Tuesday, May 25, 2010

Umrah 2010: Menziarahi Rasulullah s.a.w.

Assalamu'alaikum wm wbr.

Para pembaca budiman, alhamdulillah, kita sambung semula siri panduan umrah yang terhenti selama 2 minggu.

Kubah Hijau Tempat Makam Rasulullah s.a.w. 
Gambar diambil jam 5:00pm waktu Madinah 11 Mei 2010 - selepas solat Asar. Kelihatan pintu Baqi' dan jemaah keluar selepas menziarahi Rasulullah s.a.w.


Dataran Masjid Nabawi jam 12.00pm 13/5/2010


Menunggu Solat Zohor di Ruangan Terbuka (Di Tutupi Payung) jam 12:15pm 13/5/2010
Bahagian hadapan ialah Sempadan Masjid Semasa Zaman Umar al-Khattab. Kelihatan Kubah Hijau Di Mana Di Bawahnya Bersemadi Rasulullah s.a.w.

Pada kesempatan ini sukacita saya nukilkan ceramah yang telah disampaikan oleh Ustaz Ridhuan, iaitu salah seorang mutawif yang pernah berkhidmat dengan Syarikat Andalusia Travel and Tours Sdn Bhd di Hotel Royal Sultan, Makkah.  Saya sempat merakamkan ceramah yang beliau berikan kepada bakal-bakal jemaah umrah semasa beliau berada di Melaka pada akhir April 2010 yang lepas.

Inilah teks ucapan beliau:

Para jemaah sekelian calun tetamu Allah dan tetamu Rasulullah s.a.w. yang kami muliakan. Alhamdulillah sebanyak-banyak  puji kita ucapkan ke hadrat  Allah swt yg telah memberikan rahmat dan kurniaNya kepada kita semua dan begitu juga telah menetapkan kenikmatan iman dan keislaman di dalam dada dan di dalam hati kita masing-masing. Dan ini adalah suatu nikmat yang besar daripada Allah s.w.t. iaitu nikmat keimanan dan nikmat keislaman, dan di atas kenikmatan iman dan keislaman itu juga, ada lagi nikmat yang lebih besar yang kita terima daripada Allah swt iaitu Rasulullah s.a.w.

Nabi kita Muhammad s.a.w. ia adalah semulia-mulia nikmat, sebesar-besar nikmat  yang telah kita terima daripada Allah swt.  Kalaulah bukan dengan adanya atau munculnya Rasulullah s.a.w. kita tidak akan dapat nikmat keimanan dan keislaman.  Maka Allah swt telah berfirman di dalam al-Quran: Al-Ahzab ayat 21. 
Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah itu suri teladan bagi mu (iaitu) bagi orang-orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari akhirat dan dia banyak menyebut Allah.

Bagi orang yang hendak mengharapkan rahmat Allah swt, bagi orang yang hendakkan keampunan atau pun hidayah daripada Allah swt maka contohilah diri Rasulullah saw.  Kalau kita hendakkan keampunan daripada Allah swt,  contohi dan cintailah Rasulullah s.a.w. dan hendaklah dia banyak berzikir mengingat Allah swt.

Oleh itu para tetamu Allah dan tetamu Rasulullah s.a.w yang kami muliakan, apapun kebaikan yang telah kita laksanakan dalam kehidupan ini sama ada yang kecil atau pun yang besar, sesungguhnya itu ada pada diri Rasulullah saw.  Semua kebaikan, semua ibadah yg kita laksanakan untuk mendekatkan diri kita kepada Allah swt, hidayah dan  kenikmatan, rahmat yang kita dapatkan daripada Allah swt, semuanya itu datangnya disebabkan oleh Rasulullah s.a.w. Oleh itu nikmat yang paling besar daripada segala nikmat yang kita terima daripada Allah swt  adalah Rasulullah s.a.w.  Oleh sbb itu Allah swt berfirman dalam surah al-Anbia' 107:
Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam. 

