Sunday, June 26, 2011

Umrah 2011: Cinta Sejati Terbukti Di Uhud

Assalamu'alaikum wm wbr.  
Kompleks perkuburan syuhada' dilihat dari Jabal Rumat
... 
Nabi berpesan: "Hai manusia, berziarahlah dan berkunjung kepada mereka (syuhada' Uhud) serta ucapkan salam! Demi Allah yang menguasai jiwaku, tak seorang muslim pun sampai hari kiamat yang memberi salam kepada mereka pasti mereka akan membalasnya." 
...     
"Salam sejahtera ke atas engkau wahai Saidina Hamzah bapa saudara Rasulullah S.A.W.  Salam sejahtera ke atas engkau wahai penghulu para syuhada'. Salam sejahtera ke atas engkau wahai singa Allah dan singa Rasulullah. Salam sejahtera ke atas engkau wahai Abdullah bin Jahsy, salam sejahtera ke atas engkau wahai Mus'ab bin Umair. Salam sejahtera ke atas engkau wahai orang yang mati di dalam peperangan Uhud, salam sejahtera ke atas kamu di atas kesabaran kamu menghadapi musuh untuk menegakkan kebenaran Islam, iaitu sebaik-baik balasan yang akan kamu terima dari Allah. Ya Allah ya Tuhanku gandakanlah pahala amalan mereka yang telah mereka laksanakan untuk kesucian agama Islam dan pemeluk-pemeluknya. Tinggikanlah pangkat dan dan darjat mereka dengan kemurahan Engkau wahai Tuhan Yang Amat Pemurah."
... 

