Friday, December 31, 2010

Restoran Asam Pedas Melaka Di Kajang

Assalamu'alaikum wm wbr.
.
Jom join saya pi makan di Restoran MARISSA Nasi Lemak & ASSAM PEDAS
.
Alamat:
No. 5, Bangunan Arked MARA,
Kajang, Selangor.
(Depan Metro Kajang)

Tak dan nak story lagi, tahun depan saya sambung. Kejap lagi solat subuh -- jom solat dulu. Lepas tu nak bertolak ke Perlis hantar anak balik mengaji kat Institut Perguruan Perlis. On the way nanti nak singgah kat Ayer Hitam Kedah (sempadan Perlis ler tu) nak survey Pusat Rawatan Batu Karang Hj. Harun yang Pn. Ummi Humaira (rakan PDKM) cerita dalam blog beliau SUATU PERJALANAN. Saja nak tengok-tengok, tinjau-tinjau, ambil gambar.



Thursday, December 30, 2010

Rebana Versus Kompang

Assalamu'alaikum wm. wbr.


Sudah menjadi adat kebiasaan bagi masyarakat kita orang Melayu, majlis perkahwinan dianggap tidak sempurna jika pengantin tidak diarak dengan paluan kompang. Baru-baru ini di majlis perkahwinan anak saudara saya di Felda Serting 4, Negeri Sembilan abang saya membuat suatu kelainan dengan memanggil kumpulan rebana daripada Felda Palong (maaf Palong ? saya tidak ingat). 

Paluan rebana mengiringi majlis perarakan pengantin merupakan sesuatu yang asing di Negeri Sembilan dan Melaka. Suatu ketika dulu, paluan rebana yang mana rata-rata ahli kumpulannya terdiri daripada orang tua-tua memang menjadi pilihan utama dalam majlis-majlis perkahwinan di tempat saya. Namun lama kelamaan kepopularitiannya semakin berkurang dan akhirnya pupus apabila peneraju-peneraju rebana seorang demi seorang meninggal dunia. Anak-anak muda tidak berminat dengan rebana mungkin rentak alunan pukulannya lemah gemalai. Mereka lebih berminat dengan kompang dengan rentak alunan pukulan yang keras dan garang sesuai dengan darah panas orang muda. 

Alhamdulillah, setelah hampir 40 tahun paluan rebana menghilang, kini ia muncul semula di daerah Jempol dan Gemas Negeri Sembilan. Kalau dilihat keanggotaan kumpulan rebana yang baru ditubuhkan ini, sembilan puluh sembilan peratus terdiri daripada orang-orang lama. Harap-harap kumpulan rebana ini dapat bertahan lama.

Berlainan dengan negeri Perak, apabila saya search Youtube, terdapat banyak kumpulan rebana di merata kampung dan tempat dengan berbagai-bagai lagu. Paluan rebana dari Kumpulan Rebana Kampung Cangkat Lada Perak saya rasa hampir sama dengan paluan rebana kumpulan Felda Palong. Namun kesemua alunan rebana yang saya tengok di Youtube dan juga kumpulan Felda Palong ni tidak sama dengan alunan rebana zaman dulu-dulu yang pernah saya dengar 40 tahun yang lalu. Lemah gemalai, menusuk kalbu. 

Alunan kompang macam mana pula? Berterabur ... 

Nikmatilah alunan paluan rebana ini. Sebelum tu suruh tengkorak dalam mixpod di sebelah kanan tu berhenti kejap, beri laluan orang nak dengar paluan rebana. Caranya -- tekan butang "pause" pada mixpod tu.

Wednesday, December 29, 2010

Sana Kahwin Sini Kahwin

Assalamu'alaikum wm wbr.

Dalam bulan Muharram ini, kebetulan pula musim cuti sekolah, berlambak-lambak orang mengadakan majlis perkahwinan. Alhamdulillah, majlis perkahwinan dilakukan dalam bulan yang penuh barakah. Pasangan pengantin mengambil keputusan untuk berhijrah meninggalkan zaman bujang memasuki zaman berumah tangga. Semoga pasangan pengantin disirami dengan berbagai-bagai keberkatan dalam mengharungi  dunia berkeluarga yang penuh mencabar dan menuntut kesabaran yang jitu. Dulu seorang, sekarang sudah berdua, dan dalam setahun dua nanti bertiga, dan seterusnya berempat, berlima, dan sebagainya. Oleh itu diharapkan mereka bijak melayari dunia berkeluarga, dan dalam hal ini masing-masing pasangan perlulah bertolak ansur dan memahami antara satu dengan yang lain.

Semenjak dua menjak mengambil alih peranan arwah emak dan ayah (yang telah lama meninggal dunia) sebagai orang tua tempat rujukan anak-anak saudara, jadi dalam bulan Disember ini sibuklah saya ke sana kesini, meraikan perkahwinan anak-anak saudara dan juga saudara terdekat. Cuti hujung minggu - Sabtu dan Ahad - terpaksa dikorbankan untuk memenuhi tuntutan jemputan majlis perkahwinan. Walau bagaimanapun, alhamdulillah usaha merapatkan silatulrahim adalah ganjarannya di sisi Allah SWT. Dalam majlis-majlis sebegini ramai saudara mara yang jauh dan dekat datang.

Di bawah ini dipaparkan beberapa gambar yang sempat dirakamkan pada majlis tersebut. Sayang sekali, gambar majlis perkahwinan anak saudara pada 4 Disember 2010 tidak ada dalam simpanan sebab asyik buat rakaman video pasukan rebana (bukan kompang) yang mengiringi perarakan pengantin. Paluan rebana dalam majlis kahwin memang sudah lama pupus dan diganti dengan paluan kompang. Namun baru-baru ini budaya paluan rebana ini dihidupkan semula di Felda Negeri Sembilan. Alhamdulillah, semoga budaya ini dapat disemarakkan semula.

...
28 November 2010 - Cucu Saudara Kahwin
Cucu Saudara - Ayah dan Datuknya telah meninggal dunia
Sudah lama tak tenguk pengantin pakai sanggul macam di atas

Nenek pengantin perempuan (kakak saya - no.1 dari kanan)

Tangan Yang Terseliuh DiUrut Oleh Kakak

5 Disember 2010 - Anak Saudara Kahwin
Dewan MGI Bandar Baru Bangi

Ini Bukan Pengantin

Yang Tengah-Tengah Tu Pengantin

19 Disember 2010 - Anak Saudara
Pasangan Pengantin

Pengiring Pengantin



Bergambar Beramai-Ramai

25 Disember 2010 - Anak Sepupu


Saturday, December 25, 2010

Hijrah Rasulullah S.A.W. Ke Madinah - Part 8

Assalamu'alaikum wm wbr.
.
Hijrah Sebagai Satu Ujian
.
Meninggalkan kampung halaman, tanah tumpah darah yang sudah terpahat sebati dalam jiwa raga sejak dilahirkan ke dunia adalah suatu tekanan yang besar kepada jiwa raga seseorang.
.
Ada diriwayatkan bahawa ketika Baginda akan meninggalkan kota Makkah Baginda mengungkapkan kata-kata yang bermaksud:

"Alangkah indahnya kamu bagiku wahai negeriku (Makkah), dan alangkah kasihnya daku kepadamu, seandainya tidak kerana aku diusir oleh kaumku untuk berpisah denganmu, maka demi sesungguhnya aku tidak akan memilih tempat kediamanku selain daripada kamu."
.
Setelah mengucapkan kata-kata tersebut, maka baginda pun terus melangkah keluar, yang dilakukannya sebagai menunaikan satu perintah Allah SWT.  Ketika inilah juga turunnya ayat al-Quran:

وَقُلْ رَبِّ أَدْخِلْنِي مُدْخَلَ صِدْقٍ وَأَخْرِجْنِي مُخْرَجَ صِدْقٍ وَاجْعَلْ لِي مِنْ لَدُنْكَ سُلْطَانًا نَصِيرًا
.
"Dan katakanlah : Tuhanku, masukkanlah aku dengan cara yang benar, dan keluarkanlah (pula) aku dengan cara yang benar, dan berikanlah kepadaku dari sisimu kekuasaan yang (dapat) menolong.”. (S urah Al-Isra’: ayat 80).

