Thursday, April 15, 2010

Panduan Umrah – 15 – Rukun Umrah

Assalamu'alaikum wm wbr.

Setelah menyentuh serba sedikit sifat-sifat yang perlu dipupuk di dalam diri, maka di sini saya teruskan dengan rukun  umrah dan dalam entri selanjutnya saya akan sentuh mengenai wajib umrah.

Seperti ibadah-ibadah yang lain, umrah mempunyai rukun yang tertentu dan juga mempunyai tuntutan kewajipan tertentu untuk dilaksanakan.

Rukun bermaksud perkara-perkara yang mesti dilakukan untuk menjadikan umrah kita sah. Sekiranya tertinggal walaupun satu rukun, atau tidak dilakukan mengikut syarat-syarat yang sepatutnya, maka umrah itu tidak sah dan jemaah masih lagi dalam ihram dan wajib mematuhi segala larangan ihram walaupun telah kembali ke tanah air. Oleh itu rukun umrah adalah teramat penting untuk dijaga atau diperhatikan.

Rukun umrah ada lima iaitu:

1. Berniat ihram umrah
2. Tawaf Kaabah tujuh pusingan
3. Sai'e antara bukit safa dan bukit marwah
4. Bergunting atau bercukur
5. Tertib.

Huraian Rukun Umrah Secara Terperinci

Rukun Umrah 1 – Niat Ihram

Seperti yang telah dijelaskan dalam entri yang terdahulu, setiap ibadah perlukan dimulai dengan niat. Oleh itu jemaah yang ingin melakukan umrah perlulah memasang niat ihram umrah di miqat (sempadan) yang telah ditetapkan.

Jika tidak berniat sehingga sampai waktu tawaf, maka umrahnya tidak sah. Tetapi jika berniat selepas melepasi sempadan / miqatnya, maka umrahnya tetap sah tetapi perlu membayar dam iaitu menyembelih seekor kibas / kambing. Jika dia tidak berkuasa, hendaklah ia berpuasa 10 hari iaitu 3 hari di Makkah dan 7 hari di tempatnya apabila ia sudah kembali ke tanah air. Jika tidak berupaya berpuasa sebab tua atau gastrik dsb, maka hendaklah ia bersedekah kepada fakir miskin sebanyak 1 cupak setiap hari selama 10 hari (jumlahnya 10 cupak). Jika tidak berkuasa juga, maka tertanggunglah di atas zimmahnya.

Di manakah miqat atau sempadan untuk berniat ihram? Ulasan mengenai miqat ini akan dibuat dalam entrinya yang tersendiri.

Rukun Umrah Ke-2 – Tawaf Mengelilingi Kaabah

Tawaf bermaksud mengelilingi kaabah sebanyak 7 kali dengan syarat-syarat tertentu. Sekiranya syarat-syaratnya tidak dilaksanakan maka tawaf tersebut tidak sah, dan jika jemaah tersebut terus melakukan sai'e dan bergunting selepas itu, maka sai'e tidak sah dan dia masih lagi dalam ihram. Oleh itu berhati-hatilah ketika melakukan tawaf.




Dalam gambar kaabah di atas sudut yang sebelah kiri sekali ialah sudut hajar aswad iaitu poin rujukan untuk memulakan tawaf. Juga kelihatan pintu kaabah, maqam Ibrahim dan hijir Ismail (binaan yang  berbentuk ladam kuda bewarna putih di sebelah kanan). Ruang antara sudut hajar aswad dengan pintu kaabah di panggil multazam – tempat mustajab berdoa.

Syarat-Syarat Sah Tawaf (Mengikut Mazhab Syafie)

1. Suci daripada hadas besar dan hadas kecil (ada wuduk).

2. Suci daripada najis, sama ada pada pakaian, badan, dan tempat tawaf. Atau tidak menanggung najis seperti mendukung kanak-kanak lelaki yang belum berkhatan, atau mendukung anak yang terkencing / buang air besar dalam pampers.