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ أُحُدًا جَبَلٌ يُحِبُّنَا وَنُحِبُّهُ . 
Rasulullah S.A.W. bersabda: "Sesungguhnya Jabal Uhud mencintai kita dan kita pun  mencintanya" - Hadis riwayat Anas bin Malik. Gunung yang menyimpan banyak sejarah ini juga merupakan salah satu gunung di syurga (H.R. Baihaqi).   
...
Uhud bermaksud menyendiri (terpisah daripada gunung-gunung yang lain di Madinah). Saban tahun Nabi S.A.W. menziarahi Jabal Uhud. Di kaki gunung ini bersemadi para syuhada' yang mempertaruhkan jiwa dan raga mereka demi memastikan kalimah Laa ila ha il lallah terus diucapkan oleh ummat sehingga ke akhir zaman. Peperangan Uhud berlaku pada tahun 3 Hijriah iaitu satu tahun selepas peperangan Badar. Tentera kuffar Quraisy dibawah pimpinan Abu Suffian dengan kekuatan 3000 orang anggota datang menyerang Madinah untuk membalas dendam atas kekalahan mereka di Badar. Pasukan muslimin dibawah pimpinan Rasulullah keluar melawan mereka di kaki jabal Uhud. Kedudukan tentera Islam dan kuffar Quraisy adalah seperti pada peta di bawah ini (sumber: Internet)
... 
Peta Medan Tempur Uhud
Babak pertama peperangan - kemenangan berpihak kepada tentera Islam pimpinan Rasulullah S.A.W. Satu persatu pembawa bendera musyrikin Quraish tewas ditangan pahlawan-pahlawan Islam. Pasukan berkuda kuffar disekat kemaraan mereka oleh pasukan pemanah yang ditempatkan di bukit Rumat. Pasukan Quraisy bertempiaran lari dan meninggalkan banyak harta benda yang dibawa bersama.
...
Jabal Rumat - Bukit Pemanah
Babak kedua peperangan - pasukan muslimin terpukul teruk disebabkan pasukan pemanah meninggalkan pos strategik mereka di atas Jabal Rumat untuk sama-sama mengumpul harta rampasan perang. Kesempatan ini digunakan oleh Khalid bin al-Walid untuk menawan Jabal Rumat dan melancarkan serangan mendadak kepada tentera muslimin. Pasukan muslimin menjadi kucar kacir dek serangan balas yang tidak disangka-sangka tersebut. Di saat getir ini Rasulullah S.A.W. yang hanya ditemani oleh lapan orang sahabat (6 orang dari kaum ansar dan 2 orang dari kaum  muhajirin iaitu Talhah bin Ubaidillah dan Saad bin Abi Waqqas) dikerumuni oleh puak-puak kuffar dengan pedang dan tombak yang berkilaun melibas dan menikam Rasulullah. Baginda bersabda: "Siapakah yang sanggup mengorbankan nyawanya untukku?" Ziyad bin al-Sakan berdiri bersama lima orang dari kaum ansar bertempur habis-habisan melindungi Rasulullah S.A.W. sehingga seorang demi seorang gugur sebagai syuhada'. 
...
Mush'ab bin Umair, pemegang panji-panji Islam berjuang bermatian-matian untuk menyelamatkan Rasulullah S.A.W. Dia cuba mengalihkan perhatian kuffar Quraisy kepadanya dengan berteriak sekuat hati, "Muhammad adalah seorang Rasul dan sebelumnya telah banyak diutuskan Rasul-Rasul." Maka orang-orang Quraisy datang menyerbunya. Seorang penunggang kuda Quraisy, Ibn Qami'ah melibaskan pedangnya ke tangan kanan Mush'ab yang memegang panji-panji Islam sehingga terputus. Dengan pantas Mush'ab memegang panji-panji dengan tangan kirinya sambil berteriak berulang kali, "Muhammad adalah seorang Rasul dan sebelumnya telah banyak diutuskan Rasul." Ibnu Qami'ah menetak pula tangan kiri Mush'ab sehingga putus, namun Mush'ab tidak rela panji-panji Islam tersebut jatuh ke bumi. Di peluknya panji-panji tersebut dengan kedua-dua tangannya yang telah kudung dan didakapkan ke dadanya. Akhirnya Ibnu Qami'ah menikam Mush'ab dengan tombak dan gugurlah Mush'ab sebagai syuhada' Uhud.
...
Pemandangan dari Jabal Rumat - Pengunjung sibuk membeli barang jualan
(Masa peperangan Uhud dahulu - tentera muslimin leka mengumpul harta rampasan)
...Kemudian Talhah bin Ubaidillah mendakap Nabi dengan tangan kirinya manakala tangan kanannya melibaskan pedang menangkis serangan musuh sehingga badannya luka-luka akibat tebasan pedang dan tusukan tombak kaum kuffar. Sementara itu Saad bin Abi Waqqas melepaskan anak-anak panah tepat ke arah musuh. Kemudian datanglah bantuan dari sekelompok kaum musliman iaitu Abu Bakr, Umar, Ali, Qatadah, Abu Dujanah, Abu Ubadah bin al-Jarrah daln lain-lain dan tidak ketinggalan srikandi Islam Ummu Umarah. Abu Dujannah melindungi Nabi dengan menjadikan punggungnya sebagai perisai yang menjadi sasaran berpuluh-puluh anak panah.
... 
Kemudian Nabi S.A.W. bergerak ke Jabal Uhud dengan dikawal oleh Abu Bakr as-Siddiq, Umar bin Khattab, Ali bin Abi Talib, Talhah bin Ubaidillah, az-Zubair bin al-Awwam, al-Harith bin Shammah dan beberapa orang yang lain. Ketika Rasulullah S.A.W tiba di hadapan jalan ke Jabal Uhud, baginda membersihkan luka dimukanya dengan air yang dibawa oleh Ali bin Abi Talib. Namun darah masih mengalir. Melihat keadaan tersebut Fatimah az-Zahrah, putri Nabi S.A.W. membakar secarik tikar yang diperbuat daripada pelepah tamar dan kemudian menempelkan abunya kepada luka Nabi S.A.W. Setelah itu barulah darah berhenti mengalir daripada muka Nabi yang mulia. Selanjutnya Nabi S.A.W. mengerjakan solat zohor secara duduk, dan diikuti oleh para sahabat denga solat juga secara duduk.
Di sinilah Rasulullah S.A.W. membuka topi besinya dan Abu Ubaidah bin al-Jarrah mencabut
serpihan rantai besi yang tertacap di pipi Rasulullah. Kawasan ini telah ditimbus oleh pihak berkuasa Saudi.
Di kawasan inilah Fatimah binti Rasulullah menampal abu tikar ke tempat luka baginda.
Baginda dan para sahabat menunaikan solat zohor di sini secara duduk.
Sebuah masjid yang dipanggil Masjid Tikar dibina bagi mengingati peristiwa tersebut.
Sekarang ini masjid tersebut telah dirobohkan tetapi mehrab tempat Nabi sujud masih kelihatan.
... Rasulullah S.A.W. memanjat Jabal Uhud untuk berlindung di sebuah gua yang terletak lebih kurang 20 meter dari kaki bukit. Oleh kerana Rasulullah S.A.W. berasa lemah serta berpakaian baju besi, baginda tidak dapat memanjat batu untuk naik dan masuk ke dalam gua. Talhah bin Ubaidillah duduk mencangkung dan meminta baginda memijak bahunya. Kemudian Talhah berdiri dan mengangkat Rasulullah sehingga baginda dapat naik ke dalam gua. Ketika inilah Rasulullah S.A.W. bersabda: "Talhah wajib memasuki syurga." Allahu Akbar! Alangkah bahagianya engkau wahai Talhah dijamin syurga semasa di dunia lagi. 