Dr. Yusuf Al-Qaradawi ada mengatakan di dalam khutbah Jumaatnya : 
"Sesungguhnya hijrah Nabi S.A.W. meninggalkan satu tempat yang paling disayangi oleh Baginda dan paling disukai oleh Allah SWT. Ia juga adalah tanah tempat tumpah darah Baginda, tempat yang penuh kenangan baginya, tempat Baginda membesar. Lebih-lebih lagi, ia adalah tanah haram Mekah Al-Mukarramah.
Namun begitu, jika bertemu antara tuntutan akidah dan kecintaan kepada tanah air, maka tuntutan akidah lebih tinggi kedudukannya dan perlu didahulukan ke atas yang lain. Tuntutan akidah juga lebih berharga dari keluarga, rumah, harta dan apa sahaja yang disukai oleh manusia.
Nabi S.A.W telah berhijrah meninggalkan negaranya dan kawan-kawannya. Firman Allah SWT dalam surah al-Hajj:
الَّذِينَ أُخْرِجُوا مِنْ دِيَارِهِمْ بِغَيْرِ حَقٍّ إِلَّا أَنْ يَقُولُوا رَبُّنَا اللَّهُ ۗ  
.
Yang bermaksud: "Iaitu mereka yang diusir dari kampung halamannya dengan tidak berdasarkan sebarang alasan Yang benar, (Mereka diusir) semata-mata kerana mereka berkata: Tuhan Kami ialah Allah". [Surah Al-Hajj : 40]
.
Semua itu lebih mudah untuk mereka tinggalkan berbanding dengan keredhaan Allah SWT. Ini kerana mereka ingin membina sebuah Negara Islam, kerana Islam perlu kepadanya. Sebuah negara yang terpisah yang dapat meningkatkan kalimah Allah di situ, dilaksanakan syariat Islam, ditegakkan syiar-syiar Allah dan memperlihatkan kekuatan Islam."
.
Udara Madinah berbeza dengan keadaan di Makkah. Ada di kalangan sahabat Muhajirin yang mengalamai demam. Rasulullah S.A.W. sentiasa memberi semangat kepada mereka dengan janji-janji dari Allah, di antaranya kelebihan orang yang sabar menghadapi sakit dan kesulitan di Madinah mendapat syafa'at di hari qiamat dan diberi kelebihan syahid.

Di samping itu Rasulullah S.A.W. berdoa:
.
"Ya Allah Ya Tuhanku, jadikanlah kami kasihkan Madinah sebagaimana kami kasihkan Makkah atau lebih darinya. Ya Allah Ya Tuhan kami, jadikanlah ia tempat yang sihat, berkatilah kepada kami cupaknya dan gantangnya, dan pindahkanlah wabak demamnya, jadikanlah dia di Juhfah." 
(Riwayat Bukhari, Muslim dan Ahmad)
.
Demikianlah berlalunya marhalah makkiyyah yang penuh dengan pengajaran, marhalah ini berjaya membina pelopor utama generasi gemilang yang berjaya mempertahankan 'aqidah sehingga bersebati dalam diri. Ayat-ayat al-Quran yang diwahyukan di Makkah berkisar mengenai perkara-perkara yang berhubung dengan mengenal Allah SWT, memberitahu hari akhirat, dan mengenal jahiliyah. Semua yang diwahyu dan dilaksanakan oleh Rasulullah diikuti oleh para sahabat radiyallahu anhum dengan taat dan bersedia menerima apa sahaja untuk dikorbankan,
.
Dari kali pertama mereka menerima wahyu sehingga berlakunya hijrah dan perkara-perkara yang berhubung dengannya, semuanya itu menunjukkan satu kemenangan yang telah dicapai, sama ada di kalangan mereka yang hidup dan dapat berhijrah bersama-sama Rasulullah atau mereka yang syahid tidak sempat dengan hijrah. Semuanya mencapai kemenangan , iaitu kemengan iman dalam diri yang melayakkan mereka memikul amanah yang lebih besar untuk berdepan dengan dunia seluruhnya. Kepada kita pewaris ajaran Rasulullah S.A.W. yang meneruskan perjalanannya mestilah pula mengkaji dengan penuh iktibar dan mengambil pegangan yang teguh.
.
Bagaimanakah perasaan kita ketika mengimbau kembali peristiwa hijrah ini? Adakah kita membacanya dengan sambil lewa sahaja? Seharusnya kita menghayati semangat hijrah Rasul tersebut dengan mencintai Baginda dan mengikut jalan yang telah ditunjukkan oleh Baginda S.A.W. Semoga kita menjadi umat Muhammad yang tulin yang bergetar jiwa dan raga sehingga menitiskan air mata ketika mendengar nama Baginda S.A.W. disebut terutama ketika mengucapkan kalimah syahadah sama ada dalam solat atau di luar solat.
اللهم صلّ على سيدنا محمد وعلى آ ل سيدنا محمد 












Thursday, December 23, 2010

Hijrah Rasulullah S.A.W. Ke Madinah - Part 7

Membina Masjid Nabawi

Keberadaan Rasulullah di bumi Madinah yang barakah memberi peluang kepada Baginda untuk membina asas yang teguh bagi membina negara Islam dan mewujudkan tiga bentuk hubungan yang penting iaitu:
  1. Hubungan dengan Allah SWT.
  2. Hubungan sesama umat Islam.
  3. Hubungan umat Islam dengan orang bukan Islam dan dengan negara bukan-Islam dalam rangka menyampaikan risalah Islam serta menentukan sikap mereka terhadap Islam.
Hubungan antara manusia dengan Allah SWT merupakan hubungan yang penting.  Justeru itu langkah pertama yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W. setelah tiba di Madinah ialah membina masjid. Dengan tertegaknya masjid bermakna tertegaklah syi'ar yang penting bagi Islam yang sentiasa diperangi oleh musuh dari segenap penjuru.

Pembinaan masjid telah menyediakan tempat bagi umat Islam untuk mendirikan 'ibadah solat yang merupakan penyambung antara hamba dengan Allah, Tuhan Semesta Alam serta membersihkan hati dari diselaputi oleh daki-daki dunia yang mencemarkan hubungan dengan Allah SWT.

