Tuesday, September 14, 2010

Umrah 2010: Menjejaki Masyarakat Pattani dan Kelantan di Jabal Ajyad, Makkah

Assalamu'alaikum wm wbr

Alhamdulillah, semasa mengerjakan umrah pada Mei 2010 yang lepas saya sempat menziarahi masyarakat Melayu Pattani dan Kelantan di Bukit Ajyad, Makkah.  Menurut Dr. Mohammad Redzuan Othman dan Dr. Md Sidin Ahmad Ishak, pengarang buku The Malays in The Middle East, orang Melayu sudah sekian lama mengembara ke Makkah dan Madinah, iaitu seawal Islam bertapak di Tanah Melayu. Tujuan mereka ke Tanah Suci ialah untuk menunaikan ibadah haji dan menuntut ilmu daripada ulama' terkemuka di sana.  Justeru tidak hairanlah jika terdapat orang-orang Melayu yang jatuh hati untuk bermastautin di bumi yang barakah tersebut sehinggakan ada yang menjadi tokoh ulama' tersohor seperti Syeikh Daud al-Fatani, Syeikh Arshad al-Banjari, Syeikh Abdul Samad al-Palembangi, Syeikh Mohammad Said al-Linggi dan banyak lagi tokoh-tokoh ulama' yang tidak sempat dimuatkan di sini.


Pada tahun 2005, suatu kajian sosio-budaya masyarakat Melayu di Makkah dan Madinah telah dijalankan oleh Group Pengkaji Tamadun Dunia (GPTD) Angkatan Belia Islam Malaysia. Mereka mendapati kebanyakan orang Melayu di Makkah berasal dari Malaysia, Indonesia, dan Pattani. Mereka tinggal di Hutaibiah, Jabal Ajyad, Nuzhah, Ka'kiah, Syisha, dan Syari' Sittin.


Jadi pada 20 Mei 2010 yang lepas, semasa menunaikan umrah, alhamdulillah saya menyempatkan diri menziarah masyarakat Melayu Pattani dan Kelantan di Jabal Ajyad. Pemergian saya ke sana ditemani oleh Haji Arshad (Blogger Kehidupan Makkah 2) dan Ustaz Haji Amran (pelajar Pondok Ajyad) yang bertindak selaku pemandu/penunjuk arah. Matlamat kami ialah untuk solat maghrib dan isya' serta membaca yassin di masjid Allahyarham Tuan Guru Baba Hussin Siraj (Baba Sin).


Kami pergi ke Jabal Ajyad dengan menaiki teksi di hadapan Hotel As-Safwah Royal Orchid jam 6:10 petang,  melalui jalan yang berliku-liku mendaki bukit. Ketika mendaki, Zam-Zam tower kelihatan tersembul keluar dari celah-celah bukit. Struktur raksaksa tersebut mencacatkan panorama Makkah kerana kelihatan sangat ganjil (hodoh) melebihi bukit-bukit di sekeliling Makkah. 


Zam-Zam Tower Yang Tidak Harmoni Dengan Alam Sekitarnya

Kami berhenti di tempat parkir kereta di pertengahan bukit berhampiran dengan perkampungan Kelantan. Dari situ kami boleh melihat pemandangan bandaraya Makkah, tetapi sayang Makkah ketika itu berjerubu dan matahari sudah mula hendak terbenam. Saya manfaatkan masa yang ada untuk merakamkan seberapa banyak gambar yang terdaya diambil walaupun cahaya matahari semakin beransur hilang. Kami menghabiskan masa selama 10 minit di situ untuk menikmati pemandangan dan suasana yang tidak mungkin diperolehi di tempat lain. Mungkin sekali dalam seumur hidup.




Tempat Parkir Kereta Berhampiran Kampung Kelantan, Ajyad Makkah

Salah Sebuah Rumah orang Kelantan Di Ajyad
Di Kejauhan Sana Kelihatan Masjidil Haram

Ustaz Amran dan Haji Arshad

Nun Di Hadapan Kelihatan Perkampungan Pattani. 
Juga Kelihatan Masjid Baba Mat Sedawa

Rumah Di Puncak Gunung Ajyad

Lagi Rumah Di Gunung Ajyad

Kucing Ajyad


Anak-Anak Tangga

Pemandangan Makkah Waktu Senja Dari Bukit Ajyad

Dari perkampungan Kelantan kami bergegas menuruni beratus anak tangga menuju ke masjid Allahyarham Tuan Guru Baba Sin, di perkampungan Pattani. Di kiri kanan jalan penuh dengan rumah-rumah penduduk yang berasal dari Kelantan, pakistan, dan India.  Saya diberitahu oleh Ustaz Haji Amran, kebanyakan pelajar-pelajar pondok Ajyad tinggal di kawasan penempatan Pattani untuk mudah pergi ke tempat pengajian (masjid Allahyarham TG Baba Sin dan masjid Allahyarham TG Baba Mat Sedawa). Pada pertengahan tahun 1990an, terdapat seramai lebih dari 100 orang pelajar Kelantan belajar di pondok Ajyad, namun sekarang hanya tinggal 30 orang sahaja.

