. Kelihatan deretan kanak-kanak yang berasal dari Afrika meminta sedekah pada gambar yang kedua. Aaaaji baba, aaaji baba - bermaksud haji mabrur, haji mabrur - terdengar teriakan kanak-kanak tersebut meminta simpati. Pada gambar pertama, yang sedang duduk kat tepi kedai tu adalah supervisor si peminta sedekah tersebut.  Macam ada satu sendiket yang mengendalikan operasi meminta sedekah.  Walau bagaimanapun, kita janganlah mempersoalkan perkara tersebut. Kalau ada simpati, hulurkanlah sedekah anda seikhlas yang mungkin.

Gambar yang terakhir ialah Masjid Kucing. Ia merupakan salah satu landmark bagi jemaah haji Malaysia. Orang tua-tua dulu apabila balik daripada menunaikan haji, sering menceritakan yang rumah mereka dekat dengan Masjid Kucing.  Saya pernah bertanyakan seorang peniaga kiosk ais krim (pak Arab) di Masjidil Haram Street, di mana Masjid Kucing? Dia macam tercengang kerana tak pernah dengar Masjid Kucing. Kalau tak silap saya Masjid tu ialah Masjid King Abd. Aziz. Saya tidak tahu kenapa ia dipanggil Masjid Kucing. Ramai juga jemaah haji yang tinggal di sekitar masjid ini mengambil keputusan mudah iaitu bersolat fardu kat sini sedangkan jarak ke Masjidil Haram hanya 350 meter sahaja. Mereka takut tersasar kat gerai-gerai di Pasar Seng kot. Wallahu aklam.

Ok, berhenti dulu di sini. InsyaAllah, akan bersambung...

Saturday, January 30, 2010

Pasar Seng, Makkah: Kawasan Membeli Belah Jemaah Haji Indonesia dan Malaysia - Part 1

Alhamdulillah, pagi ini Allah memberi ilham untuk saya menulis bagi mengimbau kenangan semasa melakukan ibadah haji tahun 2007. Topik yang saya pilih kali ini ialah Pasar Seng, iaitu suatu kawasan membeli belah (shopping sakannn) bagi kebanyakan para hujjaj dari sebelah Asia Tenggara - Indonesia, Malaysia, dan yang sewaktu dengannya. Kalau nak tengok video klip yang baru saya buat, jemput klik kat link di bawah ni:

Video Klip Pasar Seng 

Tapi lepas tengok video, jangan lupa untuk baca sampai habis entri saya ni.



Istilah Pasar Seng ini hanya popular di kalangan jemaah haji dari Indonesia. Saya sendiri tidak tahu bahawa kawasan yang kami lalui setiap hari untuk ke Masjid Haram itu dikenali sebagai Pasar Seng. Yang saya tahu kawasan tersebut penuh sesak dengan manusia sehingga sukar untuk berjalan. Di kiri kanan jalan terdapat bermacam-macam kedai yang dipenuhi dengan berbagai-bagai barang jualan. Barang kemas, pakaian siap, kain ela, sutera, beg pakaian, mainan kanak-kanak, minyak wangi, tasbih, kemenyan arab, kasut, restoran makanan Pakistan dan India, restoran makanan Indonesia seperti Bakso, soto, nasi lemak, dan macam-macam lagi yang tak dapat saya senaraikan, semuanya ada dijual di situ. Macam-macam ada.



Gambar di atas ini di ambil selepas solat Isya' nak balik Hotel Janadiriah.



Gambar di atas tu saya kutip dari laman web mana tah, maaf pak, nanti bila ingat saya masukkan kredit di sini. Jejaka kacak tu namanya Pak Oedin - SiRaja Bakso, warga Indonesia, status PR yang berniaga di Haram Shopping Center (Bangunan Hotel Sofitel Makkah). Sedap Baksonya tapi satu mangkuk SR10. Cepat kaya Pak Oedin nih.

Ok, ini dia link gambar di atas http://www.hotelier-indonesia.com/Agustuspecial.htm



Yang di atas ni adalah kawasan permulaan Jalan Jawdariah. Memang sentiasa sibuk jalan ni.


Ok, berhenti dulu kat sini dan akan sambung kalau Allah izin. Assalamu'alaikum.

Saturday, January 16, 2010

Rindu Kaabah

Assalumu'alaikum wm. wbr.

Alhamdulillah, saya baru saja berjaya upload klip video terbaru saya iaitu Tawaf Haji 2007. Klip ini memaparkan suasana tawaf yang padat dan penuh sesak di dataran kaabah selepas solat subuh dalam minggu terakhir bulan disember 2007. Video ini diambil dari atas bumbung masjidil haram. Kepada para pengunjung yang ingin melihat klip video tersebut sila klik Tawaf Haji 2007

Sejak akhir-akhir ni saya sangat rindu dengan kaa'bah lebih-lebih lagi apabila mengikuti blog sdr Manzlie PDKM (Pengalaman Di Kota Makkah) yang memaparkan dengan terperinci perkembangan terkini suasana di kota suci Makkah dan perjalanan haji beliau bagi tahun 2008 dan 2009.

Alhamdulillah, pada tahun 2007 saya dan isteri telah diberi kesempatan oleh Allah swt untuk menunaikan fardhu haji dan telah mengambil beberapa gambar dan video suasana di dalam dan di sekitar masjidil haram. Saya sangat bersyukur kepada Allah kerana sempat membuat rakaman video tersebut kerana pada tahun 2008 kerajaan Arab Saudi telah memperluaskan kawasan masjidil haram. Kedai, kompleks perniagaan, dan beberapa hotel di sekeliling masjidil haram telah dirobohkan untuk memberi laluan kepada projek pembesaran al-Haram. Jadi tempat-tempat yang pernah kami kunjungi atau lalui telah pun lenyap daripada pandangan.

Jadi untuk mengenang kembali perjalanan haji kami pada tahun 2007, maka saya cuba membuat klip-klip video untuk dijadikan bahan kenang-kenangan. Mudah-mudahan ia dapat memberi motivasi kepada anak-anak, saudara-mara, rakan-rakan dan juga kepada ummat Islam seluruh dunia.

Untuk menghasilkan klip video yang bagus, maka perlu kepada gambar-gambar yang terkini dan bersesuaian dengan jalan cerita. Saya bercadang menggunakan gambar-gambar yang terdapat dalam blog PDKM. Alhamdulillah, sebentar tadi saya telah mendapatkan keizinan daripada pemilik blog PDKM iaitu sdr manzlie. Jutaan terima kasih saya ucapkan kepada beliau. Semoga Allah sentiasa melimpahkan Rahmat-Nya kepada beliau di atas jasa baik yang tidak dapat saya balas sehingga ke akhir hayat. Jazakallahu khaira ya akhie.