Masjid juga menjadi asas yang kukuh kepada pembinaan masyarakat dan negara Islam kerana keteguhan masyarakat Islam adalah berteraskan kepada ikatan 'aqidah yang kuat dan pegangan yang teguh kepada ajaran Islam. Ikatan yang teguh dan kukuh ini adalah bersumber dan terpancar dari masjid yang penuh dengan keberkatan.


Masjid juga merupakan tempat bagi menjalin ikatan ukhuwah Islamiyyah menurut adab-adabnya kerana umat Islam boleh bertemu antara satu sama lain di waktu sembahyang. Mereka bermesra antara satu sama lain tanpa mengira pangkat, keturunan dan harta di samping menerima ilmu dan menunggu arahan dari Allah dan Rasul-Nya. Masjid yang melahirkan perkara seperti ini ialah masjid yang dinyatakan oleh firman Allah SWT:

إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللَّهِ مَنْ آمَنَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَأَقَامَ الصَّلَاةَ وَآتَى الزَّكَاةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلَّا اللَّهَ فَعَسَى أُولَئِكَ أَنْ يَكُونُوا مِنَ الْمُهْتَدِينَ

Maksudnya:

Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk. (At-Taubah: 18)

Oleh itu Rasulullah S.A.W. telah memilih tanah tempat Baginda berhenti dan turun dari unta yang ditunggangi Baginda ketika hijrah sebagai tapak masjid yang akan didirikan. Tanah tersebut dibeli daripada pemiliknya iaitu dua orang anak yatim Bani an-Najjar. Tanah tersebut dibersihkan dan kubur-kubur musyrikin yang kebetulan berada di situ dibongkar dan dialihkan ke tempat lain. Pokok-pokok tamar ditebang, dan tanahnya diratakan. Kemudian di atasnya dibina masjid dengan ukuran panjang seratus hasta, lebar seratus hasta, dan tinggi tiga hasta. Dinding masjid diperbuat daripada batu bata yang diikat dengan tanah liat, atapnya pelepah tamar dan tiangnya dari batang tamar. Binaannya diteguhkan dengan dua tiang dari batu dan lantainya diperbuat daripada pasir dan batu-batu kecil. 
.
Qiblat masjid menghadap Baitul Maqdis, Palestin sebab pada ketika itu belum lagi menerima perintah menukar qiblat ke Masjidil Haram, Makkah. Di tepi masjid didirikan rumah-rumah dengan bilik-bilik Umm al-Mukminin isteri-isteri Nabi S.A.W. Masjid tersebut juga menjadi tempat tinggal para ahli suffah dan orang-orang fakir di kalangan sahabat radiyallahu 'anhum.
.
Rasulullah S.A.W. turut serta membina masjid tersebut. Kaum Muslimin dari kaum Muhajirin dan kaum Ansar ikut terlibat dalam pembinaan masjid dengan bersungguh-sungguh. Salah seorang dari kaum Muslimin berkata:
.
"Jika kita duduk, sedang Rasulullah bekerja
Itu adalah amalan sesat dari kami."
.
Kaum Muslimin bekerja sambil mendendangkan syair:
.
"Wahai Tuhan kami, tiada hidup yang benar melainkan kehidupan di akhirat
Wahai Tuhan kami, berilah pertolongan kepada Ansar dan Muhajrin"
.
Rasulullah S.A.W. bersabda:
.
"Tiada kehidupan yang sebenar melainkan kehidupan akhirat,
Wahai Tuhan kami, rahmatilah Muhajirin dan Ansar."
.
Ali bin Abi Talib pula  mengalunkan syair:
.
"Tidak sama orang yang membina masjid dengan serius
Dengan orang yang duduk ikut membinanya
Dan dengan orang yang terlihat debu padanya."
.
Persaudaraan Islam
.
Perkara kedua yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W. setelah tiba di Madinah ialah dengan mempersaudarakan golongan Muhajirin dengan golongan Ansar yang mana Islam menjadi tali ikatannya. Ia berbeza dengan hubungan 'asabiyyah yang bertunjang atas hubungan kekeluargaan, keturunan, warna kulit dan tanah air tanpa ada perhitungan atas dasar taqwa dan maruah manusia.
.
Rasulullah S.A.W. melakukan ikatan persaudaraan tersebut di rumah Anas bin Malik r.a. Jumlah yang terlibat dalam peristiwa tersebut ialah 90 orang. Rasulullah S.A.W. telah memeterai ikatan persaudaraan itu dengan suatu 'aqad yang teguh diamalkan bukan hanya sebagai ucapan kosong semata-mata. Rasulullah S.A.W. bersabda kepada mereka, "Bersaudaralah kamu di jalan Allah berdua, berdua." 
.
Kemudian Baginda memegang tangan 'Ali bin Abi Talib dan berkata, "Inilah saudaraku."
.
Seterusnya Hamzah dipersaudarakan dengan Zaid bin Harithah, Ja'far bin Abi Talib dengan Mu'az bin Jabal, Abu Bakar al-Siddiq dengan kharijah bin Zuhair, 'Umar bin al-Khattab dengan Uthban bin Malik, Abu 'Ubaidah bin al-Jarrah dengan Saad bin Mu'az, Abdul Rahman bin Auf dengan Saad bin Rabi', Zubair bin al-Awwam dengan Salamh bin Salamah, 'Uthman bin 'Affan dengan Aus bin Shabab, Talhal bin 'Ubaidillah dengan Ka'ab bin Malik, Said bin Zaid dengan Ubai bin Kaab, Mus'ab bin 'Umair dengan Abu Ayyub Khalid bin Zaid, Abu Huzaifah bin 'Utbah dengan 'Abbad bin Bisyr, 'Ammar bin Yasir dengan Huzaifah Ibn Yaman, Abu Zar al-Ghifari dengan Munzir bin 'Amru, Hatib bin Abi Balta'ah dengan 'Uwaim bin Sa'idah, Salman al-Farisi dengan Abi Darda' dan Bilal bin Rabah dengan Abu Ruwaihah.
.
Keeratan persaudaraan tersebut sehingga sampai ke peringkat menerima pusaka apabila salah seorang daripada mereka meninggal dunia, sehinggalah Allah SWT memansuhkannya dengan ayat pusaka iaitu seperti pada surah an-Nisa' ayat 11,12, dan 176.
.
Dalam ayat 11, surah an-Nisa' Allah berfirman:
.
"Allah perintahkan kamu mengenai (pembahagian harta pusaka untuk) anak-anak kamu, iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan. Tetapi jika anak-anak perempuan itu lebih dari dua, maka bahagian mereka ialah dua pertiga dari harta yang ditinggalkan oleh si mati. Dan jika anak perempuan itu seorang sahaja, maka bahagiannya ialah satu perdua (separuh) harta itu. Dan bagi ibu bapa (si mati), tiap-tiap seorang dari keduanya: satu perenam dari harta yang ditinggalkan oleh si mati, jika si mati itu mempunyai anak. Tetapi jika si mati tidak mempunyai anak, sedang yang mewarisinya hanyalah kedua ibu bapanya, maka bahagian ibunya ialah satu pertiga. Kalau pula si mati itu mempunyai beberapa orang saudara (adik-beradik), maka bahagian ibunya ialah satu perenam. (Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya. lbu-bapa kamu dan anak-anak kamu, kamu tidak mengetahui siapa di antaranya yang lebih dekat serta banyak manfaatnya kepada kamu (Pembahagian harta pusaka dan penentuan bahagian masing-masing seperti yang diterangkan itu ialah) ketetapan dari Allah; sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana."  (An-Nisa':11) 
.
Seterusnya dalam ayat 12 surat an-Nisa' Allah berfirman:
.
"Dan bagi kamu satu perdua dari harta yang ditinggalkan oleh isteri-isteri kamu jika mereka tidak mempunyai anak. Tetapi jika mereka mempunyai anak maka kamu beroleh satu perempat dari harta yang mereka tinggalkan, sesudah ditunaikan wasiat yang mereka wasiatkan dan sesudah dibayarkan hutangnya. Dan bagi mereka (isteri-isteri) pula satu perempat dari harta yang kamu tinggalkan, jika kamu tidak mempunyai anak. Tetapi kalau kamu mempunyai anak maka bahagian mereka (isteri-isteri kamu) ialah satu perlapan dari harta yang kamu tinggalkan, sesudah ditunaikan wasiat yang kamu wasiatkan, dan sesudah dibayarkan hutang kamu. Dan jika si mati yang diwarisi itu, lelaki atau perempuan, yang tidak meninggalkan anak atau bapa, dan ada meninggalkan seorang saudara lelaki (seibu) atau saudara perempuan (seibu) maka bagi tiap-tiap seorang dari keduanya ialah satu perenam. Kalau pula mereka (saudara-saudara yang seibu itu) lebih dari seorang, maka mereka bersekutu pada satu pertiga (dengan mendapat sama banyak lelaki dengan perempuan), sesudah ditunaikan wasiat yang diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya; wasiat-wasiat yang tersebut hendaknya tidak mendatangkan mudarat (kepada waris-waris). (Tiap-tiap satu hukum itu) ialah ketetapan dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Penyabar."  (An-Nisa':12)
.
Oleh kerana perpaduan umat menjadi salah satu unsur terpenting dalam kebangkitan umat dan negara yang didokongi, maka langkah Rasulullah mempersaudarakan antara golongan Muhajirin dengan golongan Ansar merupakan suatu langkah yang bijak. Umat Islam yang bersaudara itu mempunyai kedudukan yang teguh dan 'aqidah yang kuat, menjadikan mereka golongan yang berkuasa dalam masyarakat majmuk yang majoritinya terdiri daripada orang-orang bukan Islam. Walaupun ancaman-ancaman dan cabaran-cabaran yang diterima begitu banyak, namun umat Islam tetap teguh dan tidak berjaya dihapuskan oleh musuh. Dengan ikatan persaudaraan yang teguh itu, maka hancur leburlah fahaman 'asabiyyah yang berlandaskan kepada keturunan dan warna kulit kerana yang menjadi nilai sebenar ialah taqwa.