Para jemaah sekelian tetamu Allah dan tetamu Rasulullah saw. Kita adalah sebagai calun tetamu Allah swt dan tetamu Rasulullah saw, banyak yang harus kita persiapkan. Penekanan kita supaya mendapatkan Rahmat yang akan kita terima sebagai tetamu Allah swt. Apabila kita hendak berangkat melaksanakan sesuatu pekerjaan haji atau menziarahi Rasulullah s.a.w.  yang paling utama ialah menyiapkan diri – hati dan jasad kita – zahir dan batin kita, hendaklah kita sucikan dahulu daripada segala dosa. Ertinya, sebelum kita melangkah menuju kampung Rasulullah s.a.w.  menuju tanah Makkah ataupun tanah suci Madinah, tentunyalah kita harus terlebih dahulu bertaubat mensucikan diri kita daripada segala maksiat, dan daripada segala dosa. Walau apapun dosa yang kita lakukan, walau sebanyak manapun dosa dan maksiat yang kita buat di negeri kita ini, tetapi di saat kita hendak berangkat itu, salah satu yang mustahak bagi kita ialah untuk kembali kepada Allah swt, ertinya mentaubati daripada segala maksiat.  Janganlah kita takut apabila kita membuat sesuatu maksiat sebab kalaulah kita sudah benar-benar insaf dan benar-benar bertaubat kepada Allah swt, Allah akan mengampuni kita.

Salah satu keberkatan daripada berhaji atau berumrah itu ialah menziarahi Rasulullah s.a.w. sebab di sana ada Rasulullah s.a.w.  Apabila kita pergi ka Madinah, bererti kita adalah tetamu Rasulullah s.a.w. Jika kita berselawat di samping Rasulullah s.a.w. bukanlah sama seperti kita berselawat di Malaysia. Kalaulah kita sudah sampai di samping Rasulullah,  tidak ubah kita berselawat semasa hidup Rasulullah s.a.w. sebab Nabi s.a.w. bersabda dalam hadisnya yang bermaksud: “Sesiapa yang menziarahi kuburku semasa aku telah wafat, maka seolah-olah dia menziarahi aku semasa aku hidup.”

Jadi sebelum kita melangkah ke Madinatul Munawwarah, satu dua minggu sebelum berangkat, banyak-banyaklah kita beristighfar minta ampun kepada Allah swt. Banyaklah kita memohon maaf kepada ahli keluarga, jiran dan sahabat kita dan berselawat ke atas Nabi s.a.w.  Hilangkanlah sifat-sifat tercela di dalam hati. Sebelum bergerak, lakukan solat sunat musafir agar Allah swt  memberkati dan memberi kemudahan dalam perjalanan kita. 

Adab-adab ziarah – mulai dari dalam perjalanan lagi.
     . 
1. Berniat untuk menjenguk, menziarahi dan bersalam kepada Rasulullah saw – ini dianjurkan dalam alQuran dalam an-Nisa’ 64:
Dan Kami tidak mengutus seseorang Rasul pun melainkan supaya ia ditaati dengan izin Allah. Dan kalaulah mereka ketika menganiaya diri mereka sendiri datang kepadamu (wahai Muhammad) lalu memohon ampun kepada Allah, dan Rasulullah juga memohon ampun untuk mereka, tentulah mereka mendapati Allah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani. 

Inilah kelebihan orang yang menziarahi Rasulullah s.a.w.  Jadi apabila kita telah sampai di hadapan nabi s.a.w. ucapkanlah istighfar minta ampun kepada Allah s.w.t.

2.      Sebelum kita sampai ke Madinah hendaklah kita banyak berselawat kepada Rasulullah s.a.w kerana Allah swt telah menugaskan malaikat untuk menyampaikan salam dan selawat kita kepada Nabi saw. 

3.       Membaca doa memasuki tanah Madinah apabila kita telah melihat pokok-pokok dan bangunan-bangunan di sana.

4.       Memberi sedekah kepada fakir miskin penduduk Madinah iaitu jiran Rasulullah saw seikhlas hati kita.  Ini diamalkan oleh para sahabat dan para ulama’. Yang paling mudah untuk kita mengenal penduduk Madinah iaitu pekerja-pekerja masjid.  Sebelum menziarahi Rasulullah, hulurkan sadakah.