3. Menutup aurat seperti dalam solat (bagi wanita – seluruh badan kecuali muka dan dua tapak tangan).

4. Tawaf mestilah dimulakan dari sudut hajar aswad.

5. Semasa tawaf sentiasa berwaspada supaya kaabah berada di sebelah kiri kita. Bahu kiri mestilah 90 darjah (lebih kurang sahaja) dengan kaabah. Jika bahu terpesong dari kaabah maka pusingan itu terbatal. Jemaah hendaklah mengulangi pusingan yang terbatal tersebut bermula dari tempat yang terbatal, atau mula semula dari sudut hajar aswad. Contoh: Jika dalam pusingan ke 4, badan kita dirempuh oleh seseorang dan badan kita berpusing, maka pusingan ke-4 itu dikira terbatal. Perlu ulang semula pusingan ke-4 sama ada dari sudut hajar aswad atau dari point badan berpusing tadi.

6. Sempurna 7 kali pusingan dengan yakin. Jika ragu-ragu, contohnya, adakah baru 6 pusingan atau sudah 7 kali pusingan. Maka di sini ambillah bilangan yang sedikit iaitu 6 pusingan dan tambahlah tawaf satu pusingan lagi untuk melengkapkannya menjadi 7 pusingan.

7. Tawaf itu dilakukan di dalam masjid dengan niat ibadah (tawaf) semata-mata. Tidak sah tawaf dengan niat mencari kawan (sebab sudah terpisah kerana bersesak-sesak), atau sambil tawaf sambil ambil gambar guna kamera handphone dsb. Jika hati memang meruntun untuk mengambil gambar kenang-kenangan, tunggulah selepas selesai semua rukun umrah – sehingga telah bergunting untuk tahallul – barulah pergi semula di hadapan kaabah untuk ambil gambar. Bab posing ambil gambar depan kaabah ni, pandai-pandailah lakukan. Kalau ternampak oleh pak Arab kamera anda mungkin akan dirampas. Tentang wajar atau tidak untuk berposing dihadapan kaabah ini, tanyalah hati anda sendiri. Niat kita sedari mula bagaimana?

8. Tidak menyentuh mana-mana bahagian kaabah walaupun bingkai kaabah yang dipanggil syazaruan dan tembuk Hijir Ismail atau Rukun Yamani. Sekali lagi sebagai contoh, sekiranya dalam bersesak-sesak badan kita terhimpit ke dinding kaabah walaupun badan tidak berpusing, maka pusingan tawaf tersebut dikira batal dan perlu diulang semula pusingan tersebut.

Sunat-sunat tawaf – dalam entri yang tersendiri.

Rukun Umrah ke-3 – Sai'e

Bermaksud berjalan antara Bukit Safa dan Bukit Marwah sebanyak tujuh keliling dengan mengikut syarat-syaratnya. Bagi yang uzur, bolehlah menggunakan kerusi roda dsb. Sekarang ini sudah ada kerusi roda berkuasa bateri yang boleh dikendalikan sendiri oleh jemaah.


Gambar-1: Ke Babus Safa


Gambar-2: Bukit Safa – Tempat Permulaan Sai'e

Gambar-3: Masaa (Laluan Sai'e)


Gambar-4: Bukit Marwah (Tempat Sai'e Berakhir)

Syarat-Syarat Sai'e

1. Hendaklah dilakukan selepas tawaf yang sempurna.

2. Hendaklah dimulakan dari Safa hingga ke Marwah (dikira satu pusingan) dan seterusnya dari Marwah ke Safa (juga dikira satu pusingan). Jadi ada 4 kali perjalanan dari Safa ke Marwah, dan 3 kali perjalan dari Marwah ke Safa. Perjalanan sai'e yang pertama dan yang terakhir adalah dari Safa ke Marwah.

3. Hendaklah sampai ke tempat yang tinggi di Safa dan Marwah. Sekarang ini kawasan berbatu di bukit Safa telah ditutup dengan cermin kaca.