Bersambung ...

Wednesday, December 22, 2010

Hijrah Rasulullah S.A.W. Ke Madinah - Part 6

Assalamu'alaikum wm wbr.
.
... sambungan
.
Memasuki Madinah
.
Hari paling bersejarah bagi Yathrib (Madinah) dan penduduknya ialah ketika Rasulullah S.A.W. memasuki Madinah. Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan, penduduk Madinah lelaki dan perempuan, orang dewasa dan kanak-kanak, memenuhi jalan dan jendela rumah menyambut Rasulullah S.A.W. dengan bertakbir:
.
"Allahu Akbar, Rasulullah telah tiba, Allahu Akbar, Muhammad telah tiba, Allahu Akbar, Muhammad telah datang. Allahu Akbar, Rasulullah sudah datang,"
.
Para wanita Ansar bergembira dengan menyebut:
.
طلع البدر علينا من ثنيات الوداع...وجب الشكر علينا ما دعا لله داع 
أيها المبعوث فينا جئت بالأمر المطاع...جئت شرفت المدينة مرحبا يا خير داع 
Bulan purnama sedang mengambang di atas kita
dari daerah Tsaniah al-wada',
Wajiblah kepada kita bersyukur
apa yang diseru kerana Allah oleh yang menyeru.
Wahai orang yang membangkitkan di kalangan kita
kamu membawa perkara yang mesti dita'ati.
.
Masing-masing kampung memegang tali unta tunggangan Rasulullah S.A.W. dan mengajak Baginda tinggal di kampung mereka dengan mendakwa kampung mereka kuat serta bersedia untuk mempertahankan Rasulullah S.A.W. Rasulullah bersabda: "Biarkan unta ini berjalan, kerana ia diperintah oleh Allah SWT." Antara kampung-kampung yang dilalui ialah Kampung Bani Salim, Kampung Bani Bayadhah, Kampung Bani Saidah, Kampung Bani Balharith bin al-khazraj, dan Kampung Bani 'Adiy bin an-Najjar.
.
.
Unta Baginda terus berjalan. Apabila sampai di kampung Bani Malik an-Najjar, unta itu berhenti dan duduk bersimpoh ke bumi berhampiran dengan rumah Abu Ayyub al-Ansari r.a. Abu Ayyub al-Ansari tidak melepaskan peluang keemasan yang dikurniakan Allah kepadanya. Apabila unta Rasulullah S.A.W. berhenti berhampiran rumahnya, Abu Ayyub al-Ansari mengambil peluang mempersilakan Rasulullah tinggal di rumahnya. Dia terus mengambil barang-barang Rasulullah untuk dibawa ke rumahnya sebaik sahaja mendapat persetujuan dari Rasulullah.
.
Baginda bertanya tentang tempat penjemuran kurma di mana unta Baginda berhenti. Muaz bin Afra' berkata kepada Baginda, "Wahai Rasulullah, tempat penjemuran tersebut milik Sahl dan Suhail, mereka anak Amr. Mereka anak yatim dan masih keluargaku dan saya akan meminta persetujuan mereka, kemudian jadikan tempat tersebut sebagai masjid."


Gambar Kota Madinah Pada 1861 Oleh Colonel Muhammad Sadiq Dari Mesir
(Ini Adalah Gambar Yang Paling Awal Diambil Di Saudi Arabia)

Gambar Madinah Dulu-Dulu


Menara Masjid Nabawi Di Lihat Dari Jarak 2.6km

Bangunan-Bangunan Di Sekitar Masjid Nabawi Pada Masa Kini
Bersambung ...

Tuesday, December 21, 2010

Hijrah Rasulullah S.A.W. Ke Madinah - Part 5

Assalamu'alaikum wm wbr.