Menuruni Anak-Anak Tangga

Meniti Jalan Di Celah-Celah Batu

Rumah Penduduk
Lagi Rumah Penduduk Gunung Ajyad


Kedai Runcit Di Lorong Gunung Ajyad
Sampai Ke Destinasi - Masjid Allahyarham TG Baba Sin al-Fatani

Alhamdulillah, kami sampai ke masjid Allahyarham TG Baba Sin pada pukul 6:44 petang. Oleh kerana waktu maghrib ialah pada pukul 6:54 petang, maka sempatlah kami meninjau kawasan sekeliling. Berhampiran masjid terdapat kawasan lapang seluas lot rumah bungalow yang dijadikan sebagai padang permainan kanak-kanak dan juga tempat bersantai oleh penduduk setempat. Terdapat beberapa wall murals dengan gambar tepi pantai dan tulisan ucapan "Welcome 2 Ajyad".
Hj Arshad Sedang Bersantai Di Tepi Laut di Atas Bukit Ajyad, Makkah

Kanak-Kanak Bermain Bola Di Bukit Ajyad

Zam-Zam Tower dari Perkampungan Pattani, Jabal Ajyad, Makkah

Pada jam 6:54 malam, kedengaran azan dilaungkan melalui corong speaker masjid dengan alunan yang biasa didengar di Malaysia. Kami bergegas memasuki masjid untuk solat maghrib. Semasa di dalam masjid saya rasakan seolah-olah berada di Kelantan sebab kebanyakan jemaah memakai kain dan berserban.  Selepas solat maghrib, kami solat hajat dan membaca Yasin memohon agar isteri Ustaz Amran selamat melahirkan anak yang kedua. Majlis dipimpin oleh TG Baba Soh Paku, salah seorang ulama' nusantara yang mengajar di Ajyad.





Selepas Majlis Membaca Yasin Menunggu Isya'
Kelihatan TG Baba Sin Sedang Duduk (Kain Pelikat, Baju Putih, Berserban)

Nampak Seperti Suasana Di Kelantan

Majlis Baca Yasin Oleh TG Baba Soh Paku

Sebelum ini pondok Ajyad di pimpin oleh dua orang ulama' yang tersohor berasal dari Pattani iaitu Allahyarham TG Baba Hussin Siraji dan Allahyarham TG Baba Mat Sedawa. Kedua-dua Tuan Guru tersebut mempunyai Masjid masing-masing yang mana Kelas-kelas pengajian pondok diadakan di situ.  Perkataan Baba bermaksud ayah. Tuan Guru yang belum sampai ke tahap Baba dipanggil Tokku, seperti Tokku Paloh, Tokku Pulau Manis dan sebagainya. Ini merupakan suatu penghormatan di mana murid menganggap Tuan Guru tersebut sebagai ayah mereka sendiri. TG Baba Mat Sedawa meninggal dunia pada 4 Rejab 1430H (26 Jun 2009) manakala TG Baba Husin Siraji meninggal dunia pada 11 Jamadil Akhir 1430H (5 Jun 2009).  Pemergian mereka ke hadrat Ilahi dalam jangka masa yang agak sama meninggalkan lompang kepada tenaga pengajar di Pondok Ajyad di mana pemergian mereka sukar untuk diganti. Tanggung jawab mengajar pelajar-pelajar pondok sekarang dipikul oleh TG Baba Soh Paku di Ajyad Sud, dan TG Baba Wan Nik al-Fatani di Ajyad Musafi.