4. Tujuh kali dengan sempurna.

5. Sentiasa niat kerana ibadah umrah, tidak yang lain contoh mencari orang yang terpisah dari kumpulan (sambil bersai'e sambil hati berfikir mencari orang yang hilang tadi). Atau tidak bergambar semasa bersai'e.

6. Sai'e dilakukan di mas'a atau tempat bersai'e iaitu suatu kawasan yang berdinding yang telah dibina oleh kerajaan Arab Saudi.

Jadi untuk bersai'e tidak perlu ada wuduk. Badan boleh berpusing dsb. Tetapi niat sentiasa murni iaitu semata-mata bersai'e umrah sahaja.

Tidak ada sai'e SUNAT tetapi ibadah sai'e itu ada sunat-sunatnya.

Sunat-sunat sai'e – dalam suatu entri yang tersendiri

Rukum Umrah Ke-4 – Bergunting atau Bercukur Bagi Lelaki

Bergunting sekurang-kurangnya tiga helai rambut atau afdal bercukur bagi lelaki selepas melakukan 7 kali sai'e dengan sempurna.

Perlu diambil perhatian, di bukit Marwah ramai kanak-kanak Arab menawarkan diri untuk menggunting rambut jemaah. Mereka ini hanya bermotifkan mencari wang sahaja.  Berhati-hatilah supaya jangan menerima pelawaan mereka untuk menggunting rambut kita setiap kali tiba di bukit Marwah walaupun pusingan sai'e kita masih belum genap 7 kali pusingan.  Kadang-kadang tindakan mereka ini macam memaksa.

Jika jamaah bergunting sebelum cukup sai'e 7 pusingan, maka jamaah belum bertahallul lagi dan masih dalam ihram serta dikenakan dam.  Dam yang dikenakan ialah menyembelih seekor kibas / kambing ATAU bersedekah kepada 6 orang fakir miskin sebanyak 2 cupak makanan tiap-tiap seorang ATAU berpuasa tiga hari.

Mereka yang tidak mempunyai rambut, hendaklah melalukan mata pisau cukur di atas kepala. Setelah bergunting / bercukur bererti seseorang itu telah bertahallul daripada ihram umrah dan telah bebas dari pantang larang ihram. Sekali umrah sekali bergunting.  Bergunting boleh dilakukan di bukit Marwah atau di kedai-kedai gunting berhampiran.

Rukun Umrah Ke-5 – Tertib

Tertib di sini bererti melakukan rukun secara berurutan satu persatu. Turutannya adalah seperti berikut:
Niat ihram – > Tawaf – > Sai'e – > Bergunting – >Tertib.

Kesimpulan:

1. Para jemaah perlulah mengambil berat tentang syarat-syarat sah setiap rukun umrah. Sebab ia membawa implikasi yang berat iaitu boleh menyebabkan umrah terbatal dan jemaah masih lagi dalam berihram.  Bermakna pantang larang ihram masih tertanggung olehnya walaupun sudah sampai ke tanah air.

2. Kesemua rukun tidak boleh diwakilkan kepada orang lain –  Ia perlu lakukan sendiri oleh jemaah walaupun terpaksa mengupah orang mengusung / menyorong kereta tolak untuk tawaf atau sai'e.

Kredit Foto: CL http://manzlie-makkah.blogspot.com/

32 comments:

  1. Assalamualaikum Tuan Hj Saad

    Salam ukhwah
    pertama kali menziarah blog tuan hj

    manafaat untuk semau
    taniah

    Wassalam

    ReplyDelete
  2. Wa'alaikum salam wm wbr.

    Alhamdulillah, terima kasih atas sokongan tuan.

    Sekadar yang termampu tuan.

    Wasalam.

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum,
    Saya bercadang nak bawa anak lelaki berumur 4 tahun yang belum berkhatan untuk mengerjakan umrah. Saya mohon nasihat/panduan mengenai perkara ini. Bolehkan anak saya dikenakan dam sekiranya melanggar perkara2 yang dilarang ketika berihram? Untuk mengelakkan dikenakan dam, adakah lebih baik anak saya tidak berumrah?
    Wassalam.