... sambungan

Menurut Ibnu Ishak, dari Qudaid  mereka meneruskan perjalanan melewati al-Kharrar, kemudian melewati Thaniya al-Marrah, kemudian berjalan melewati Liqf, kemudian melintasi Madlajah Liqf, kemudian bergerak ke Madlajah Mijaj, kemudian mereka masuk Majlaj Mijaj, kemudian melewati Marjih Majaj, kemudian memasuki Mazhaj Zi Ghadhwin menyusur ke Zi Kasyr terus ke al-Jadajid, lepas itu ke al-Ajrad, dengan memasuki Za Salam kemudian dari Batnu A’ada memasuki Ta’hn berlepas ke al-Ababid melintasi al-Fajah turun al-A’rj mengarah ke Thaniyah al-A’air di sebelah kanan Rakubah, kemudian turun lagi ke Batn Ra’im akhirnya sampai ke Quba’ di Bani Amru bin Auf, pada 12 Rabiulawwal, hari Isnin, pada waktu dhuha hampir habis, dan ketika matahari sedang-sedang sahaja.

Dalam perjalanan tersebut Rasulullah telah terserempak dengan Abu Baridah, seorang ketua kabilah. Dia keluar untuk mencari Nabi dan sahabatnya untuk mendapat tawaran hadiah besar daripada kafir Quraisy. Apabila dia berdepan dengan Rasulullah S.A.W. dan mendengar sabdanya, dia pun memeluk Islam bersama dengan 70 orang pengikutnya. Kemudian dia mencabut serbannya dan diikat di hujung tombaknya, dikibar sebagai bendera bagi mengisytiharkan tegaknya kerajaan yang memenuhi dunia dengan keadilan.






Tiba Di Quba'
.
Perjalanan yang penuh dengan keberkatan dan tanda-tanda kebenaran dari Allah SWT itu penuh dengan ujian. Bukan sahaja menjadi buruan musuh, tetapi keadaan padang pasir yang panas, berbukit bukau, dan berbatu pejal itu semuanya menjadi bebanan musafir yang jauh itu. Tetapi Allah memberi kekuatan dengan berlakunya mu'jizat, bagi menyatakan Allah SWT sentiasa bersama Rasulullah di mana sahaja baginda pergi dan itulah juga yang menjadi keimanan dalam diri Rasulullah.

Perjalanan Ke Madinah Melalui Kawasan Berbukit Bukau
.
Kepenatan musafir selesai dengan tibanya Rasulullah S.A.W. di Quba' pada hari Isnin 12 Rabi'ul-Awwal (ada yang mengatakanpada 8 Rabi'ul-Awwal) tahun ke empat belas kenabian dan tahun pertama hijrah. Usia Baginda pada ketika itu ialah 53 tahun.
.
Penduduk Madinah menunggu-nunggu kedatangan Rasulullah S.A.W. Menurut riwayat Urwah bin Az-Zubir, setelah mereka mendengar berita bahawa Rasulullah S.A.W. telah pun keluar dari Mekah, tiap-tiap hari mereka berkumpul di al-Harrah menunggu ketibaan Rasulullah. Mereka berada di situ dari pagi sehinggalah terasa kepanasan waktu zohor barulah mereka meninggalkan tempat itu. Kebetulan Rasulullah tiba di kala orang-orang Madinah telah pulang ke rumah. Orang yang pertama sekali melihat kedatangan Rasulullah ialah seorang Yahudi. Orang Yahudi tersebut berteriak kasar dengan berkata, "Hai Bani Qailah (kaum Ansar), ini dia datuk kalian telah datang!!" Orang-orang Islam bersegera keluar dari rumah untuk menemui Rasulullah yang ketika itu berteduh di bawah pohon kurma ditemani oleh Abu Bakar. Sebahagian daripada kaum Ansar tidak mengenali Rasulullah, sehingga ada di kalangan mereka menyangka Abu Bakar itulah Rasulullah yang mereka tunggu-tunggu. Apabila Rasulullah terkena pancaran matahari, Abu Bakar berdiri dan memayungi Rasulullah dengan selindangnya. Ketika itu barulah mereka sedar bahawa mereka tersalah anggap.

Rasulullah s.a.w. tinggal di rumah Kulthum bin Hidam, saudara Bani Amru bin Auf dan bertemu orang ramai di rumah Saad bin Khaithamah. Rasulullah lebih suka tinggal di rumah Saad bin Kaithamah sebab dia tidak mempunyai isteri dan menjadi tempat berkumpulnya orang-orang muhajirin yang tidak beristeri. Manakala Abu Bakar pula tinggal di rumah Khabib bin Isaf, salah seorang dari Bani al-Harith bin al-khazraj di as-Sunh. Kemudian Ali bin Abi Talib tiba di Quba' setelah menyampaikan barang-barang amanat yang disimpankan kepada Rasulullah di Makkah kepada tuannya masing-masing. Di Quba', Ali tinggal bersama Rasulullah. 



Rasulullah S.A.W. tinggal di Quba' selama empat hari iaitu pada hari Isnin, Selasa, Rabu, dan Khamis. Di Quba' Baginda meletakkan asas sebuah masjid dan bersembahyang di dalamnya. Itulah masjid yang pertama yang dibina di atas dasar taqwa sebagaimana yang dinyatakan dalam surah at-Taubah ayat 108.
لاَ تَقُمْ فِيهِ أَبَداً لَّمَسْجِدٌ أُسِّسَ عَلَى التَّقْوَى مِنْ أَوَّلِ يَوْمٍ أَحَقُّ أَن تَقُومَ فِيهِ فِيهِ رِجَالٌ يُحِبُّونَ أَن يَتَطَهَّرُواْ وَاللّهُ يُحِبُّ الْمُطَّهِّرِينَ
Jangan engkau sembahyang di masjid itu selama-lamanya, kerana sesungguhnya masjid (Qubaa' yang engkau bina wahai Muhammad), yang telah didirikan di atas dasar taqwa dari mula (wujudnya), sudah sepatutnya engkau sembahyang padanya. Di dalam masjid itu ada orang-orang lelaki yang suka (mengambil berat) membersihkan (mensucikan) dirinya; dan Allah Mengasihi orang-orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin). 

Masjid Quba'
.

Pemandangan Bahagian Dalam MAsjid Quba'
.
Hadis Riwayat Ibnu Majah menyatakan Rasullullah bersabda : "Barangsiapa telah bersuci (mengambil wudu’) di rumahnya, dengan sebaik-baik wudu’, kemudian mendatangi Masjid Quba’ lalu solat di dalamnya dua rakaat, maka baginya sama dengan pahala umrah".
.
Pada hari Jumaat Baginda berangkat ke Madinah diiringi oleh Abu Bakar dan disertai juga oleh anggota keluarga Baginda dari Bani al-Najjar. Mereka datang untuk mengiringi Rasulullah dengan bersenjatakan pedang. Apabila sampai di kampung Bani Salim bin Auf, iaitu kira-kira satu kilometer ke utara Quba', Baginda mendirikan solat Jumaat di masjid yang berada di tengah lembah iaitu lembah Ranuna'. Dan itulah solat Jumaat pertama yang didirikan oleh Rasulullah S.A.W. di Madinah.

Masjid Jummah, Di sinilah Rasulullah Mendirikan Solat Jumaat Pertama di Madinah

Bersambung ...