5.       Pakai pakaian yang putih dan bersih untuk berziarah.

6.       Setelah melaksanakan solat  tahiyatul masjid, kita melangkah dengan penuh tertib dan takzim menuju makam Rasulullah dan memberi salam kepada baginda. Tundukkan kepala dan bersalam bersungguh-sungguh dan khusyuk – assalmualaika ya Rasulullah. Assalamu’alaika ayyuhannabiyu warah matullahi wabaraka tuh. Kemudian bersalam kepada Abu Bakar, kemudian bersalam kepada Umar ibn Khattab.  Setelah kita selesai kita bersalam dengan Umar ibn Khattab, kembali ke makam Rasulullah S.A.W. (jika tidak dihalang oleh pengawal yang bertugas) atau duduk di mana-mana bahagian masjid sambil mengadap kiblat. Di situlah kita membaca:

 i)  Innallaha wamalaaikatahu yusallu na 'alan nabi 10x
ii)  Sollallahu wasallamu alaika ya Rasulullah 70x
iii) Berdoa kepada Allah swt seperti berikut:

“Ya Allah ya Tuhanku, berilah keberkatan kepadaku ya Allah. Engkau telah sampaikan aku ya Allah di hadapan NabiMu, di hadapan orang yang Engkau cintai ya Allah. Mudahkan aku untuk menjunjung dan melaksanakan semua perintahMu ya Allah dan menjauhi semua laranganMu ya Allah. 
Ya Allah ya Tuhanku, berkatilah usahaku ya Allah, berkatilah semua rezeki yang Engkau berikan kepadaku ya Allah. 
Ya Allah, berkatilah semua anak-anakku yang Allah, Berikanlah keampunanMu kepadaku ya Allah.
 Ya Allah ya Tuhanku, janganlah Engkau matikan aku sebelum Engkau mengampunkan semua dosaku ya Allah."

Atau doa-doa lain seumpamanya.

7.       Usahakan kita mengucapkan salam kepada Nabi setiap kali kita masuk masjid, dan setiap kali hendak keluar Masjid.  Kalau tidak sempat ke makam Nabi, boleh lakukan dari tempat kita solat. Berdiri dan ucapkan salam kepada Rasulullah, Abu Bakar dan Umar.

8.       Jika ada orang yang mengirimkan salam kepada Rasulullah, dan bilangannya ramai, maka cukup dengan mengucapkan: “Assalamu alaika Ya Rasulullah daripada semua orang yang menitipkan salam untukmu ya Rasulullah.”

10  Memperbanyakkan amalan sunnah, banyakkan berselawat, banyakkan istighfar, solat-solat sunat dsb. Ketika memberi salam kepada Rasulullah S.A.W. jangan tinggikan suara. Cukup sekadar terdengar di telinga kita seperti orang berbisik.


Sekian, semoga bermanfaat.

Wallahu aklam.

5 comments:

  1. salam tn hj,

    salam ziarah. ada masa datanglah umah az di dzairoy>blogspot.com

    ReplyDelete
  2. Wa'alaikum salam AZ

    Terima kasih kerana sudi ziarah dan jadi follower blog ini.

    InsyaAllah akan ziarah rumah AZ. Sorry terpotong kereta berhias AZ.

    ReplyDelete
  3. Salam AZ

    Semoga Allah mencucuri rahmatNya ke atas roh ibu mertua tuan dan menempatkannya dikalangan orang-orang yang solehah. Amin.

    Al Fatihah untuk ibu mentua tuan.

    ReplyDelete
  4. Salam Tuan Haji,

    Apakah solat-solat sunat yang boleh kita lakukan di Makam Rasulullah atau di Raudhah?selain tahiyatul masjid.mohon bantuan.

    ReplyDelete
  5. Wa'alaikum salam Insan

    Antara solat-solat sunat yang boleh kita lakukan ialah di Raudhah ialah

    1. Solat sunat taubat berhampiran tiang taubat
    2. Solat sunat hajat di tiang Aisyah
    3. Solat sunat tahajjud dan witir jika kita berpeluang berada di raudah pada waktu sahur.
    4. Solat sunat istikharah
    5. Solat sunat mutlak - just solat sunat semata-mata, 2 rakaat.

    Wasalam.

    ReplyDelete

Assalam'alaikum wm wbr.

Terima kasih kerana sudi memberi ulasan. MOHON MAAF, BLOG SAYA ADA MASALAH - Saya tak dapat balas komen. Saya sedang mencari jalan penyelesaian.