    ReplyDelete
  4. salam, haji,
    nak bertanya berkenaan, suci dr najis pd pakaian, badan, tempat tawaf... bagaimana ye jika tak sedar yg pakaian kita terkena najis burung ke etc. semasa tawaf tu dan hanya sedar bila sedang sai'e @ ketika bercukur?
    atau terpijak najis burung ketika tawaf dan hanya sedar ketika sedang sai'e...

    tq, zaim

    ReplyDelete
  5. salam...
    terima kasih atas segala ilmu yang ditulis di dalam blog ni..

    ReplyDelete
  6. Asalamualaikum,
    Tuan, sekali lagi saya mengucapkan terima kasih atas panduan untuk umrah ini. Ia sangat berguna kepada saya yang baru pertama kali hendak mengerjakan umrah. Terima kasih dan minta dihalalkan ilmu kerana saya copy paste panduan ini untuk dimasukkan di dalam blog saya. Terima kasih.

    ReplyDelete
  7. Wa'alaikum Puan Noraini

    Alhamdulillah saya beri izin kepada semua pembaca blog ini untuk copy paste mana-mana entri ke dalam blog masing-masing. Alhamdulillah.

    ReplyDelete
  8. Wa'alaikum salam ku_Merpati

    Alhamdulillah, yang baik itu dari Allah dan yang salah dan silap itu kelemahan diri saya sendiri.

    ReplyDelete
  9. Assalamualaykum wr wb Tuan Haji,

    Saya ada kemusykilan. Bagi wanita yang masih ada kedatangan haid.

    Apakah nasihat atau persediaan yang perlu sebelum berangkat untuk ibadah umrah?

    Saya difahamkan ada yang dinasihat agar ambil treatment untuk tahan dtg haid. Ada juga yang kata tak mengapa biar sahaja haid datang. Sekiranya dibiarkan sahaja ia datang naturally, bagaimana dgn ibadah rukun umrah dsb.

    Mohon nasihat

    ReplyDelete
  10. Wa'alaikum salam wm wbr Anonymous

    Bagi wanita yang masih kedatangan haid, biarlah haid itu datang secara natural, tetapi ketika hendak berihram, dinasihatkan niat ihram bersyarat sebagai langkah berjaga-jaga. Jika sehingga hari hendak balik ke tanah air masih lagi dalam haid, maka bolehlah ia tahallul dengan menggunting rambut (tanpa perlu tawaf dan saie) untuk keluar daripada berihram tanpa dikenakan dam. Sila rujuk entri saya mengenai perkara ini di link berikut:

    http://msaadhamid.blogspot.com/2010/04/panduan-umrah-22-masalah-tawaf-bagi.html

    ReplyDelete
  11. Assalamu'alaikum wm wbr Anonymous.

    Sebagai suatu ikhtiar, puan boleh mengamalkan doa untuk menahan haid buat sementara waktu. Amalkan membaca doa ini 1 bulan sebelum berangkat ke tanah suci setiap lepas solat. Setelah selesai baca doa ini hembuskan ke dalam air yang diisi dalam botol. Air digunakan untuk minum. InsyaAllah

    http://msaadhamid.blogspot.com/2010/04/panduan-umrah-23-amalan-memohon.html

    ReplyDelete
  12. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  13. Assalamu'alaikum wm wbr.

    Sayugia difahami bahawa kita boleh menangguhkan saie selepas tawaf. Begitu juga, kita boleh tangguhkan bergunting selepas tamat saie.

    Dalam kata lain ... kita tidak perlu melakukan saie sebaik sahaja selesai tawaf 7 keliling. Juga kita tidak perlu bergunting sebaik sahaja selesai mengerjakan saie 7 pusingan. Kesemuanya itu boleh ditangguhkan jika ada keperluan, seperti jika terpaksa ke tandas untuk buang air, jika perut terlalu lapar sbb gastrik, dsb.

    Tawaf boleh sambung-sambung tidak semestinya dilakukan berturut-turut

    Saie pun boleh sambung-sambung, tidak semestinya berturut-turut.