Saturday, December 18, 2010

Hijrah Rasulullah S.A.W. Ke Madinah - Part 4

... Sambungan

Dari 'Usfan mereka menuju Amaj. Dalam perjalanan, mereka melewati khemah Ummu Ma'bad al-Khuza'iyyah. Pada kebiasaannya Ummu Ma'bad memberi makanan dan minuman kepada sesiapa yang melewati khemahnya. Apabila Baginda Rasulullah S.A.W. sampai di situ baginda bertanya, "Apakah ada sesuatu bersama puan?" Ummu Ma'bad menjawab, "Demi Allah, jika ada sesuatu bersama kami, kamu tidak akan terbiar tanpa jamuan. Kambing semuanya tidak bersusu dan ini pula tahun kemarau." Lalu Rasulullah meminta izin untuk memerah seekor kambing betina di tepi khemah. Berkat tangan Rasulullah, tiba-tiba kambing yang kurus tersebut mampu mengeluarkan susu. Mereka minum susu yang diperah. Baginda memerah sekali lagi sehingga penuh bekas tampungan. Susu tersebut ditinggalkan di khemah Ummu Ma'bad, kemudian Baginda meneruskan perjalanan.

Tidak berapa lama kemudian suami Ummu Ma’bad pulang menghalau kambing-kambing yang kurus, kesemuanya berjalan terhuyung hayang, kerdil-kerdil belaka, tetapi bila beliau melihat susu di khemah, beliau kehairan terus bertanya dari mana kesemua ini, kambing yang tertinggal itu belum beranak, dan yang tertinggal di khemah tadi tidak ada yang bersusu?

Ummu Ma'bad menceritakan kepada suaminya tentang kedatangan Rasulullah S.A.W. serta sifat-sifatnya yang mulia serta bahasa Baginda yang menarik. Kata suami Ummu Ma'bad, "Demi Allah, itulah dia orang yang disebut-sebut halnya, aku amat berhasrat untuk bersahabat dengannya, pasti ku tunaikan hasrat ku ini bila terluang bagi ku nanti."  

Dari Amaj, mereka menuju pula ke Qudaid. [Pada masa sekarang jemaah umrah / haji yang menaiki bas dari Madinah ke Makkah sering berhenti di salah satu R&R di Qudaid untuk makan dan juga qada' hajat].

Dari 'Usfan Baginda Bergerak Ke Amaj dan Kemudian Ke Qudaid

Di subuh pagi kedengan suatu suara di Makkah tetapi tidak kelihatan pengungkapannya. Kata Asma’, Sebenarnya kami tidak tahu arah mana Rasulullah tujui, namun telah tiba satu lelaki jin lalu dari sebelah Makkah Mawah (Misfalah) mendendangkan rangkap-rangkap syair. Orang ramai mengikutinya dan mendengar suaranya tetapi tidak kelihatan jasadnya. Dia berlalu hinggalah ke sebelah Makkah Atas (Ma'ala). Bila kami semua mendengar laungan ini kami pun tahulah yang Rasulullah menuju ke arah al-Madinah.

Semoga Allah, Tuhan seluruh manusia membalas
Dengan balasan yang baik
Kepada dua sahabat yang tinggal di khemah Ummu Ma'bad
Mereka tiba dengan membawa kebaikan
Kemudian mereka pergi pada petang hari
Sungguh untung orang yang menemani
Muhammad pada petang hari.

Bersambung ...

Friday, December 17, 2010

Hijrah Rasulullah S.A.W. Ke Madinah - Part 3

... Sambungan

Perjalanan Ke Madinah

Setelah tiga hari Baginda Rasulullah dan Abu Bakar berada di gua Thur, api kemarahan dan usaha memburu Rasulullah mula mengendur. Orang-orang Makkah tidak lagi membicarakan Rasulullah dan sahabatnya. Pada malam Isnin 1 Rabiul Awwal, tahun pertama Hijrah, seperti yang telah dijanjikan, juru pandu upahan Nabi iaitu Abdullah bin Uraiqit muncul di hadapan gua dengan membawa dua ekor unta yang telah dititipkan kepadanya oleh Abu Bakar sebelum itu. 

Abu Bakar mendekatkan kedua-dua untanya kepada Rasulullah, ia berikan unta yang paling baik kepada Baginda sambil berkata, "Naiklah, ayah dan ibuku menjadi tebusan untukmu."

Rasulullah bersabda, "Aku tidak akan menaiki unta yang bukan milikku."

Abu Bakar berkata, "Unta tersebut untukmu wahai Rasulullah, ayah dan ibuku menjadi tebusan untukmu."

Rasulullah bersabda, "Tidak. Berapa harga unta ini jika engkau menjualnya?"

Abu Bakar menjawab, "Sekian dan sekian."

Rasulullah bersabda, "Aku beli unta ini dengan harga tersebut."

Abu Bakar menjawab, "Unta tersebut menjadi milikmu, wahai Rasulullah."

Kemudian Rasulullah S.A.W. dan Abu Bakar menaiki unta masing-masing. Sebelum berangkat, Asma' binti Abu Bakar datang membawa makanan bekal perjalanan tetapi ia terlupa membawa tali pengikat makanan. Dia membelah dua tali ikat pinggangnya, satu digunakan untuk mengikat bekalan makanan dan yang satu lagi untuk dipakainya. Oleh yang demikian beliau dikenali sebagai Dzatu an-Nitaqain (wanita yang mempunyai dua tali pinggang).

Rasulullah S.A.W. dan Abu Bakar, dengan ditemani oleh Amir bin Fuhairah dan juru pandu Abdullah bin Uraiqit yang masih musyrik, bergerak ke arah selatan (Makkah bawah) menuju Yaman, kemudian beralih ke arah persisir pantai, hingga apabila sampai ke jalan yang tidak pernah dilalui orang, mereka mengalih ke arah utara menghampiri pantai laut merah, iaitu jalan yang tidak diguna orang kecuali jarang-jarang sahaja, hingga bertemu dengan jalan sebelah bawah 'Usfan.

Peta Perjalanan Rasulullah Dari Gua Thur Ke "Usfan

Perhal Suraqah Bin Malik Bin Ju'syum

Suraqah bin Malik Bin Ju'syum berjaya mengesan lalu mengikut jejak Rasulullah. Suraqah berkata: "Ketika aku sedang duduk di balai pertemuan kaumku (Bani Mudlij), tiba-tiba salah seorang dari kaumku datang dan berdiri di tengah-tengah kami. Ia berkata, "Demi Allah! tadi aku melihat tiga orang berjalan melewati kami. Sungguh aku mendapati mereka adalah Muhammad berserta dua orang sahabatnya." Aku memberi isyarat dengan anak mataku agar ia diam. Aku berkata, "Tidak. Mereka dari bani si Fulan yang sedang mencari barang mereka yang hilang." Orang tersebut berkata, "Ya, boleh jadi begitu." Setelah itu orang tersebut diam. Aku diam sebentar, kemudian aku berdiri dan pulang ke rumah. Aku suruh keluargaku menyiapkan kudaku, kemudian kudaku diikat di lembah. Aku juga menyuruh keluargaku menyiapkan senjata untukku.

Aku ambil dadu undianku yang biasa aku pakai untuk mengundi. Kemudian aku keluar dengan mengenakan baju besiku sambil mengeluarkan dadu dan aku mengadakan undian dengannya. Ternyata yang keluar adalah dadu yang aku benci iaitu tulisan, "Tidak membahayakannya." Aku berharap dapat membawa Muhammad kepada kaum Quraisy sehingga aku boleh mendapatkan hadiah sebanyak seratus ekor unta. Setelah itu aku berjalan menelusuri jejak Muhammad.