Gua Uhud kelihatan di tengah bukit
Menelusuri jejak Rasulullah dan para sahabat ke gua Uhud
Pintu gua Uhud. Batuan di sebelah kiri foto ini merupakan tempat Saidina Umar al-Khattab
berkawal dan berdailog dengan Abu Suffian
Batu berbentuk menegak setingga 6 kaki menghadang pergerakan Nabi S.A.W. memasuki gua.
Pintu gua terletak beberapa kaki dari batu ini. Talhah membantu Nabi memasuki gua. 
Pemandangan sekitar Uhud dari pintu gua
Menara Masjid Nabawi nampak di kejauhan - setelah zooming
Juga kelihatan Jabal Rumat
... 
Mencari Rasa Hati Di Gunung Uhud
...
Di balik debu panas berterbangan 
bersama tiupan angin yang kencang
menyapa wajah yang lelah kepenatan
fikiranku hanyut dan larut merentas zaman.
...
Sungguh aku terpana
engkau telah menepati baiah-mu wahai pemuda-pemuda ansar
dalam jerit takbir dan dentingan pedang
tacapan tombak dan anak panah yang bersimpang peranang
kau mempertaruhkan nyawamu membela al-Musthafa.
...
Di Uhud aku mencari rasa hati
air mata merembes, kepala tertunduk sayu  
betapa hinanya manusia 
dengan nafsu begelojak untuk membunuh
hanya kerana insan melafazkan kalimah tayyibah
mentauhidkan Allah dan mendambakan cinta kepada Rasulullah.
... 
Berbahagialah engkau wahai Hamzah
berbahagialah engkau wahai Mush'ab
berbahagialah engkau wahai Hanzalah,
berbahagialah para syudada' Uhud
sesungguhnya kalian telah menepati janji-janji kalian
dan Allah S.W.T. telah redha ke atas kalian. 
... 
Sesungguhnya sejahat-jahat tombak ialah tombak Wahsyi
dan sejahat-jahat tangan ialah tangan Hendon
yang merobek-robek perut Hamzah.
...
Mohd. Saad Hamid
Lendu, Alor Gajah, Melaka
26 Jun 2011

8 comments:

  1. Assalamualaikum Tuan Hj.,

    Sesungguhnya bila kita tiba di perkuburan syuhada' di Uhud memang hati terasa sayu walau tiada pun nesan di dalam kawasan berpagar itu kan...