    ReplyDelete
  14. assalamualaikum ustaz sy nk tanya apakah hukum bagi wanita yg telah kematian bersuami menunai kn umrah tanpa ditemani oleh mahramnya dan boleh kah anak perempuan membawa nya berhaji untuk kali yg ke-2??

    ReplyDelete
  15. Salam tn Haji,

    Bolehkah kita lakukan tawaf dan saie pada hari yg berlainan disebabkan hal2 tertentu? Contohnya hari ini lakukan tawaf esoknya sambung lakukan saie. Saya mungkin akan bawa anak2 saya yg masih kecil umrah nanti. adakah waktu2 tertentu untuk lakukan tawaf dan saie? contohnya waktu siang atau malam.

    ReplyDelete
  16. Wa'alaikum salam Dysu

    Ya kita boleh lakukan tawaf dan saie pada hari yang berlainan. Selagi belum saie 7 kali dan bergunting kita masih lagi berihram - maka pantang larang ihram perlulah dijaga. Namun yang afdalnya ialah melaksanakan saie selepas selesai tawaf 7 kali keliling kaabah.

    Tidak ada waktu tertentu untuk lakukan tawaf atau saie. Boleh dilakukan waktu siang atau malam mengikut kesesuaian dan kelapangan kita. Cuma jika kita tawaf waktu pagi atau malam tidak, cuaca tidak panas.

    ReplyDelete
  17. Wa'alaikum salam anonymous

    Masalah mahram wanita: Berikut ialah keputusan Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan kali ke 25 pada tahun 2009 :

    - Harus bagi wanita menunaikan haji atau umrah sunat tanpa kehadiran suami atau mahram sengan syarat :

    a) Perempuan yang bersuami hendaklah mendapatkan izin suami & bagi yang tidak bersuami hendaklah dengan izin wali.

    b) Perjalanan dan tempat yang dituju adalah aman dan tidak menimbulkan fitnah.

    c) Adanya rakan wanita thiqat dan solehah, sekurang-kurangnya seorang.

    d) Hendaklah dengan tujuan semata-mata kerana ibadat kepada Allah.

    ReplyDelete
  18. Salam Dysu,

    Sudikah Dysu berkongsi pengalaman dengan saya membawa anak anak kecil menunaikan Umrah?Terima Kasih...

    Maaf Tuan Haji,tumpang lalu...

    ReplyDelete
  19. Assalamu'alaikum wbt rerama salju

    Rakan sepejabat saya baru sahaja balik daripada umrah dan beliau membawa anak lelaki berumur 1 tahun 6 bulan.

    Bagi umrah pertama kali sebaik tiba di Makkah, beliau melakukan tawaf bersama-sama jemaah yang lain (mengikut mutawif) dan anak beliau dijaga oleh suaminya (duduk dalam masjid).

    Setelah selesai tawaf, suaminya pula melakukan tawaf bersendirian dan beliau meneruskan saie bersama-sama jemaah yang lain sambil mendokong anak.

    Apabila suami beliau selesai melakukan tawaf, beliau meneruskan saie bersendirian. Untuk makluman, suaminya dapat menyelesaikan saie lebih awal daripada rakan saya sebab si anak tadi lebih banyak berjalan daripada didokong. Bila kanak-kanak berjalan maka sudah tentu pergerakannya lambat, dan ini melambatkan pergerakan ibu.

    Pada hari-hari lain beliau bergilir-gilir ke masjid dan menjaga si anak sbb anaknya tidak mahu masuk dalam kereta tolak.

    Sekian, sekadar berkongsi pengalaman rakan sepejabat. Semoga dapat memberi sedikit panduan kepada bakal-bakal jemaah umrah yang membawa anak kecil ke sana.

    Wasalam.

    ReplyDelete
  20. Assalamualaikum Tn Haji dan rerama salju,

    Alhamdulillah kami baru saja pulang dari menunaikan umrah kelmarin dengan selamat...