Ketika kudaku berlari kencang membawaku, tiba-tiba kudaku tersandung dan aku terpelanting darinya. Aku berkata, "Apa ertinya ini semua?" Aku keluarkan dadu undianku dan aku mengadakan undian dengannya. Ternyata dadu yang keluar adalah dadu yang aku benci yang bertuliskan, "Tidak membahayakannya." Walaupun begitu aku tetap ingin mengejar dan menelusuri jejak Muhammad. Ketika kudaku berlari kencang membawaku, tiba-tiba ia tergelincir dan aku terpelanting darinya. Aku berkata, "Apa erti semua ini?" Kemudian aku keluarkan dadu undianku dan mengadakan undian dengannya. Ternyata yang keluar ialah dadu yang aku benci yang bertuliskan, "Tidak membahayakannya." Aku tetap ingin mengejar Muhammad dan menyusur jejaknya.

Ketika orang tersebut (Muhammad dan Abu Bakar) telah terlihat olehku, tiba-tiba kudaku terperosok hingga kedua-dua kakinya masuk ke dalam tanah dan aku terjatuh darinya. Kudaku menarik keluar kedua-dua kakinya dari dalam tanah dengan diiringi asap seperti badai. Ketika aku melihat kejadian tersebut aku sedar bahawa Muhammad dilindungi dariku dan bahawa dia menang. Aku berseru kepada orang tersebut (Rasulullah S.A.W. dan Abu Bakar) dan aku katakan kepada mereka, "Aku Suraqah bin Malik bin Ju'syum. Tunggulah aku, aku ingin bercakap dengan kalian. Demi Allah aku tidak mencurigai kalian dan sesuatu yang kalian benci dariku tidak akan datang kepada kalian." Rasulullah S.A.W. bersabda kepada Abu Bakar, "Katakan kepadanya apa yang ia minta dari kami."

Abu Bakar menyampaikan pesan Muhammad kepadaku. Aku berkata, "Tulislah untukku tulisan yang menjadi bukti antaraku denganmu." Rasulullah S.A.W. bersabda, "Tulislah tulisan untuknya wahai Abu Bakar!" Abu Bakar menulis untukku tulisan di tulang atau di secarik kertas atau tembikar kemudian dia melemparkannya kepadaku. Aku segera mengambilnya dan menaruhnya di busur panahku. Setelah itu aku pulang, diam dan tidak bercerita sedikitpun tentang kejadian yang baru aku alami, sehingga pada ketika Rasulullah S.A.W. berjaya menakluk Makkah. Selepas perang Hunaian dan perang Taif, aku keluar membawa tulisan yang pernah diberikan kepadaku untuk ku berikan kepada Baginda. Aku bertemu baginda di al-Ji'ranah. Aku angkat tanganku dengan memegang tulisan tersebut dan aku berkata kepada Baginda, "Wahai Rasulullah, inilah tulisanmu kepadaku. Aku Suraqah bin Malik bin Ju'syum." Rasulullah bersabda, "Sekarang hari penetapan janji dan kebaikan. Dekatkan dia kepadaku!" Aku mendekati kepada Rasulullah dan masuk Islam.


Dari 'Usfan Baginda Rasulullah Menuju Amaj.
Dalam Perjalanan Inilah Suraqah Bin Malik Cuba Memintas Rasulullah S.A.W

Bersambung...

Thursday, December 16, 2010

Hijrah Rasulullah S.A.W. Ke Madinah - Part 2

Rasulullah Meninggalkan Rumahnya

.... sambungan

Pada tengah malam, 27 Safar tahun keempat belas kenabian, Baginda keluar dari rumah dan melepasi sekatan pemuda-pemuda pilihan Quraisy. Allah SWT menutup pandangan mereka, justeru kekasih-Nya dapat membolosi sekatan mereka tanpa disedari. Malah Baginda menaburkan pasir ke atas kepala pemuda-pemuda tersebut, termasuklah ke atas kepala Abu Jahal seperti yang telah dikisahkan dalam entri yang terdahulu.

Baginda terus ke rumah Abu Bakar. Kemudian mereka keluar melalui pintu rahsia di belakang rumah Abu Bakar menuju jalan ke arah Mekah Bawah (Misfalah) hingga sampai ke gua Thur. Thur bermaksud kepala unta betina. Jika dipandang dari jauh, bukit Thur persis seperti kepala unta betina. Gua Thur terletak di sebelah selatan Makkah menghala ke Yaman, sedangkan kedudukan Madinah ialah di utara Makkah menuju Sham. Rasulullah sengaja bersembunyi di gua Thur bagi mengelirukan orang Quraisy yang pasti akan memburu Baginda. Jarak dari Makkah ke gua Thur ialah 5 kilometer, dan ia merupakan sebuah bukit yang tinggi, pendakiannya sukar, berbatu-batuan hingga tapak kaki Baginda melecet ketika mendakinya. Oleh itu Abu Bakar telah mendokong Rasulullah hingga ke puncak bukit.

Bersembunyi Di Gua Thur

Sesampainya mereka di gua Thur, Abu Bakar berkata, "Demi Allah, Rasulullah jangan masuk, kecuali setelah hamba masuk dahulu. Sekiranya ada sesuatu yang bahaya biar terkena hamba dahulu." Lalu beliau masuk ke dalamnya dan membersihkannya. Abu Bakar menutup lubang-lubang yang terdapat dalam gua tersebut dengan kain, kecuali sebuah lubang tidak dapat ditutup sebab beliau kehabisan kain. Lalu beliau menutup lubang tersebut dengan kakinya kemudian barulah beliau mempersilakan Rasulullah masuk ke dalam gua. 


Setelah Baginda masuk, Abu Bakar meletakkan kepala Baginda yang mulia ke ribanya hingga Baginda terlena. Seekor binatang berbisa telah menyengat kaki Abu Bakar yang digunakan untuk menutup lubang. Abu Bakar menahan kesakitan dan tidak sanggup menggerakkan kakinya agar Rasulullah S.A.W. tidak terbangun daripada tidur. Namun kerana tersangat sakit, air matanya terjatuh ke muka Rasulullah lantas Rasulullah terjaga dan berkata, "Apa hal diri kau wahai Abu Bakar? Kenapa engkau menangis wahai Abu Bakar?" Abu Bakar menjawab, "Ya Rasulullah, binatang berbisa yang ada dalam lubang ini menggigit kakiku ya Rasulullah. Rasulullah mengeluarkan  air liurnya dan membacakan kalimah:


 بِسمِ اللهِ ، تُرْبَةُ أرْضِنَا ، بِرِيقَةِ بَعْضِنَا ، يُشْفَى بِهِ سَقِيمُنَا ، بإذْنِ رَبِّنَا 

"Dengan nama Allah, dengan tanah bumi kami, dengan do’a penawar sebahagian dari kami, sembuhkanlah sakit kami dengan izin Tuhan kami."