Allahyarham TG Baba Mat Sedawa (Kiri) dan Allahyarham TG Baba Sin Siraji (Kanan)

Tuan Guru Baba Soh Paka, Allahyarham TG Baba Mat Sedawa, dan TG Baba Sin Siraji

Selepas solat isya' kami berangkat pulang setelah bersalaman dengan para jemaah. Sebenarnya, pada ketika itu saya belum lagi mengenali TG Baba Soh Paku, dan Ustaz Amran tidak pula memperkenalkan kami kepadanya, mungkin dia terlupa sebab risau memikirkan isterinya yang lambat bersalin. Setelah balik ke Malaysia dan mencari maklumat mengenai pondok Ajyad di Internet, baru saya tahu bahawa yang memimpin kami solat hajat dan membaca Yasin tempoh hari ialah TG Baba Soh Paku Hafizohullah iaitu salah seorang tenaga pengajar di pondok Ajyad, Makkah. Namun sebelum balik sempat saya bersalam dengan beliau dan beliau agak terperanjat melihat saya sebab muka baru di Ajyad. Saya berazam, jika Allah menjemput saya menjadi tetamu-Nya sekali lagi, insyaAllah saya akan mengunjungi beliau untuk mendapatkan nasihat-nasihat ugama dan mengambil barakah dari seorang guru yang 'alim. 

Kami dibekalkan dengan ayam goreng al-Baik (macam KFC). Ustaz Amran menemani kami menuruni anak-anak tangga hingga sampai di kaki bukit Ajyad berhampiran dengan terowong ke Aziziyah dan Hotel Elaf Al Sud. Setelah bersalaman dengan Ustaz Amran, kami menyusuri Jalan King Abdul Aziz dan singgah di Hotel Manazil Ar-Rayed tempat Haji Arshad tinggal untuk menikmati ayam goreng al-Baik. Setelah selesai makan malam, saya mengucupkan salam kepada Haji Arshad dan mohon permisi untuk balik ke Hotel Abeer Garden. Alhamdulillah, misi menjejaki masyarakat Pattani dan Kelantan telah tercapai dan menjadi kenangan manis yang tidak mungkin dilupakan.  InsyaAllah, jika ada kesempatan menjadi tetamu Allah sekali lagi saya akan menziarah TG Baba Wan Nik di Ajyad Musafi pula.


Terowong ke Aziziyah dan Hotel Elaf Al-Sud di Kaki Gunung Ajyad.
Hotel Elaf Al-Sud Merupakan Salah Satu Hotel Jamaah Haji Malaysia Di Makkah
Di atas Terowong Terdapat Rumah-Rumah Kediaman

Masjidil Haram Pada 20 Mei 2010 Jam 9:58 Malam
(Disnap semasa dalam perjalanan pulang ke hotel dari Hotel Hj. Arshad)

12 comments:

  1. salam, tuan haji, boleh kah dpt kan maklumat berkenaan keluarga 2 orang yang bermukim di mekah yang bernama haji abdul ghani banjar dari pontianak dan murid/sahabatnya haji muhamad darwis fatani dari patani. haji muhamad darwis ini dikhabarkan berjalan kaki dari patani ke mekah sekitar tahun 40'an, bapa angkat saya pernah bersahabat dengan mereka tahun 70-90an, mereka dikhabarkan menyampaikan ilmu amalan dari haji abdul rahman siddiq, mufti inderagiri, penulis kitab amal makrifah, yg juga merupakan sahabat tok kenali, terima kasih, waullahu a'lam

    ReplyDelete
  2. salam tn hj...

    salam eidul fitri,
    balik raya lepas , ummi dinasihati drpd terlalu beriya2 sangat semata2 untuk ke tanah suci oleh seseorang yg ummi kagumi di Kampong , terkedu seketika..katanya takkan beribadah di Malaysia nie tak boleh kot???

    ReplyDelete
    Replies
    1. Cakap kat dia saya pi tanah suci utk Ziarah Rasullah dan menunaikan Umrah , tanya dia balik boleh kah saya buat umrah di M'sia dan Ziarah Rasullah dan Masjidnya di Malaysia.

      Delete
    2. Org yg ummi kagumi tu dah pernah jejak kaki ke Tsnah Suci. kalau pernah . bermakna dia tak belajar dan memahami dan merasai keberkatan bumi Madinah dan Makkah Saya pun berjumpa org sebegini , bila kalah hujjah dia kata..duit belanja perjalanan umrah lebih baik di beri pada Mahaad Tahfiz, ya kita berikan 1/10 dari belanja belanja lebih kurang RM200 sebelum pergi berumrah . dia kata lebih baik bagi semua. saya cakap kalu bagi semua saya tak pergi Umrah lah , kalau bagi RM200 saya dpt pergi umrah dan infak pada Maahad Tahfiz. kalu tak pergi Umrah saya menbazir tiket kapalterbang percuma saya setahun sekali. saya katakan saya mazhab shafieyyah aliran kakitangan MAS tak sama dgn fikrah Feqahnya yg memaksa org lain mengikut pendapatnya atau pendapat gurunya yg sesuai utknya..tetapi bukan utk saya..bahkan saya ke England ,Lubnan , Syria ,Mesir dicelanya saya...lagi pun cuma RM2000 utk Umrah bukan bebanan kerana tunai pelaburan saya masa itu 200ribu. Habis 2ribu bertambah berkat dgn zakat , infaq dah jadi 300ribu lebih , percayalah dgn buat Umrah anda tak kan jadi miskin atau papa kedana.