    Saya membawa 2 anak2 kecil saya sekali seorang berumur 2tahun 3 bulan dan seorg lg 4 bulan setengah..kami pergi dengan rakan sekerja suami saya yg juga membawa keluarga nya..

    Apa yg kami lalukan mase nk bertawaf, kami tinggalkan anak2 kami bersama keluarga rakan suami saya semasa tawaf..Alhamdulillah pada ketika itu anak2 saya semua tangah tidur semasa kami tawaf dan bersaie...Masa bersaie kami membawa sekali anak2..utk anak yg sulung kami menggunakan kereta tolak yg disediakan dlm 70 riyal lepas discount..hihi dan yang kecil kami menggunakan baby carrier..memeang sgt membantu...Alhamdulillah...perjalanan dan keadaaan kami sgt mudah...dapat kami selesaikan ibadat dengan baik tnapa ada gangguan anak2...kami berdua sentiasa setting niat ibadat utk Allah seperti yg tuan haji nasihatkan....Syukur dan Alhamdulillah semua berjalan lancar..

    Masa ibadat di masjid pd waktu2 lain..kami bergilir2 suami isteri menjaga anak2...dan adakalanya kami bawa sekali anak2 kami pergi ke masjid utk solat jemaah fardu...masa tu kami kene cari tempat yg sesuai utk duduk berdekatan suami isteri dan masing2 bawa anak seorang satu hihi..Alhamdulillah...semua berjalan lancar anak2 tidak meragam..banyak tidur semasa di masjid..InsyaAllah kalau puan berniat untuk Allah..segala urusan kita Allah mudahkan..

    Cuma nanti kalau puan nk menziarah di Raudah, nasihat saya tidak perlu bawa anak2..minta la suami jaga anak..sebab semasa masuk disana sgt sesak dan orang ramai berasak2 dan bertolak2..sehingga saya sendiri terjatuh beberapa kali semasa tangah menunaikn solat sunat..

    Nasihat saya, kalau puan bawa anak2..pastikan bawa ubat ubatan seperti demam, selsema, sakit tekak, batuk, panadol...cuaca di Madinah dan Makkah x menentu...

    Anak saya yg kecil kerap demam semasa di sana..tapi Alhamdulillah tak teruk dan tak meragam sgt..Masa di sana bykkan bersabar dlm apa jua keadaan..

    Kepada Tn Haji, blog Tuan sgt membantu kami sekeluarga...byk panduan kami ambil dr blog ini..terima kasih sebab buat entri sebegini..

    ReplyDelete
  21. Wa'alaikum salam Dysu.

    Alhamdulillah, terima kasih kerana sudi berkongsi pengalaman di sini. Semoga maklumat tersebut dapat membantu para jemaah yang ingin membawa anak-anak kecil menunaikan umrah.

    Selamat kembali ke tanah air puan Dysu dan keluarga. Semoga puan sekeluarga terus menerus mendapat kasih sayang dan rahmat Allah SWT. Amin.

    ReplyDelete
  22. MACAM MANA PULA YANG TUMPANG MAHRAM?? BOLEH KER?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Assalamu'alaikum wbt

      Seperti yang telah dijelaskan di atas, menurut keputusan Muzakarah Haji peringkat Kebangsaan, hukum wanita melakukan Haji atau umrah sunat tanpa mahram adalah harus - dengan syarat-syarat spt yang dinyatakan.

      Kemudian timbul pula Mahram Tumpang iaitu seseorang jemaah wanita menumpang orang lain (jemaah lelaki) untuk tujuan mendapatkan visa umrah. Perlu diingat bahawa peraturan kerajaan Arab Saudi menghendaki seseorang wanita yang bermusafir perlu diiringi oleh mahramnya. Pihak pengeluar visa di Malaysia dan imigresen saudi di airport akan pastikan jemaah wanita perlu ada mahram.

      Jadi pihak travel agent di Malaysia akan carikan mahram tumpang bagi jemaah wanita yang pergi berseorangan. Seorang jemaah lelaki akan diminta untuk mengaku bahawa si polan binti si polan adalah mahramnya. Maka visa pun dikeluarkan dan jemaah wanita tersebut dapat melepasi imigresen di airport.