Rasulullah menekankan ibu jarinya ke langit-langit dan menekankan ke tanah dan menyapukan ke  bekas  gigitan di kaki Abu Bakar. Di saat ubat masuk, lantas serta merta kesakitan yang dihidapi oleh Abu Bakar hilang.

Kegemparan dan Tawaran Quraisy

Pihak kafir Quraisy Makkah menjadi seperti orang gila setelah mereka menyedari Rasulullah S.A.W. telah terlepas daripada kepungan dan rencana jahat mereka itu. Beberapa orang Quraisy, termasuk Abu Jahal, datang ke rumah Abu Bakar. Mereka mengetuk pintu rumah, dan Asma' binti Abu Bakar pun keluar menemui mereka. Mereka bertanya, "Mana ayahmu, hai puteri Abu Bakar?" Jawab Asma', "Demi Allah! Aku tidak tahu ke mana ayahku pergi." Abu Jahal yang jahat dan kurang ajar itu mengangkat tangan dan menampar pipi Asma' hingga melayang sebuah anting-anting di telinganya.

Pihak kafir Quraisy membuat persidangan tergembar, mengambil keputusan mengawal semua jalan keluar kota Makkah, dan menawarkan kepada sesiapa yang dapat menangkap Rasulullah dan Abu Bakar, sama ada hidup atau mati, akan diberi hadiah yang lumayan iaitu seratus ekor unta. Tawaran tersebut menarik perhatian ramai pahlawan, penunggang kuda, pejalan kaki, serta tukang pengesan tapak kaki. Seluruh mereka bertebaran ke pelusuk sekitar Makkah, di lembah-lembah dan di bukit-bukit, di dataran mahupun di gua-gua. Namun kesemuanya itu tidak berjaya.

Ketibaan Quraisy Di Gua Thur

Di saat Rasulullah S.A.W. tidur di pangkuan Abu Bakar maka Allah SWT mengutuskan tenteranya, sebagai pengawal Rasulullah S.A.W. Bukanlah malaikat yang menjadi pengawal Rasulullah, bukanlah tenteraNya yang paling dahsyat, akan tetapi pengawal Rasulullah S.A.W. ialah tentera Allah yang paling lemah iaitu sarang labah-labah. Kemudian Allah mengilhamkan kepada burang merpati liar supaya membuat sarangnya, dan di saat itu juga mengeramkan telurnya. Sehingga sekiranya orang-orang kafir Quraisy datang mencari Rasulullah S.A.W. mereka merasa tidak yakin kalau ada orang di dalam gua.  Kemudian Allah menumbuhkan pokok kayu di hadapan pintu gua yang membuatkan orang-orang yang mencari Nabi merasa tidak yakin jika ada orang di dalam gua. 

Beberapa orang Quraisy yang memburu tadi sempat sampai ke pintu gua Thur, namun Allah SWT berkuasa di atas segala sesuatu. Ketika orang-orang kafir Quraisy telah sampai menuju ke pintu gua, di saat itu Abu Bakar merasa resah dan gelisah. 

Beliau berkata kepada Rasulullah, "Ya Rasulullah! sekiranya salah seorang daripada mereka tunduk dan memandang ke hujung kaki mereka nescaya mereka akan melihat kita."

Rasulullah bersabda, "Bagaimana pendapatmu, wahai Abu Bakar, tentang dua orang (yang sedang bersembunyi), yang Allah adalah yang ketiganya?  Janganlah kamu berdukacita, sesungguhnya Allah berserta kita." 

Akhirnya Abu Bakar menjadi tenang. Dengan kehendak Allah SWT, orang-orang kafir Quraisy tersebut berasa ragu-ragu yang Rasulullah dan Abu Bakar bersembunyi di dalam gua tersebut sebab terdapatnya sarang labah-labah yang tetap utuh tidak terkoyak merentangi pintu gua, di samping itu,  burung merpati liar sedang mengeramkan telurnya di depan pintu gua. Justeru itu mereka terus beredar meskipun hanya beberapa langkah sahaja dari situ Rasulullah S.A.W. sedang bersembunyi.

Mengenai peristiwa ini Allah SWT menurunkan ayat al-Quran (at-Taubah:40)

إِلَّا تَنْصُرُوهُ فَقَدْ نَصَرَهُ اللَّهُ إِذْ أَخْرَجَهُ الَّذِينَ كَفَرُوا ثَانِيَ اثْنَيْنِ إِذْ هُمَا فِي الْغَارِ إِذْ يَقُولُ لِصَاحِبِهِ لَا تَحْزَنْ إِنَّ اللَّهَ مَعَنَا فَأَنْزَلَ اللَّهُ سَكِينَتَهُ عَلَيْهِ وَأَيَّدَهُ بِجُنُودٍ لَمْ تَرَوْهَا وَجَعَلَ كَلِمَةَ الَّذِينَ كَفَرُوا السُّفْلَى وَكَلِمَةُ اللَّهِ هِيَ الْعُلْيَا وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

“Jikalau kalian tidak menolongnya (Muhammad) maka sesungguhnya Allah menolongnya (yaitu) ketika orang-orang kafir (musyrikin Makkah) mengeluarkannya (dari Makkah) sedang dia salah seorang dari dua orang ketika keduanya berkata kepada temannya, ‘Janganlah kamu berduka cita, sesungguhnya Allah beserta kita.’ Maka Allah menurunkan ketenangan-Nya kepada (Muhammad) dan membantunya dengan tentera yang kalian tidak melihatnya, dan Allah menjadikan seruan orang-orang kafir itulah yang rendah. Dan kalimat Allah itulah yang tinggi. Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (At-Taubah: 40)
Mereka bersembunyi di gua Thur selama tiga malam, iaitu malam Jumaat, Sabtu, dan Ahad menunggu keghairahan dan kemarahan orang-orang Quraisy menjadi reda. Sepanjang mereka berada di situ, anak lelaki Abu Bakar, iaitu Abdullah bin Abu Bakar bertindak sebagai pemberi maklumat, menyampaikan berita kegiatan Quraisy Makkah. Di siang hari beliau berada di tengah-tengah orang Quraisy untuk mendengar apa yang mereka rencanakan tentang Rasulullah dan Abu Bakar. Pada tengah malam, ia pergi ke gua menceritakan apa yang ia dengar kepada Rasulullah dan Abu Bakar. Di hujung malam beliau keluar dari gua dan berada di kalangan Quraisy di pagi hari menampakkan yang beliau bermalam di Makkah bersama Quraisy.

Di samping itu, Amir bin Fuhairah, bekas hamba Abu Bakar, mengembala kambing bersama-sama orang Makkah, dan selepas malam berlabuh beliau membawa kambing-kambing gembalaannya kepada Rasulullah dan Abu Bakar untuk membekalkan mereka berdua dengan susu dan daging panggang. Apabila Abdullah bin Abu Bakar pulang ke Makkah, Amir bin Fuhairah berjalan mengikuti jejaknya bersama-sama dengan gerombolan kambingnya hingga menghapuskan jejak kaki Abudullah bin Abu Bakar dan tidak dapat dikesan oleh pihak Quraisy.


Anak Panah Menunjukkan Arah Pergerakan Rasulullah Semasa Hijrah

Peta Menunjukkan Kedudukan Gua Thur di Selatan Makkah

Bersambung ...