    Pengajaran buat kita Allah tunjukkan dlm peperangan Uhud kerana harta kita boleh hancur...

    ReplyDelete
  2. Wa'alaikum salam puan kakzakie

    Benar tu kakzakie. Banyak pengajaran yang boleh kita ambil iktabar dari peristiwa peperangan Uhud antaranya:

    1. Selain daripada perintah Allah, kita wajib patuh kepada perintah Rasulullah S.A.W. Dalam perang Uhud, Nabi pesan kepada pasukan pemanah, walau apapun yang terjadi di medan sana, sama ada menang atau kalah, jangan sekali-kali turun daripada bukit pemanah selagi Nabi belum suruh turun. Tetapi harta benda lebih dicintai daripada menurut arahan Nabi S.A.W.

    2. Jika kita betul-betul sayangkan Nabi, selain daripada menurut perintahnya, mesti sanggup mempertahankan nyawa baginda. Para sahabat golongan ansar seperti Abu Dujanah dan beberapa orang lagi jadikan tubuh badan mereka sebagai perisai kepada Nabi sehingga banyak yang syahid. Itulah cinta sejati namanya.

    3. Kalau para sahabat telah benar-benar menunjukkan cintanya kepada Nabi, kita bagaimana? Sekarang ini peperangan Uhud masih berlaku di mana-mana. Serangan puak-puak kafirun berleluasa di mana Nabi S.A.W. dicaci dan ditohmah sesuka hati. Al-Quran dibakar, dipijak-pijak, dimasukkan ke dalam tandas. Apakah pembelaan kita terhadap baginda? Apakah pembelaan kita terhadap agama Islam yang telah dihinakan sedemikaian rupa?

    Allahu Akbar, ampunkan daku yang lemah ini Ya Allah.

    ReplyDelete
  3. Assalammualikom wtb tuan Haji. Bagus penulisan puisi tuan haji. Seronok melihat kawasan sejarah nabi, teringat zaman-zaman pegorbana nabi dan para sahabat.

    Allhamdullah dapat lihat kesihatan tuan Hj yang semakin pulih, sehingga dapat menaiki gunung uhud. SubhanaAllah

    ReplyDelete
  4. Wa'alaikum salam MI.

    Alhamdulillah, masa pergi tu Allah kurniakan kesihatan yang baik. Tapi sebelum tu kena pantang - tak makan atau hadkan makan daging, ikan bilis dsb.

    ReplyDelete
  5. Bila pulang sudah sembuh dan bisa makan semua yang pantang ya...Allhamdullah semua dari Allah.

    ReplyDelete
  6. Wa'alaikum salam MI,

    Bila pulang saya masih pantang jugak -- pantang jumpa :). Makan juga daging dsb tetapi sedikit-sedikit sajalah, beragak-agak bak kata orang.

    Sekarang ini musim durian, tapi saya kena jaga supaya tidak makan durian - seulas dua ok lah, lebih daripada itu uric asid akan bertambah.

    ReplyDelete
  7. Assalam,

    Tn Haji, masa tiba di sini kita perlu berdoa seperti di atas ke bole ikot doa sendiri2?

    ReplyDelete
  8. Wa'alaikum salam anonymous

    Bila berada di maqam syuhada', berilah salam dan doakan kesejahteraan mereka.

    Boleh juga doa sendirian atau mengaminkan doa yang dibaca oleh mutawif.

    ReplyDelete

Assalamu'alaikum wm wbr. Terima kasih kerana sudi memberi ulasan. Sebagai insan biasa, kadang-kadang saya terlepas pandang akan ulasan/soalan-soalan yang dikemukakan. Namun selepas menyedarinya, saya akan cuba balas kembali ulasan-ulasan tuan/puan/cik.