      TETAPI betul ke tindakan tersebut? Tujuan ke Makkah untuk melakukan umrah, TETAPI belum lagi sampai ke Makkah sudah menipu kedutaan Arab Saudi di KL dan imigresen di Jeddah. Agak-agak umrah yang dilakukan maqbul tak?

      Apa pendapat anonymous?

      Delete
  23. assalamualaikum ustaz, sy pernah bernazar untuk bw anak lelaki sy utk menunai umrah dlm masa paling cepat 3 th dan paling lambat anak sy berumur 5 th sekira sy selamat bersalin anak sy ini. kerana sy hampir bersalin anak sy tidak cukup bulan, sy amat risau sebab anak pertama dan sy telah tunggu selama 2 1/2 th setelah kahwin. masalah saya perlukah anak sy ini di khatan terlebih dahulu? utk maklumat ustaz sy bernazar pd th 2010.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wa'alaikum salam wbt.

      Jika anak itu dinazarkan untuk menunaikan umrah, maka eloklah disegerakan nazar tersebut ketika dia berumur 3-4 tahun seperti yang dinazarkan sebab kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa hadapan.

      Dan khatankanlah anak tersebut bagi memudahkan perjalanan umrahnya. Janganlah risau, sebab orang Arab mengkhatankan anak mereka seawal umur 7 hari, dan tidak ada masalah.

      Delete
  24. assalamualaikum wm wbr tuan haji, saya mohon kebenaran tuan haji untuk copy perkara penting saperti tempat2 yg mustajab berdoa d masjidil haram.saya sekluarga akan menunaikan umrah pada bulan april ini inshallah dan gambar2 dari blog tuan haji sangat berharga untuk kami mengenali lebeh dekat dan dapat gambaran tempat2 yang perlu berdoa semasa kami berada d sana nanti. terima kasih maklumat ini akan saya beri kpd rakan/sahabat handai yg ingin mengerja kan umrah d masa akan datang.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wa'alaikum salam wbt
      Ya silakan puan, semoga maklumat-maklumat tersebut dapat membantu puan sekeluarga mengerjakan umrah dengan sempurna. Semoga puan dan keluarga mendapat umrah yang makbul, amin.

      Delete
  25. assalamualaikum tuan haji

    sy berhajat untuk membawa ank sy berumur 6 tahun. perlukah dikhatankn terlebih dahulu utk buat umrah?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wa'alaikum salam wbt

      Sangat bagus anak itu dikhatankan dulu.

      Wasalam

      Delete
  26. Salam tn haji..boleh bg panduan cara handle anak dalam masjid terutama semasa solat..salam

    ReplyDelete
    Replies
    1. Salam tuan

      Tuan boleh guna baby harness (tali ikat baby) yang mana hujung tali tu diikat pada kakit tuan ketika solat.

      InsyaAllah saya akan buat entri khas "Umrah with baby" tak lama lagi.

      Wasalam

      Delete
  27. assala-mualalaikum.....
    Tuan, saya ingin bertanya ada tak dalil yg menunjukan bahawa anak yg blm dikhatankan akan menjejaskan ibadat kita. Kajian saya berdasarkan kitab hadith Sunan Sittah, kitab Majmu, Kitab al-Mughniy Muhtaj oleh asy-Syarbiniy, Kitab Majmu' al-Fatawa oleh Syeikh Abdul Aziz ibn Baaz & Kitab Rawdhoh at-Tolibiin oleh Imam an-Nawawi tidak menghukum sedemikian.
    Mohon pencerahan Tuan berdasarkan dalil yg jelas. Syukran....

    ReplyDelete

Assalamu'alaikum wm wbr. Terima kasih kerana sudi memberi ulasan. Sebagai insan biasa, kadang-kadang saya terlepas pandang akan ulasan/soalan-soalan yang dikemukakan. Namun selepas menyedarinya, saya akan cuba balas kembali ulasan-ulasan tuan/puan/cik.