      Delete
    3. InsyaAllah sebagai membantah saranan beliau saya merancang akan ke Istanbul(MAS tiket percuma) - Iskandariah,Mesir(TukiAirlines harga tiket 20%) - Madinah(egyptAir 20%) -naik bas ke Makkah kerana SaudiAir bukan rakan Z.E.D. MAS dan kembali ke KLIA dgn pesawat MAS(tiket percuma) dari Jeddah. belanja utk semua tu lebih kurang RM3500.00

      Delete
  3. Salam anonymous,

    Cuba tuan bertanya dengan blogger yang tinggal di Makkah seperti Hj Arshad (Kehidupan Makkah 2 - ada link di kolum sebelah kanan blog saya ni), mungkin beliau dapat membantu. Minta dia tanya dengan Ust Amran yang tinggal di Bukit Ajyad yg kenal ramai orang Pattani di sana.

    ReplyDelete
  4. Salam UH,

    Selamat Hari raya. Memang boleh beribadat di sini tapi beribadat di sana pahalanya 100,000x ganda.

    Lagi pun, bumi Makkah dan Madinah adalah bumi yang berkat, doa-doa yang dipanjatkan dengan hati yang tulus ikhlas, khusyuk dan penuh pengharapan di tempat-tempat tertentu di MH dan di Raudhah, insyaAllah mustajab dan cepat dimaqbulkan oleh Allah SWT.

    Jadi ada perbezaan beribadah di sana dengan beribadah di sini, dari segi kualiti. Macam madu Yaman dengan madu Malaysia. Kedua-duanya madu tetapi dari segi kualiti, madu Yaman lebih baik.

    ReplyDelete
  5. Kalau hendak beramal di Malaysia, dalam tempoh 2 minggu dsb perlukan pengorbanan dan menempuh berbagai cabaran. Baru saja nak baca AQ atau berzikir dah ada panggilan telefon dsb. Sekurang-kurangnya di sana kita boleh beri tumpuan yang lebih untuk beribadat. Lainlah kalau kita dapat 'bersuluk' di sini.

    Anggap saja kita menghadiahkan diri untuk beribadat sambil bercuti dari rutin seharian di sini ketika kita berumrah di sana.

    ReplyDelete
  6. Salah satu keberkatan daripada berumrah itu ialah menziarahi Rasulullah s.a.w. sebab di sana ada Rasulullah s.a.w. Apabila kita pergi ka Madinah, bererti kita adalah tetamu Rasulullah s.a.w. Jika kita berselawat di samping Rasulullah s.a.w. bukanlah sama seperti kita berselawat di Malaysia. Kalaulah kita sudah sampai di samping Rasulullah, tidak ubah kita berselawat semasa hidup Rasulullah s.a.w. sebab Nabi s.a.w. bersabda dalam hadisnya yang bermaksud: “Sesiapa yang menziarahi kuburku semasa aku telah wafat, maka seolah-olah dia menziarahi aku semasa aku hidup.”

    ReplyDelete
  7. Salam tuan haji...ana suke lihat gamabr2 bagunan yang haji uploadkan.

    ReplyDelete
  8. salam..sy asma', pelajar universiti sains islam malaysia (USIM),berniat utk call tuan haji.. ad perkara yg ingin sy tanyakn. kalu tuan haji sudi bantu sy..sy cuba dptkan email tuan haji tp gagal.. kalu tuan haji sudi bantu sy, sy amt berbesr hati. ini email sy > asma.tajuddin@yahoo.com

    ReplyDelete
  9. assalamualaikum,.Alhamdulillah....terima kasih tuan haji kerana gambarnya ..cantik..dulu saya salah seorang belajar di bukit jiyad...hanya tinggal kenangan...

    ReplyDelete

Assalamu'alaikum wm wbr. Terima kasih kerana sudi memberi ulasan. Sebagai insan biasa, kadang-kadang saya terlepas pandang akan ulasan/soalan-soalan yang dikemukakan. Namun selepas menyedarinya, saya akan cuba balas kembali ulasan-ulasan tuan/puan/cik.